KKMM kaji tambah PJK untuk pembelajaran digital pelajar sekolah

KUALA LUMPUR 23 Nov. – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sedang mengkaji untuk menambah jumlah Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) di seluruh negara bagi membolehkan ia dimanfaatkan sebagai tempat pembelajaran digital pelajar sekolah.

Timbalan Menterinya, Eddin Syazlee Shith berkata, pada masa ini terdapat lebih 800 PJK di seluruh negara.

“Kita sedang kaji keperluan untuk menambah PJK ini, juga menambah baik kemudahan sedia ada. Kita mahu PJK ini dimanfaatkan untuk program pembelajaran digital pelajar,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program ‘eCikgu Maxis’ di sini, hari ini.

Program tersebut sebagai kelangsungan kepada program eKelas yang dikendali oleh Maxis di 55 PJK di 10 negeri di seluruh negara.

Dalam pada itu, Eddin Syazlee berkata, kementerian mengalu-alukan kerjasama daripada kementerian lain termasuk Kementerian Pendidikan bagi melaksanakan program pembelajaran digital menggunakan kemudahan PJK. – BERNAMA

Guru Malaysia antara paling berdedikasi di dunia

KUALA LUMPUR 22 Nov. – Bancian Pendidikan Global yang pertama kali diadakan mendapati guru di negara ini paling menyukai pekerjaan mereka dan antara golongan pendidik di dunia paling berdedikasi bagi memastikan pelajar mereka mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

Kumpulan pendidikan dari Penilaian Pendidikan Antarabangsa Universiti Cambridge yang menjalankan bancian itu berkata, sebanyak 70 peratus guru di negara ini merasakan tugas mendidik mempunyai ganjaran tersendiri.

“Bancian juga mendapati sebanyak tiga daripada empat guru di Malaysia mengadakan kelas tambahan untuk membantu murid mereka mencapai keputusan peperiksaan yang baik.

“Keputusan peperiksaan dicapai oleh murid-murid di Malaysia juga yang paling tinggi dicapai antara negara-negara terlibat dalam bancian ini,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan seperti dilaporkan akhbar The Star.

Bancian itu melihat keadaan persekolahan pelajar berumur antara 12 hingga 19 tahun dan guru di 10 negara termasuk Argentina, China, India, Indonesia, Pakistan, Sepanyol, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat.

Sebanyak 477 pelajar dan 634 guru di negara ini terlibat dalam bancian tersebut.

Pelajar sekolah tahfiz terima sijil Kementerian Pendidikan

KUALA LUMPUR 20 Nov. – Seramai 249 pelajar tiga sekolah menengah aliran agama yang mengikuti Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) bakal menerima sijil tahfiz daripada Kementerian Pendidikan bulan depan.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkasa pendidikan Islam, sijil itu akan memberi nilai tambah kepada pelajar di peringkat menengah rendah dan menengah atas untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

Beliau berkata KBT dimulakan pada 2014 di tiga sekolah menengah bagi melahirkan pelajar yang menghafaz 30 juzuk al-Quran dan membentuk insan yang mempunyai asas keagamaan yang mantap, berwibawa serta berkepimpinan.

“Sehingga 2018, KBT telah dilaksanakan di 17 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), 11 buah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama dan empat buah sekolah berasrama penuh,” katanya pada majlis menandatangani Nota Kerjasama Penganugerahan Sijil Tahfiz antara Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di bangunan Parlimen semalam.

Maszlee menarik perhatian bahawa pendidikan tahfiz semakin berkembang dan mendapat perhatian ibu bapa kerana kesedaran masyrakat terhadap kepentingan pendidikan al-Quran dan kelebihan yang diperoleh jika memperoleh gelaran Al-Hafiz.

“Dalam pembentangan belanjawan negara baru-baru ini, kerajaan turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM50 juta kepada sekolah tahfiz yang berdaftar.

