‘Untuk arwah ayah dan ibu’

ABDUL Halim (kanan) dan Siti Hamaliah Majlis Konvokesyen KUDQI Kali Ke-12, di Kuala Terengganu. – NSTP/Imran Makhzan

KUALA TERENGGANU: “Kejayaan ini untuk arwah ayah dan ibu walaupun mereka tidak dapat bersama saya pada hari amat bermakna ini,” kata penerima Anugerah Amirul Mukminin Abu Bakar 2017 Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (KUDQI), Abdul Halim Rani, 23.

Abdul Halim yang juga bekas penuntut diploma daripada Fakulti Syariah Wal-Qanun KUDQI dinobatkan sebagai penerima anugerah itu selepas memperoleh pangkat Jayyid 3.13 dalam Majlis Konvokesyen KUDQI Kali Ke-12, di sini.

Beliau yang kini meneruskan pengajian ijazah sarjana muda di Acheh dalam bidang sama tidak menyangka dipilih sebagai penerima anugerah itu kerana beliau hanya melakukan yang terbaik untuk arwah bapa dan ibunya.

“Arwah ibu (Raimas Ali) meninggal dunia ketika saya berusia tiga tahun kerana penyakit buah pinggang, manakala arwah bapa (Rani Ngah) meninggal dunia pada 2016 ketika saya masih menuntut di KUDQI.

“Selepas ketiadaan arwah ibu, saya dan dua beradik lain hanya ada ayah dan pemergiannya membuatkan kami hilang tempat bergantung, lalu saya tanamkan dalam diri untuk belajar bersungguh-sungguh untuk membanggakan mereka.

“Ketika ini, kami tiga beradik tinggal bersama ibu saudara dan dia tempat kami menumpang kasih. Ini kejayaan untuknya juga kerana sudi menjaga kami,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

Bagi penerima anugerah sama untuk 2015, Siti Hamaliah Ismail, 24, mengulang kaji pelajaran lebih awal sebelum diajar pensyarah menjadi antara rahsia kejayaannya.

Siti Hamaliah yang juga bekas penuntut diploma daripada Fakulti Syariah Wal-Qanun KUDQI dinobatkan penerima anugerah itu selepas memperoleh pangkat Mumtaz 3.77.

Beliau yang baru menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang sama di Universitas Islam Negeri Raden Fatah, Palembang, Indonesia berkata, beliau lebih senang mengulang kaji lebih awal berbanding sesetengah pelajar yang suka belajar pada saat akhir.

“Sejak di sekolah lagi, saya lebih selesa belajar lebih awal. Semua yang saya belajar pada sebelah pagi akan saya ulang semula pada sebelah petang kerana bagi saya ia membuatkan apa yang dipelajari itu lebih mudah difahami dan diingati.

“Pada sebelah malam pula, saya akan belajar terlebih dahulu apa yang akan diajar pada keesokan harinya. Dengan cara ini, saya lebih cepat faham apa yang diajar,” katanya.

Majlis konvokesyen itu disempurnakan Penaung KUDQI, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Presiden PAS.

Sementara itu, Pengarah KUDQI Wan Abdullah Wan Salleh berkata, seramai 39 graduan KUDQI bagi tahun 2015, 2016 dan 2017 yang berjaya menamatkan pengajian peringkat diploma dalam bidang syariah dan usuluddin terbabit dalam majlis konvokesyen itu.

Sumber: Berita Harian

Advertisements

220 pelajar sertai Seminar Didik Rakyat PT3

Sebahagian peserta seminar PT3 BH Minda anjuran Yayasan Bank Rakyat di Institut Latihan Perindustrian (ILP). – Foto Rozainah Zakaria

MARANG: Seramai 220 pelajar dari 13 sekolah di daerah ini menyertai Seminar Didik Rakyat PT3 anjuran Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama BH dengan kerjasama BH di Institut Latihan Perindustrian (ILP), di sini, hari ini.

Seminar sehari itu mendedahkan mereka dengan sukatan terkini Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains serta teknik menjawab soalan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) secara berkesan daripada guru pakar.

Pegawai Pendidikan Daerah Marang Mohd Adnan Salleh, berkata pelajar yang terpilih menyertai seminar itu disifatkan bertuah kerana mendapat pendedahan teknik menjawab soalan yang boleh digunakan menjelang peperiksaan PT3.

