Pupuk minat pelajar dalam bidang STEM

KUALA LUMPUR 16 Jan. – Kumpulan-Industri Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) bekerjasama dengan syarikat peneraju kepelbagaian teknologi dan perusahaan, Honeywell menjadikan bidang pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai keutamaan kepada negara.

Pengerusi MIGHT yang juga Penasihat Sains Perdana Menteri, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid berkata, inisiatif pihaknya memperkenalkan STEM bagi membuka peluang dan platform kepada industri untuk berkongsi kepakaran kepada pelajar sekolah dan universiti.

“Justeru, ia membuka potensi pelajar sekolah dan universiti agar memiliki pemikiran kreatif, kritis dan inovatif dalam bidang ini,” katanya.

Beliau ditemui pada sesi perkongsian dengan Pemenang Nobel 1998 dalam bidang Fizik, Prof. Robert B. Laughlin dalam Program Ignite Passion in STEM and Inspire, di sini hari ini.

Katanya, perkongsian kepakaran bersama pakar berkaitan akan menjadi sumber inspirasi kepada pelajar untuk berinteraksi dengan komuniti sekali gus memahami kepentingan ilmu sains dan teknologi ini kepada masa depan negara.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden Asia Pasifik, Sumber Manusia Honeywell, Sarinah Bakar.

Advertisements

Sasar satu Parlimen, satu perpustakaan

KUALA LUMPUR 13 Jan. – Kementerian Wilayah Persekutuan menyasarkan setiap Parlimen di Wilayah Persekutuan mempunyai sebuah perpustakaan bagi memberi manfaat dan melaksanakan pelbagai aktiviti kepada warganya.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, setakat ini dua perpustakaan dibina, antaranya di Parlimen Wangsa Maju dan Lembah Pantai dan selepas ini di Kampung Pandan.

“Saya berharap usaha ini dapat dijadikan contoh kepada syarikat swasta lain mengenai inisiatif CSR yang dapat menyediakan kemudahan kepada masyarakat setempat. Saya juga menyeru kepada penduduk agar perpustakaan ini dijaga dan digunakan dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perpustakaan 1Wilayah Persekutuan Medan Idaman, Taman Danau Kota, Setapak di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Adnan Md. Ikshan; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz; Pengerusi MyPPP, Tan Sri M. Kayveas; Naib Presiden Eksekutif MRCB, Datuk Ishak Mohamed dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Hamdan Mohd. Yusoff.

Tengku Adnan berkata, perpustakaan berkeluasan 13,000 kaki persegi itu dibina dengan kos sebanyak RM5 juta, dilengkapi dengan 13,231 naskhah buku dan bacaan elektronik.

[VIDEO] Jangan bawa topi keledar ke sekolah – NUTP

KUALA LUMPUR 9 Jan. – Ibu bapa atau penjaga dilarang sama sekali membawa masuk topi keledar atau peralatan yang boleh mendatangkan kemudaratan ke sekolah.

Itu antara 23 perkara yang terkandung dalam Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga yang dicadangkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) kepada Kementerian Pendidikan bagi membolehkan kod tersebut dilaksanakan serta-merta.

“Garis panduan ini dikuatkuasakan bertujuan menjamin keselamatan guru-guru dan murid-murid di semua institusi pendidikan negara ini.

“NUTP hanya mencadangkan dan kami tiada tarikh khusus untuk melaksanakannya, semuanya bergantung kepada Kementerian Pendidikan untuk menguatkuasakan Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga itu,” katanya.

Beliau berkata dalam sidang akhbar khas tentang Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga di sini hari ini.

Antara dua garis panduan lain yang dicadangkan termasuk ibu bapa perlu merujuk kepada pengetua atau guru besar jika mempunyai sebarang masalah dengan guru-guru mengenai anak mereka.

Selain itu, turut dicadangkan adalah ibu bapa atau penjaga supaya tidak menyalahgunakan atau menghantar mesej berunsurkan ancaman seperti teks, emel, mel suara, telefon atau lain-lain komunikasi bertulis serta media sosial seperti Facebook.

[VIDEO] NUTP cadang 15 garis panduan pendidikan

KUALA LUMPUR 9 Jan. – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mencadangkan 15 garis panduan pendidikan yang mesti dipatuhi dan lapan garis panduan yang mesti dihindari oleh ibu bapa ketika berurusan dengan pihak sekolah.

