Tiada lagi ‘murid terapung’ – Dr Maszlee

MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik. – Foto Mohd Fadli Hamzah

KUALA LUMPUR: Isu ‘murid terapung’ iaitu tanpa bilik darjah tetap, tidak akan berlaku lagi susulan langkah membenarkan kemasukan pelajar tanpa dokumen ke sekolah.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata kementerian dalam proses memastikan kemudahan dan prasarana sekolah yang menerima pelajar tanpa dokumen itu dibaik pulih dan ditingkatkan.

Katanya, era pentadbiran kerajaan baharu tidak akan membenarkan kes murid terapung berterusan.

“Kita akan pastikan murid berada dalam kelas masing-masing dan tidak ‘terapung’,” katanya menjawab soalan tambahan Ma’mun Sulaiman (WARISAN-Kalabakan) pada Sesi Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Ma’mun dalam soalannya ingin mengenai adakah kes ‘murid terapung’ masih berlaku berikutan langkah membenarkan kanak-kanak tanpa dokumen bersekolah di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.

Maszlee berkata, kerajaan tidak akan mengabaikan mana-mana kumpulan murid sama ada yang mempunyai dokumen dan sebaliknya untuk mendapat pendidikan.

Katanya, sekolah daif yang menerima kemasukan pelajar tanpa dokumen ini akan dibaik pulih dan diberikan keutamaan supaya sesi pembelajaran berjalan dengan baik.

Menjawab soalan asal Ma’mun mengenai tindakan Kementerian Pendidikan sebagai persediaan kemasukan pelajar tiada dokumen ke sekolah mulai tahun depan, Maszlee berkata, langkah itu tidak menjejaskan peluang dan kemudahan persekolahan kepada pelajar sedia ada di seluruh negara.

“Kementerian bertanggungjawab menyediakan prasarana pendidikan yang mencukupi bagi menampung keperluan murid sekolah kerajaan.

“Kementerian akan memastikan prasarana sekolah di Sabah dan Sarawak serta di kawasan pedalaman tidak dipinggirkan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Nancy Shukri (GPS PBB-Batang Sadong) mengenai guru diberi latihan urusan dokumen bagi mendapatkan kad pengenalan dan borang pengesahan persekolahan, beliau berkata, kementerian sedia memberi latihan sewajarnya bagi memudahkan urusan dokumentasi pelajar.

Sumber: Berita Harian

Advertisements

Perjelas DLP kepada ibu bapa

TEO Nie Ching . – NSTP/Mohd Fadli Hamzah

KUALA LUMPUR: Pihak sekolah bertanggungjawab memberi penjelasan kepada ibu bapa atau penjaga mengenai kesesuaian seseorang pelajar mengikuti Program Dua Bahasa (DLP).

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, berkata berdasarkan kajian kementerian, tidak semua pelajar sesuai mengikuti DLP, namun ada ibu bapa dan penjaga yang memiliki harapan tinggi mahukan anak mereka mengikuti DLP.

Pada masa sama, katanya, ibu bapa dan penjaga perlu mempunyai naluri menilai sama ada anak mereka sesuai mengikuti DLP atau sebaliknya, bagi mengelak pelajar rasa tertekan jika terpilih mengikuti program itu.

“Pihak sekolah bertanggungjawab memberi penerangan mengenai kebaikan dan kelebihan DLP kepada ibu bapa. Ia adalah program pilihan tetapi tidak semestinya sesuai untuk semua murid.

“Ada ibu bapa teringin anak mereka masuk DLP tetapi akhirnya pelajar yang tertekan.

“Justeru, sekolah patut menjelaskan manfaat DLP kepada ibu bapa dan penjaga bagi mengetahui ia sesuai atau tidak,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN UMNO-Parit Sulong) sejauh mana keberkesanan DLP kepada murid dan langkah kementerian menambah baik sumber di sekolah luar bandar untuk meningkatkan DLP.

Sehingga kini, seramai 22,960 pelajar sekolah rendah dan menengah terbabit dalam program DLP.