Beliau berkata seminar itu dapat membuka minda pelajar untuk menjawab soalan peperiksaan dan mengetahui hala tuju selepas tamat persekolahan.

Katanya, dengan mengikuti seminar berkenaan, pelajar dapat melakukan satu pencapaian baharu selain mengharapkan semua sekolah dalam daerah ini mencapai keputusan cemerlang sekali gus mengekalkan kedudukan terbaik di seluruh negeri ini.

“Marang mempunyai kekuatan yang sangat tinggi, kebolehan yang sangat kuat di mana kombinasi sekolah, guru, pelajar dan ibu bapa serta sokongan padu daripada agensi seperti Bank Rakyat, BH dan agensi lain membolehkan kita bergerak begitu pantas dan tangkas untuk diterjemahkan dalam bentuk pencapaian terbaik.

“Justeru, pelajar perlu merebut peluang dengan berinteraksi dengan penceramah yang pakar dan cemerlang dalam bidang masing-masing,” katanya.

Pegawai Pendidikan daerah Marang, Adenan Salleh (lima kiri), Pengeurus Cawangan Bank Rakyat Marang, Mohd Omar@fadli Yaacob (empat kiri) bersama peserta seminar PT3 BH Minda anjuran Yayasan Bank Rakyat di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Marang. – Foto Rozainah Zakaria

Hadir sama, Pengurus Cawangan Bank Rakyat Marang, Omar@Mohd Fadli Yaacob.

Sementara itu, pelajar yang ditemui memberi maklum balas positif dan berpuas hati dengan cara penyampaian penceramah yang diselang seli dengan unsur jenaka menjadikan suasana tidak bosan.

Bagi Nur Anis Afiqah Mohd Zambri, 15, dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Marang, seminar itu dapat membantunya dalam meningkatkan lagi pemahaman dalam menjawab soalan terutama Matematik dan Bahasa Inggeris.

Anak sulung daripada dua beradik dan bercita-cita menjadi pegawai perubatan itu berkata, dia berazam untuk memperoleh keputusan cemerlang dengan meletakkan sasaran 10A 3B dalam peperiksaan PT3 yang akan diadakan pada Oktober ini.

Katanya, seminar itu mendedahkan banyak panduan menjawab soalan sebagai tambah nilai selain pembelajaran dalam bilik darjah.

“Saya mahu merealisasikan impian ibu yang ingin melihat saya berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading bagi mencapai cita-cita saya,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Yazid Firdaus Yusri, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa, di sini, berkata banyak maklumat diperoleh daripada penceramah yang berpengalaman menerangkan teknik serta cara yang betul untuk menjawab soalan.

“Dengan mengikuti seminar ini, saya yakin dapat memperbaiki lagi keputusan peperiksaan percubaan PT3 saya iaitu 3A 3B dan akan memberi lebih tumpuan kepada subjek yang lemah seperti Bahasa Inggeris,” katanya yang menyimpan cita-cita menjadi seorang pensyarah.

Anak sulung daripada dua beradik itu mengucapkan terima kasih kepada penganjur kerana memberi peluang kepadanya menyertai seminar berkenaan.

Sumber: Berita Harian

Korban cuti panjang demi sertai seminar

SEBAHAGIAN 220 pelajar yang menyertai Seminar Didik Rakyat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), di Kota Kinabalu, hari ini. – Foto Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Walaupun terpaksa mengorbankan cuti panjang sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, ia bukan penghalang bagi 220 pelajar menyertai Seminar Didik Rakyat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), di sini, hari ini.

Semua calon SPM terbabit terdiri daripada pelajar 12 sekolah menengah sekitar bandar raya ini yang mengikuti seminar anjuran Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama BH di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badin, Tuaran, Nur Atiqah Jamlen, 17, berkata dia bangun seawal jam 6.30 pagi untuk bersiap ke sekolah sebelum bertolak ke UMS.

Dia yang menyertai seminar bersama 14 rakan sekolah menganggap kehadiran ke UMS adalah pengorbanan untuk meraih kejayaan dalam SPM tahun ini.

“Ini kali pertama saya mengikuti program berteraskan teknik menjawab peperiksaan seumpama ini dan pastinya teruja untuk datang ke sini.

“Saya dan rakan-rakan memperoleh banyak maklumat dan teknik menjawab soalan peperiksaan yang berbeza ketika berada di sekolah.