Kamarozaman

Presiden NUTP, Ka­ma­­rozaman Abd. Razak berkata, garis panduan berkenaan yang akan dimuatkan dalam Kod Etika Ibu bapa/Penjaga itu direka khas demi menjamin keselamatan murid di semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Ibu bapa serta penjaga tidak dibenar membawa ma­suk topi keledar atau benda yang boleh mendatangkan mudarat atas dasar ke­selamatan, manakala sekolah berhak menghubungi polis jika arahan tidak dipatuhi dan ibu bapa juga tidak boleh menyalah guna atau mesej bernada ancaman sama ada menerusi e-mel, teks, mel suara, panggilan telefon atau komunikasi bertulis lain, termasuk menerusi media sosial,” katanya dalam sidang akhbar khas berkaitan Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga yang berlangsung di Wisma NUTP di sini hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock.

Kamarozaman berkata, cada­ngan kod etika tersebut merupakan hasil perbincangan dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Kesatuan Guru Sarawak dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan akan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat.

Dalam masa sama,beliau menggesa KPM melaksanakan Kod Etika Ibu bapa/Penjaga dengan segera yang akan menjadi panduan tata­cara kepada ibu bapa/penjaga ketika berurusan dengan pihak sekolah selain mampu memberi perlindu­ngan kepada guru dalam menguruskan hal disiplin dengan lebih berkesan.

Cadangan pelaksanaan kod etika berkenaan adalah berikutan kes seorang guru di Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai, Azizan Manap yang didakwa di Mahkamah Majistret Seremban bagi kesalahan mencederakan seorang murid tahun lalu, tetapi dilepaskan selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan.

NGO berhimpun sokong Cikgu Idzahril

NIBONG TEBAL 9 Jan. – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini tampil di Mahkamah Majistret Jawi di sini bagi menunjukkan solidariti kepada seorang guru, Noor Idzahril Ahmad yang didakwa mencederakan anak muridnya, Ogos tahun lalu.

Antara yang hadir adalah Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGGMB) dan beberapa pemimpin politik serta hampir 100 penyokong guru berusia 52 tahun itu.

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda berkata, pihaknya akan terus bersama dengan Noor Idzahril bagi memastikan perjuangan guru dalam mendidik murid diteruskan walau dalam keadaan apa sekali pun.

Menurutnya, apa yang berlaku adalah satu cabaran kecil yang terpaksa diharungi oleh golongan guru selain sesuatu di luar jangkaan serta tidak diharapkan.

“Saya melihat semangat yang ditunjukkan oleh guru-guru yang turut hadir pada hari ini dan apa yang berlaku tidak akan melunturkan perjuangan mereka untuk mendidik anak bangsa terutama dalam menghadapi cabaran era pendidikan moden,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Presiden GPMS, Zambri Mohd. Isa dan Pre­siden KGGMB, Datuk Mohamed Sabri Mohd. Arsad.

Noor Idzahril kali pertama dihadapkan ke mahkamah pada 11 Di­sember lalu kerana didakwa dengan sengaja mendatangkan kece­deraan ke atas mangsa yang ketika itu berusia sembilan tahun di kelas 3 Bestari, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sentosa dekat sini pada pukul 10 pagi, 2 Ogos tahun lalu.

Guru Bahasa Inggeris itu yang kini bertugas di SK Sungai Acheh menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau ke­dua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, peguam tertuduh, Mohd. Fadhly Yaacob berkata, pihaknya beranggapan pertuduhan kes tersebut masih di peringkat pramatang dan terlalu awal untuk anak guamnya dihadapkan ke mahkamah berikutan laporan perubatan mangsa belum diperoleh.

“Hari ini sudah masuk kali ketiga sebutan semula kes dan pihak pendakwaan masih gagal membekalkan laporan perubatan mangsa dan kami memohon agar anak guam saya dibebaskan tanpa dilepaskan kerana kes yang melibatkan Seksyen 323 Kanun Keseksaan perlu menunjukkan elemen kecederaan dari peringkat awal.

“Sepatutnya tunggu dahulu laporan perubatan dan sekiranya terdapat kecederaan pada mangsa yang menjurus kepada perbuatan anak guam kami, maka tuduhlah,” ujarnya.

Dalam pada itu, pada prosiding hari ini, Majistret Hizween Azleena Othman Kamal menetapkan 19 Februari ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Uzair Abd. Munir.