“Secara keseluruhannya, kementerian komited dalam melaksanakan pelbagai usaha sama ada dari aspek kurikulum tahfiz, pentaksiran, pensijilan, perjawatan dan latihan guru bagi mengiktiraf pendidikan tahfiz dan huffaz setanding dengan pendidikan arus perdana di negara ini,” katanya.- Bernama

Guna bas sekolah untuk aktiviti luar

KOTA BHARU 19 Nov. – Kerajaan diminta mengeluarkan pekeliling arahan supaya setiap sekolah hanya menggunakan bas sekolah sahaja untuk aktiviti luar seperti lawatan atau rombongan.

Timbalan Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Kelantan, Izani Zakaria berkata, kebanyakan sekolah menggunakan bas persiaran untuk aktiviti luar berbanding perkhidmatan yang disediakan oleh pihaknya.

Beliau berkata, keadaan tersebut menyebabkan pihaknya mengalami kerugian disebabkan bas mereka tidak ‘bergerak’ ketika bukan waktu persekolahan.

“Ada stigma dalam kalangan pengurusan sekolah untuk tidak menggunakan bas sekolah bagi aktiviti luar walaupun bas yang kami sediakan adalah lebih baik malah bas baru.

“Kami agak pelik kerana mereka seolah-olah tidak mahu menggunakan bas berwarna kuning, sedangkan bas sekolah mempunyai insuran pelajar berbanding bas persiaran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Izani berkata, setiap kali menjelang cuti sekolah terutama pada ketika hujung tahun, mereka tidak mampu untuk mencari makan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan pengusaha bas sekolah tidak mampu untuk menampung kos penyelenggaraan.

“Setiap kos penyelenggaraan meningkat tetapi tambang bas tidak naik. Kami tidak mampu untuk bertahan sekiranya keadaan ini berterusan.

“Justeru, kami merayu kepada Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pendidikan memandang serius ini dengan mengeluarkan pekeliling kepada setiap sekolah supaya menggunakan bas sekolah untuk aktiviti luar,” katanya.

Cadangan wujudkan ‘pembantu guru’ diteruskan

BATU PAHAT 18 Nov. – Kementerian Pendidikan akan meneruskan cadangan untuk mewujudkan jawatan baharu yang dikenali sebagai ‘pembantu guru’ yang berperanan membantu guru-guru di negara ini me­laksanakan kerja pentadbiran.

Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, sekarang ini, guru-guru terbeban dengan kerja sampingan berkenaan dan mengganggu mereka me­lakukan tugasan hakiki untuk me­ngajar di sekolah masing-masing.

Katanya, pihaknya akan berbincang dengan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) bagi mencari kaedah pelaksanaan dan tugasan pembantu guru ini.

“Pihak kementerian akan bertemu dengan NUTP dalam masa terdekat ini bagi membincangkan masalah (bebanan) guru yang terpaksa melakukan tugasan yang bukan sepatutnya.

“Ada sesetengah guru yang terpaksa mengisi pelbagai jenis borang yang semua ini sebenar­nya merupakan kerja di bahagian pentadbiran dan dalam masa yang sama kami juga akan cuba mengurangkan jenis borang yang perlu diisi oleh para guru ini,” katanya pada Majlis Pertemuan Dengan Warga Pendidik Daerah Kluang, di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini, petang ini.

Dalam perkembangan yang lain, pihaknya juga akan mengkaji cadangan Program Ranca­ngan Makanan Tambahan (RMT) di peringkat sekolah menengah setelah mendengar cadangan daripada pelbagai pihak.

Katanya, melalui pemerha­tian yang dilakukan oleh pi­haknya mendapati ada sese­tengah pelajar di sekolah me­nengah pergi ke sekolah tanpa bersarapan kerana kurang berkemampuan.

“Ia satu cadangan yang bagus… kita akan cuba laksanakannya.

“Kami akan kaji cadangan ini dan jika ia bersesuaian kami akan luaskan program RMT di peringkat sekolah menengah pula agar pelajar yang kurang mampu ini tidak berlapar ketika menuntut ilmu,” katanya. – BERNAMA