“Selain itu, kita dapat berkenalan dengan rakan dari sekolah lain dan boleh bertukar pandangan bersama mereka,” kata anak sulung daripada dua beradik itu.

Seorang lagi peserta, Normanisah Yusop, 17, dari SMK Perempuan Likas menyatakan kegembiraannya dapat mengikuti seminar berkenaan kerana bukan semua pelajar berpeluang dipilih menyertainya.

“Saya agak lemah dalam subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah. Sudah pasti saya mahu memperbaiki kelemahan melalui penyertaan dalam seminar ini dan berharap dapat mencapai keputusan cemerlang dalam SPM nanti.

“Saya juga bukan berasal dari keluarga senang kerana ayah hanya bekerja sebagai buruh kasar dan ibu seorang tukang sapu. Oleh itu, saya berazam untuk berjaya dalam pelajaran dan hendak mengubah nasib keluarga,” katanya.

Kota Kinabalu adalah lokasi seminar kedua di Sabah selepas program sama diadakan di Beaufort Jun lalu dan ia akan diteruskan di dua lagi lokasi iaitu Kota Belud serta Tawau, pada 29 September dan 13 Oktober ini.

Sementara itu, Pengurus Besar YBR, Norashikin Shaharudin, berkata pihaknya sentiasa komited dalam membantu meningkatkan bidang pendidikan di seluruh negara.

“Sabah pastinya tidak terkecuali kerana kita lihat sambutan amat baik di negeri ini sehingga terpaksa mengehadkan jumlah peserta berikutan terlalu ramai.

“Oleh itu, kita banyak mengadakan program seumpama ini di negeri ini kerana tidak mahu ada pelajar tercicir mendapat pelbagai maklumat baharu daripada penceramah berpengalaman,” katanya.

Sumber: Berita Harian

RM132 juta laksana pembangunan inovasi di UMP

TIMBALAN Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMP, Prof Datuk Dr Mashitah Mohd Yusof. – Foto ihsan UMP

PEKAN: Kira-kira RM132 juta peruntukan disalurkan bagi membantu penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP) membangunkan inovasi di peringkat awal sebelum dikomersilkan di pasaran terbuka.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMP, Prof Datuk Dr Mashitah Mohd Yusof, berkata daripada jumlah itu, kira-kira RM47 juta yang diperuntukkan dalam tempoh 16 tahun iaitu sejak penubuhan universiti itu adalah daripada dana universiti berkenaan.

Katanya, peruntukan daripada UMP itu adalah untuk melaksanakan 178 projek pembangunan inovasi di peringkat awal manakala RM84 juta lagi disalurkan agensi kerajaan bagi membangunkan 712 projek penyelidikan.

“Antara kementerian yang menyalurkan dana berkenaan ialah Kementerian Pendidikan; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (kini dikenali Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Peruntukan itu adalah untuk memulakan projek termasuk aspek perniagaan dan sekarang kita mahu memfokuskan bagaimana untuk mara lebih jauh bagi mengkomersilkannya di pasaran.

“Kita juga kita mendapat kepercayaan daripada agensi luar untuk membuat penyelidikan,” katanya ketika ditemui NSTP di UMP Kampus Pekan, dekat sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mashitah berkata, pihak pentadbiran UMP sentiasa menggalakkan pensyarah dan pelajarnya untuk lebih giat membangunkan inovasi selaras dengan statusnya sebagai universiti berasaskan teknologi.

“Paling penting adalah inovasi berkenaan memberi manfaat kepada masyarakat… ada beberapa contoh produk berjaya membantu orang ramai seperti Pisoptera iaitu umpan anai-anai dihasilkan menggunakan bahan semula jadi.

“Ia turut mendapat Anugerah Inovasi Negara pada 2017 dan memenangi anugerah khas seperti produk mesra alam, inovasi berkenaan mendapat sambutan dan mencipta pasaran lain pula… ia satu perkembangan positif,” katanya.

Beliau juga berkata, inovasi lain memberi kesan positif kepada masyarakat adalah Biofeedback yang membantu mengatasi masalah pelajar tidak berdisiplin serta bekas penagih menerusi kaedah unik yang membawa kepada pengawalan diri seseorang.