Terdahulu, Nie Ching berkata, kementerian menjalankan kajian impak DLP yang lebih komprehensif bagi melihat keberkesanan program itu dan keputusan dijangka diketahui pada Januari tahun depan.

Beliau berkata, kajian itu dibuat selepas kementerian mengadakan dua fasa pemantauan pencapaian murid dan pelajar pada 2016 dan 2017.

“Fasa pertama membabitkan perbandingan antara pencapaian pelajar dalam peperiksaan mata pelajaran Bahasa Inggeris pada akhir 2016 dan pencapaian mereka dalam peperiksaan mata pelajaran sama bagi pertengahan 2017.

“Hasilnya, 36.28 peratus murid menunjukkan peningkatan dalam bahasa Inggeris manakala bagi sekolah menengah, 46.44 peratus pelajar menunjukkan peningkatan,” katanya.

Nie Ching berkata, pemantauan fasa kedua membabitkan perbandingan pencapaian pelajar dalam Bahasa Inggeris bagi peperiksaan pertengahan 2017 dan akhir tahun 2017 mendapati 55.82 peratus murid dan 57.23 peratus pelajar menunjukkan peningkatan. ​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​

Katanya, DLP adalah pilihan yang membantu pelajar menguasai bahasa Inggeris dan berdasarkan kajian keputusan peperiksaan akhir tahun bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Matematik serta Sains, menunjukkan peningkatan ketara bagi yang mengikuti DLP.

Sumber: Berita Harian

GAMIS kena kembali kepada BBPM – Wan Saiful

PENGERUSI Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan. – Foto L Manimaran

ARAU: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) seharusnya kembali kepada Budaya Baru Politik Mahasiswa Gamis (BBPM) seperti yang diuar-uarkan gabungan itu pada September tahun lalu.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan, berkata tindakan mahasiswa GAMIS yang berarak sambil mendesak Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan dirinya meletak jawatan seolah sudah melanggar prinsip BBPM yang diamalkan mereka selama ini.

“Saya tak mahu ulas bab itu (desakan GAMIS), tapi saya nak ulas satu kenyataan yang dikeluarkan mereka di Facebook pada 11 September tahun lalu.

“Pada kenyataan itu, GAMIS menyatakan bahawa mereka berpegang pada BBPM dan di dalamnya ada tujuh budaya atau ciri-ciri yang ditekankan dalam kerangka mahasiswa berpolitik.

“Antaranya pembudayaan politik berteraskan Islam, mengutamakan diplomasi seperti diskusi dan pendekatan damai, serta mengelakkan pertentangan fizikal dan huru hara. Jadi saya harap GAMIS periksa semula adakah tindakan mereka semalam (kelmarin) selari dengan BBPM,” katanya ketika ditemui di Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Perlis di Jejawi malam tadi.

Kelmarin, lebih 100 mahasiswa terdiri daripada GAMIS berarak sejauh kira-kira tiga kilometer (km) dari pekarangan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek ke menara PTPTN sambil membawa beberapa sepanduk seperti ‘Mahasiswa Ditekan’ dan ‘Kami Ditipu’.

Mereka mendesak Maszlee dan Wan Saiful untuk meletakkan jawatan selepas didakwa gagal melaksanakan janji Manifesto Pakatan Harapan (PH) iaitu peminjam PTPTN membuat pembayaran balik apabila gaji mereka melebihi paras RM4,000.

Mengulas lanjut mengenai desakan itu Wan Saiful berkata, dia mengalukan pendapat bernas dari GAMIS dalam membantu kerajaan melaksanakan janji berkaitan PTPTN di masa akan datang.

“Pada Disember ini, PTPTN akan mengadakan sesi penerangan bersama pemegang taruh di seluruh negara dan GAMIS adalah salah satu daripada pemegang taruh yang akan dipanggil.

“Jadi saya harap pada waktu itu, mereka boleh kemukakan idea dan rumusan yang bertepatan dengan BBPM GAMIS,” katanya.

