3 graduan masalah penglihatan terima ijazah

KOTA KINABALU: Kekurangan diri bukan penghalang buat tiga graduan Orang Kurang Upaya (OKU) yang mengalami gangguan penglihatan untuk menyelesaikan pengajian Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Mereka ialah Amirul Nabil Jamaludin, 23; Harryson Tai, 23, dan Ally Racheal Yunus, 25, yang menerima ijazah masing-masing sempena Majlis Konvokesyen UMS Ke-20 di sini, hari ini.

Berasal dari Pontian, Johor, pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial, Amirul Nabil tidak pernah membataskan pembabitannya sama ada akademik mahupun kokurikulum sepanjang menuntut di universiti berkenaan.

Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, dia mengalami gangguan penglihatan akibat glaukoma ketika berada di Tingkatan Tiga.

“Setakat ini, saya hanya mengalami gangguan penglihatan 50 peratus dan masih boleh berjalan tanpa guna tongkat.

“Walaupun cuma gangguan sebahagian sahaja, saya tetap mengalami masalah terutama ketika membaca. Saya akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hari untuk menghabiskan semua bahan yang diperlukan untuk pembelajaran,” katanya.

Seorang lagi graduan istimewa, Harryson berkata, antara cabaran dilaluinya ketika mengikuti pengajian adalah memasuki kelas biasa seperti pelajar normal.

“Semua sesi pembelajaran dijalankan seperti biasa termasuk nota ringkas yang ditayangkan pensyarah dan ia menjadi masalah buat kami yang tidak boleh melihat.

“Kebiasaannya, saya mengambil inisiatif bertemu pensyarah itu semula dan mendapatkan semula nota yang diberikan.

“Selain itu, rakan yang berkelapangan menjadi rakan pembaca supaya lebih mudah saya faham isi kandungan buku atau edaran dan menaipnya semula dalam tulisan braille atau komputer,” katanya.

Ally pula berkata, dia nekad menghabiskan pengajiannya dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sain Sosial (Sejarah) walaupun berdepan kekurangan dan merancang mencari pekerjaan sesuai selain mahu menyambung pengajian dalam jurusan sama di peringkat sarjana.

Sumber: Berita Harian