KAP mantapkan pendidikan agama generasi muda

23/01/2010

ANIS Alya Hazani menulis tulisan jawi ketika mengikuti Kelas Agama Petang di Sekolah Kebangsaan Taman Tuanku Ja’afar Dua, kelmarin.


SEREMBAN 22 Jan. – Pada Februari 2005, kerajaan negeri memperkenalkan Kelas Agama Petang (KAP) dengan penekanan terhadap pendidikan agama dalam usaha membentuk asas agama yang kukuh di kalangan generasi muda.

Sasaran utama KAP adalah murid Islam dari tahun satu hingga lima yang belajar di sekolah kebangsaan seluruh negeri ini.

Kini, setelah hampir lima tahun ia dilaksanakan, KAP terus menjadi teras ke arah memantapkan generasi akan datang dengan akhlak mulia dan budi pekerti tinggi.

Sememangnya tanggungjawab melahirkan generasi yang cemerlang dalam pelbagai lapangan ilmu menjadi teras utama bagi kerajaan negeri untuk mencapai misi tersebut.

Usaha itu mendapat kerjasama jitu daripada semua pihak termasuk sekolah-sekolah.

Statistik Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) mencatatkan sehingga kini terdapat lebih 35,801 murid di 200 buah sekolah kebangsaan di seluruh negeri ini menyertai KAP.

Menurut Penyelaras KAP, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Tuanku Ja’afar Dua (SKTTJ 2), Nadzrah Abd. Rahman, silibus pembelajaran KAP meliputi pelbagai aspek seperti fardu ain, tajwid, hafalan, dan kaedah bacaan al-Quran yang berkesan.

”KAP meliputi murid-murid dari darjah satu sehingga darjah lima. Kita akan mengajar mengikut tahap kefahaman mereka dan setiap tahap tersebut ada ujian tertentu yang mereka perlu lalui.

”Bagi murid yang lemah dari segi pembelajaran, kita memberikan tumpuan lebih serta modul pembelajaran yang berbeza,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya lagi, murid yang menyertai KAP mempunyai penguasaan membaca al-Quran yang baik berbanding murid yang tidak menyertai kelas itu.

”Sebagai contoh, pada kelas sesi pagi kita uji pembacaan murid-murid dalam mata pelajaran Agama Islam dan murid yang menyertai KAP mampu membaca dengan lebih baik.

”Selain itu, murid KAP akan menduduki ujian khas iaitu Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) pada darjah lima. Ujian ini dijalankan bagi mengukur tahap kefahaman mereka sepanjang mengikuti kelas tersebut,” katanya.

Menurutnya, ujian UPKK memberi kelebihan kepada murid untuk masuk ke kelas aliran agama apabila di tingkatan satu nanti.

”Dari tahun ke tahun, terdapat peningkatan dari jumlah bilangan murid yang mendaftar. Hal ini membuktikan ibu bapa menyedari tentang kepentingan KAP ini.

”Namun, ibu bapa perlu bersama-sama mendidik anak-anak ini dan tidak menyerahkan bulat-bulat kepada guru sekolah,” katanya.

KAP di STTJ 2 beroperasi sejak 2005 dan pada tahun ini seramai 500 murid telah mendaftar pada hari pertama KAP bermula.

Seorang murid SKTTJ 2, Mohd. Rifaie Mohd. Nazam, 8, berkata, pembelajaran KAP menyeronokkan dan menarik .

“Saya suka datang ke kelas ini kerana ramai kawan hadir untuk belajar agama.

”Di samping itu, ustazah di sini sentiasa membimbing saya mengaji dengan betul dan sekarang saya sudah mahir menulis jawi,” ujarnya.

Nur Dinie San Kamarulzaman, 8, pula berkata, KAP berjaya memupuk minatnya terhadap pembelajaran agama dengan lebih mendalam.

”Saya hendak khatam al-Quran sebelum masuk tingkatan satu,” ujarnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_03.htm

Leave a comment