Sumber: Berita Harian

3 graduan masalah penglihatan terima ijazah

KOTA KINABALU: Kekurangan diri bukan penghalang buat tiga graduan Orang Kurang Upaya (OKU) yang mengalami gangguan penglihatan untuk menyelesaikan pengajian Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Mereka ialah Amirul Nabil Jamaludin, 23; Harryson Tai, 23, dan Ally Racheal Yunus, 25, yang menerima ijazah masing-masing sempena Majlis Konvokesyen UMS Ke-20 di sini, hari ini.

Berasal dari Pontian, Johor, pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial, Amirul Nabil tidak pernah membataskan pembabitannya sama ada akademik mahupun kokurikulum sepanjang menuntut di universiti berkenaan.

Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, dia mengalami gangguan penglihatan akibat glaukoma ketika berada di Tingkatan Tiga.

“Setakat ini, saya hanya mengalami gangguan penglihatan 50 peratus dan masih boleh berjalan tanpa guna tongkat.

“Walaupun cuma gangguan sebahagian sahaja, saya tetap mengalami masalah terutama ketika membaca. Saya akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hari untuk menghabiskan semua bahan yang diperlukan untuk pembelajaran,” katanya.

Seorang lagi graduan istimewa, Harryson berkata, antara cabaran dilaluinya ketika mengikuti pengajian adalah memasuki kelas biasa seperti pelajar normal.

“Semua sesi pembelajaran dijalankan seperti biasa termasuk nota ringkas yang ditayangkan pensyarah dan ia menjadi masalah buat kami yang tidak boleh melihat.

“Kebiasaannya, saya mengambil inisiatif bertemu pensyarah itu semula dan mendapatkan semula nota yang diberikan.

“Selain itu, rakan yang berkelapangan menjadi rakan pembaca supaya lebih mudah saya faham isi kandungan buku atau edaran dan menaipnya semula dalam tulisan braille atau komputer,” katanya.

Ally pula berkata, dia nekad menghabiskan pengajiannya dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sain Sosial (Sejarah) walaupun berdepan kekurangan dan merancang mencari pekerjaan sesuai selain mahu menyambung pengajian dalam jurusan sama di peringkat sarjana.

Sumber: Berita Harian

Kementerian Pendidikan hargai inisiatif NSTP

FARIDAH (dua dari kanan) melawat kaunter jualan buku terbitan NSTP bersama Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid (dua dari kiri), Ketua Pegawai Komersial NSTP, Alfian Abu Talib (kiri) dan Pengurus Besar Jabatan Vertikal Pendidikan NSTP, Farah Ezrin Mohd Rashidi ketika melawat kaunter pameran pada Majlis Penghargaan ‘Sepetang bersama sama Guru 2018’ di Hotel Renaissance Kuala Lumpur. – NSTP/Nurul Shafina Jemenon

KUALA LUMPUR: Penglibatan semua pihak dalam pelbagai aktiviti di sekolah mampu merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan kelas pertama, bersesuaian dengan konsep sekolah milik masyarakat.

Timbalan Pengarah (Murid) Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan (KPM), Faridah Yang Razali, berkata pihak kementerian sentiasa terbuka untuk berkolaboratif dengan pelbagai yang berminat untuk menganjurkan pelbagai program bersesuaian.

“Inisiatif NSTP menghasilkan pelbagai produk berkaitan pendidikan selari dengan anjakan kesembilan dalam Pelan pembangunan Pendidikan Malaysia (PPM) 2013-2025 iaitu bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.

“Saya berharap lebih banyak sektor swasta tampil untuk menaja pelbagai program bagi memperkasakan pendidikan negara untuk melahirkan generasi berakhlak mulia, mampu membuat keputusan dan bersedia menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penghargaan Sepetang Bersama-sama Guru 2018, di sini, hari ini.