“UMP juga ada membangunkan mesin memotong daun mengkuang dengan tepat yang memudahkan masyarakat Orang Asli di Chini, Pekan membuat anyaman, produktiviti dapat ditingkatkan.

“Kesan positif ini adalah selaras dengan slogan kita untuk memasyarakatkan teknologi iaitu membantu kehidupan orang ramai menerusi pelbagai inovasi dilaksanakan UMP,” katanya.

Sumber: Berita Harian

UMT bantu penuntut baharu kurang berkemampuan

TIMBALAN Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Prof Dr Ir Noor Azuan Abu Osman. – Foto Aizuddin Saad

KUALA NERUS: Seramai 365 penuntut baharu yang kurang berkemampuan untuk menjelaskan yuran kemasukan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima bantuan daripada tabung dermasiswa Al-Ikhlas sebanyak RM300 seorang.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Prof Dr Ir Noor Azuan Abu Osman, berkata bantuan itu diberikan kepada penuntut daripada kalangan keluarga berpendapatan isi rumah kurang RM4,000 sebulan.

Beliau berkata, peruntukan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM109,546 itu adalah hasil insentif potongan zakat daripada 197 kakitangan UMT untuk membantu penuntut kurang berkemampuan yang ditawarkan tempat mengikuti pengajian sesi 2018/2019.

“Bantuan kewangan kepada penuntut yang dikategorikan asnaf ini dimasukkan secara terus ke dalam akaun mereka secara berperingkat sepanjang minggu jalinan mesra bermula Isnin lalu,” katanya kepada NSTP ketika ditemui hari ini.

Noor Azuan berkata, seramai 216 penuntut yang dikategorikan sebagai asnaf dan layak menerima bantuan itu berasal dari Terengganu, Kelantan (76), Kedah (21), Pahang (18), Johor (sembilan), Perak (tujuh), Sabah (empat), Melaka (tiga), Perlis (tiga), masing-masing dua dari Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor serta seorang dari Sarawak dan Kuala Lumpur.

Katanya, dermasiswa Al-Ikhlas adalah sebahagian daripada inisiatif di bawah pelan transformasi pengurusan penjanaan zakat dan wakaf serta pelaksanaan instrumen baharu iaitu infak di UMT yang sedang diusahakan Pusat Islam Sultan Mahmud UMT (PISM).

“Selain dermasiswa Al-Ikhlas, UMT mewujudkan tabung dermasiswa Endowmen bagi menaja penuntut miskin termasuk anak yatim piatu.

“Penajaan berjumlah RM3,000 setahun membabitkan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM243,000 itu bakal memberi manfaat kepada 27 penuntut miskin terutamanya membabitkan anak yatim piatu,” katanya.

Ketika mengulas jumlah keseluruhan penuntut yang ditawarkan melanjutkan pengajian dalam 27 bidang pada sesi kemasukan tahun ini, Noor Azuan berkata, seramai 2,893 penuntut mendaftar untuk mengikuti program Sarjana Muda.

“Daripada jumlah ini, seramai 2,454 penuntut adalah lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan matrikulasi manakala 439 lagi untuk calon lepasan diploma,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Silibus baharu Sekolah Agama Johor

PENGARAH JAINJ, Md Rofiki Shamsudin dan Timbalan Pengarah Pendidikan Agama JAINJ, Anoar Sarimin hadir pada prapelancaran Sambutan 100 Tahun Pendidikan Islam Negeri Johor Darul Ta’zim (1918-2018), di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar Johor (PIIJ), Johor Bahru, hari ini. – Foto Zain Ahmed

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri menerusi Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan mengkaji semula sukatan pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Sekolah Agama Johor sejajar perubahan zaman.

Timbalan Pengarah Pendidikan Agama JAINJ, Anoar Sarimin, berkata tumpuan akan diberikan kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran berasaskan teknologi moden.

Katanya, tumpuan akan diberikan kepada kaedah digital sejajar perkembangan semasa selain menambah baik silibus pembelajaran di sekolah.

“Kami mahu pastikan pembelajaran sekolah agama tidak terhenti di Darjah Khas, sebaliknya dikembangkan ke tahap Sekolah Menengah Agama (SMA) dan institut pengajian tinggi.

“Buat masa ini, kami masih mengkaji silibus pembelajaran sekolah menengah dan kajian mengenainya masih berjalan.