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT – 10 JANUARI 2018

AWANG mengalu-alukan cadangan berkaitan 23 Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga untuk diselaraskan di semua institusi pendidikan. Kod ini akan dijadikan garis panduan dan peraturan yang perlu dipatuhi semasa berada di sekolah bagi menjaga keharmonian dalam kalangan ibu bapa, guru dan pelajar.

Diharapkan kod yang dikemukakan oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) itu dapat mewujudkan semangat kerjasama atau persefahaman yang lebih erat melibatkan semua pihak ke arah membentuk insan yang berilmu.

Sesuatu yang menarik mengenai kod ini adalah ibu bapa dan penjaga perlu merujuk kepada pengetua atau guru besar terlebih dahulu sekiranya mempunyai sebarang masalah dengan guru-guru berkaitan anak mereka. Laporan polis adalah langkah terakhir. Ibu bapa juga perlu memainkan peranan yang lebih aktif melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Harus diakui bahawa masalah disiplin di sekolah-sekolah semakin mencabar dan perlu ditangani secara berhemah. Ingatlah bahawa sebarang kes melibatkan pelajar yang dibawa ke mahkamah akan memberi kesan bukan sahaja kepada pihak sekolah dan guru tetapi juga pelajar serta ibu bapa.

Awang percaya pihak sekolah cuba menangani masalah disiplin dengan sebaik mungkin tetapi ada ketikanya, cara guru bertindak menimbulkan keresahan ibu bapa. Tidak ada guru yang dengan sengaja sanggup mengambil tindakan sehingga mencederakan anak didiknya. Kadang-kadang ada yang hilang pertimbangan dan jika ini berlaku, kembalilah ke meja rundingan.

Rancang PAK-21 secara sistematik

Majlis Guru Besar Daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu mengambil inisiatif mengadakan satu taklimat khusus aplikasi Sistem Reka Bentuk Pengajaran Kolaboratif (CIDS) bagi memenuhi keperluan guru merancang pembelajaran abad ke-21 (PAK-21) dan pihak pen­tadbir membuat pemantauan secara profesional dan sistematik.

Aznordin Jahan
Aznordin Jahan

Yang Dipertua Majlis Guru Besar Daerah Kuala Nerus, Aznordin Jahan berkata, CIDS adalah satu inovasi yang amat tepat dengan kehendak persekitaran peran­cang­an pengajaran masa kini.

Taklimat oleh pengasas CIDS, Dr. Ismail Zain ini disertai 200 orang yang terdiri daripada guru besar, pengetua, pegawai pejabat pendidikan daerah dan pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT).

Menurut Dr. Ismail, CIDS menggabungkan pelbagai ele­men yang diperlukan dalam merancang PAK-21 secara dalam talian yang membolehkan penggunanya merancang dan memantau di mana sahaja mereka berada tanpa sempadan selagi ada capaian Internet.

“Dengan sistem mesra pengguna ini, guru bukan sahaja mampu merancang pengajaran malah boleh berkolaborasi antara satu dan lain seperti berkongsi rekod perancangan, mencari rekod, me­nyalin rekod, menyunting rekod, me­muat naik bahan pengajaran, memuat naik bahan refleksi, meng­hubungi rakan melalui sembang maya,” jelasnya.

Selain itu, tambahnya, guru juga boleh mewujudkan komuniti dalam Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) termasuk golongan bukan guru untuk mendapat maklumat kaitan antara topik pembelajaran dengan kehendak industri bagi meningkatkan kebolehpasaran kerja pelajar pada masa depan.

“Untuk pentadbir pula, mereka bo­leh memantau, membimbing dan mengesahkan perancangan gu­ru secara lebih komprehensif dan sistematik,” ujar Dr. Ismail.

Menurut beliau, CIDS adalah satu-satunya sistem dalam talian masa kini yang bukan sekadar menyediakan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) digital tetapi berlandaskan prinsip-prinsip bidang reka bentuk pengajaran sebagai salah satu cabang dalam domain teknologi pendidikan.

“Malah, CIDS juga memenuhi keperluan pelbagai aspirasi seperti Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2, Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) dan beberapa keperluan lagi untuk guru merancang pengajaran,” katanya.

Untuk maklumat lanjut me­ngenai CIDS, hubungi 019-5713745 atau layari https://asiemodel.net.