FARIDAH (tengah), Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid dan Pengurus Besar Jabatan Vertikal Pendidikan NSTP, Farah Ezrin Mohd Rashidi bergambar bersama guru guru yang hadir pada Majlis Penghargaan ‘Sepetang bersama sama Guru 2018’ di Hotel Renaissance Kuala Lumpur. – NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (NSTP), Datuk Seri Abdul Jalil Hamid; Ketua Pegawai Komersial NSTP, Alfian Abu Talib; Pengurus Besar Jabatan Vertikal Pendidikan NSTP, Farah Ezrin Mohd Rashidi; Pengurus Besar, Jabatan Jualan, Pengedaran Akhbar NSTP, Alfian Alias dan Pengurus Besar Pengiklan NSTP, Roche Chew.

Majlis penghargaan untuk guru-guru yang melanggan sisipan pendidikan BH dan NST itu menutup tirai siri jelajah NSTP tahun ini selepas Kelantan, Melaka, Johor dan Kedah.

Seramai 500 guru membabitkan 280 sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor hadir pada majlis itu yang turut ditaja oleh TAMU Hotel and Suites Kuala Lumpur dan AVANA Fitness.

Selain itu, Faridah berkata, guru perlu menguasai pelbagai kemahiran bagi dimanfaatkan dalam pengajaran dan pemudahcaraan seiring dengan perkembangan pesat teknologi hari ini.

“Dalam penggulungan perbahasan Kajian Separuh Penggal di Parlimen, baru-baru ini, Menteri Pendidikan (Dr Maszlee Malik) banyak menyentuh mengenai warga pendidik antaranya untuk memartabatkan profesion keguruan melalui pelbagai insiatif yang bakal dirancang oleh kementerian.

“Sebagai contoh, penubuhan Jawatankuasa Mengkaji Beban Guru (JKMBG) diharap dapat membantu guru untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugas hakiki sebagai pendidik kerana kemenjadian murid bukan hanya dilihat kepada kejayaan dalam akademik, sebaliknya juga dalam pelbagai aspek lain,” katanya.

Majlis diadakan bagi menghargai sekolah yang melanggan akhbar BH menerusi sisipan pendidikan Skor, Minda dan Didik termasuk sisipan akhbar New Straits Times (NST) iaitu School Times.

Program santai selama tiga jam itu turut menampilkan forum bertajuk Akhbar Membantu Melahirkan Generasi Berilmu serta cabutan bertuah.

Sumber: Berita Harian

Universiti wakaf pertama akan dibina – Fuziah Oleh Fahmy Azril Rosli

TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh pada sidang media selepas hadir menyampaikan sijil dan diploma di Majlis Konvokesyen KPBKL yang ke-12 di Kuala Lumpur, hari ini. – Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Malaysia bakal mempunyai universiti wakaf pertama seumpamanya di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, berkata bagi merealisasikan hasrat itu, dua kolej iaitu Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS) dan Kolej Baitulmal Profesional Kuala Lumpur (KBPKL) kelolaan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan digabung membentuk sebuah universiti wakaf.

Beliau berkata, MAIWP sudah mengenalpasti sebidang tanah di sekitar Kuala Lumpur untuk membangunkan universiti berkenaan dalam usaha memperkasakan konsep wakaf di negara ini.

Difahamkan sebidang tanah yang terletak di Kepong dikenalpasti oleh MAIWP untuk membangunkan universiti wakaf.

“Belum ada lagi (universiti wakaf di Malaysia). Model ini ada di Mesir contoh di Universiti Al-Azhar dan Turki. Jadi, kita ambil sebagai model di Malaysia.

“Untuk bangunkan universiti ini, kita sudah ada laluan atau asas dari segi pensijilan dan kepakaran. Kedua-dua kolej dapat pengiktirafan daripada MQA (Agensi Kelayakan Malaysia). Yang tinggal sekarang cuma (kos dan pembinaan) fizikal universiti wakaf itu.

“Sebab sekarang ini kedua-dua kolej ini dibiayai oleh MAIWP masing-masing sebanyak RM25 juta dan RM27 menyaksikan jumlah keseluruhan RM52 juta setahun. Ia adalah jumlah yang tinggi yang dibiayai oleh MAIWP melalui peruntukan zakat fisabilillah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir menyampaikan sijil dan diploma di Majlis Konvokesyen KPBKL yang ke-12 di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi KPBKL, Datuk Razali Shahabudin dan Ketua Pegawai Eksekutif KPBKL, Sakaria Semela.