“Pada masa sama, kerajaan negeri bercadang membina Universiti Islam Johor namun ia masih di peringkat cadangan,” katanya pada sidang media sempena prapelancaran Sambutan 100 Tahun Pendidikan Islam Negeri Johor Darul Ta’zim (1918-2018), di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar Johor (PIIJ), di sini, hari ini.

Program disempurnakan Pengarah JAINJ, Md Rofiki Shamsudin.

Sambutan majlis bertemakan Pendidikan Islam negeri Johor: Memartabatkan Ahli Sunnah Wal Jamaah Al-Asyairah dan Al-Maturidiah Melalui Pendidikan Islam Johor akan diadakan bermula 13 hingga 20 September ini.

Anoar berkata, ketika ini Johor mempunyai 580 sekolah agama (rendah) di seluruh negeri dan hanya dua SMA iaitu SMA Kerajaan Johor, Kluang dan SMA Maahad, di sini.

Katanya, perubahan sukatan pengajaran dan pembelajaran dilakukan secara berperingkat.

Beliau berkata, silibus darjah empat sudah diubah bermula tahun ini dan akan diperluaskan kepada murid darjah lima, enam dan darjah khas bermula tahun depan.

“Silibus baharu itu mempunyai gaya bahasa lebih mudah dan tulisan Jawi moden. Kita merujuk sukatan dan kandungan kitab mutla’al badrin yang menjadi asas pendidikan agama Johor.

“Bagaimanapun, ia diterbitkan semula dengan tulisan ejaan baru dan gaya bahasa yang diubah mengikut gaya bahasa sekarang. Kalau kitab lama tidak semua boleh baca, jadi kita tuliskan semula dalam tulisan Jawi dengan ejaan baharu,” katanya.

Anoar berkata, sistem pendidikan Agama Islam Johor bukan sahaja diiktiraf di seluruh negara, malah menjadi rujukan Brunei, Indonesia dan Singapura.

Malah, katanya, pada 1970-an hingga 1980-an, ramai lepasan pelajar Sekolah Agama Johor yang layak dipinjamkan ke Brunei untuk mengajar di negara itu.

Sumber: Berita Harian

164 kertas penyelidikan dibentang sempena CiE-TVET 2018

TIMBALAN Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Mohammad Naim Yaakub merasmikan Persidangan Kebangsaan Dalam Sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional 2018 (CiE-TVET) di Politeknik Merlimau, hari ini. – Foto Shaiffulazhar Misri

JASIN: Sebanyak 164 kertas penyelidikan berjaya dibentangkan pada Persidangan Kebangsaan Dalam Sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional 2018 (CiE-TVET) di Politeknik Merlimau, di sini.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Mohammad Naim Yaakub, berkata jumlah itu adalah daripada 169 kertas kerja yang didaftarkan, sekali gus menjadi jumlah tertinggi sepanjang penganjuran persidangan berkenaan.

Beliau berkata, kertas penyelidikan yang terpilih hasil daripada pembentangan CiE-TVET itu akan diterbitkan dalam versi dalam talian, `e-proceeding’.

“Sebanyak 24 kertas penyelidikan terpilih akan diterbitkan dalam e-jurnal Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).

“Terdapat tiga e-jurnal yang dikendalikan oleh JPPKK iaitu jurnal kejuruteraan dan teknologi, jurnal sains sosial dan kemanusiaan serta jurnal pembelajaran sepanjang hayat,” katanya selepas merasmikan persidangan itu di Politeknik Merlimau, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Ishak Mohamad dan Pengarah Politeknik Merlimau, Rosli Hamid.

Persidangan dua hari bermula semalam yang bertemakan Revolusi Industri 4.0 Melalui TVET itu, antara lain bertujuan menggalakkan budaya penyelidikan dalam kalangan pensyarah TVET.

Mohammad Naim berkata, menerusi perkembangan Revolusi 4.0, warga pendidik harus mengambil peluang sebaiknya untuk meneroka ilmu baharu menerusi penyelidikan dalam menghasilkan inovasi.

“Dalam bidang pendidikan, kita sebagai pendidik harus mengadaptasikan diri dalam perkembangan teknologi semasa supaya tidak ketinggalan.

“Ini kerana situasi masa kini memerlukan kita berfikir secara kritis dan kritikal, berbanding generasi terdahulu,” katanya.

Sumber: Berita Harian