Seramai 1,390 graduan diraikan dalam majlis berkenaan yang berlangsung di Dewan Wawasan Menara PGRM.

Terdahulu dalam ucapannya, Fuziah mengajak umat Islam supaya progresif memperkasakan alternatif wakaf sebagai antara langkah memajukan ummah.

Katanya, negara di barat sudah melangkah ke hadapan dengan memartabatkan tabung endownment.

“Universiti Oxford dan Cambridge menerajui dana endowment tertinggi di United Kingdom (UK) dengan masing-masing mempunyai £4,245.9 juta dan £5,890 juta pada 2014.

“Kebanyakan universiti di UK mempunyai tabung endownment yang berbeza pendapatannya.

“Jika ini menjadi kenyataan, maka universiti mampu beroperasi tanpa kenaikan yuran ketara yang dapat menimbulkan kegelisahan dalam kalangan pelajar dan masyarakat sekali gus dapat menangani kenaikan yuran yang ketara ketara sehingga menimbulkan kegelisahan pelajar dan masyarakat,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Datuk 71 tahun terima ijazah sarjana

DATUK Cosmas Julius Abah@Eddoi menerima Ijazah Sarjana Sastera (Linguistik) pada Majlis Konvokesyen UMS ke-20 di Kota Kinabalu, hari ini. – Foto Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Berusia 71 tahun dan memiliki empat cucu bukan halangan buat Datuk Cosmas Julius Abah@Eddoi menyambung pengajian, seterusnya bergelar graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Cosmas yang menerima Ijazah Sarjana Sastera (Linguistik) pada Majlis Konvokesyen UMS ke-20 hari ini, berkata, menyambung pengajian pada usia emas bukan mudah, namun ia antara cabaran perlu ditempuhnya.

Selain faktor usia, katanya, meneruskan pengajian dalam dua bidang berbeza juga salah satu cabaran ketika menuntut ilmu selama lebih dua tahun di UMS.

“Sebelum ini, saya adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dan kali terakhir bertugas sebagai Pengarah Jabatan Air Sabah sebelum bersara pada 2003.

“Selepas bersara, saya tidak pernah terfikir menyambung pengajian tetapi beberapa tahun lalu hati saya tiba-tiba tergerak untuk menambah ilmu pengetahuan di peringkat ijazah sarjana berkaitan bahasa.

“Saya sendiri adalah penutur bahasa Kadazan Papar dan melihat bahasa ini semakin kurang dituturkan dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda,” katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen, di sini, hari ini.

Cosmas adalah antara 793 graduan yang menerima ijazah termasuk ijazah kedoktoran, ijazah sarjana dan diploma bagi sidang satu Majlis Konvokesyen UMS ke-20.

Seramai 5,003 graduan terdiri daripada 4,276 ijazah sarjana muda, 603 ijazah sarjana, 55 ijazah doktor falsafah dan 69 diploma menerima ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen tahun ini.

Sementara itu, graduan kerdil, Abdul Sabah@Mohammad Saba Mohd, 50, tidak mahu kekurangan pada diri mematah semangatnya untuk menghabiskan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Sastera (Sejarah).

Memilih sejarah Pulau Timbang di pantai timur Sabah sebagai tajuk kajian, Abdul Sabah yang bertugas di Pejabat Pendidikan Sandakan menyatakan, walaupun adakalanya terdapat diskriminasi dari segi layanan berikutan kekurangan diri, semangat untuk menggenggam ijazah sarjana tidak luntur.

“Saya mahu meneruskan pengajian di peringkat doktor falsafah dalam bidang sama pula selepas ini dan sudah mengisi borang secara atas talian.

“Selagi keinginan belajar ini masih ada, saya akan menyambung pendidikan selagi mampu,” katanya yang hadir bersama isteri dan anaknya berusia enam tahun.

Sumber: Berita Harian