Asas agama: ibu bapa yakin kemampuan KAP

23/01/2010

SEREMBAN 22 Jan. – Menyedari tentang kepentingan asas agama, semakin ramai ibu bapa menghantar anak mereka ke Kelas Agama Petang (KAP) dengan harapan dapat melahirkan generasi modal insan yang cemerlang.

Malah tinjauan Utusan Malaysia di kalangan ibu bapa, ramai yang memandang positif langkah kerajaan negeri memperkenalkan KAP untuk pelajar sekolah kebangsaan.

Bukan itu saja, ada yang berpendapat KAP berjaya menerapkan pendidikan Islam seawal mungkin dengan memberi pendedahan dari segi latihan dan bimbingan tilawah, hafaz al-Quran, penguasaan tulisan jawi dan asas bahasa Arab.

Seorang bapa, Ramlee Zakaria, 37, berkata, KAP merupakan satu usaha baik bagi melahirkan generasi yang berkualiti dan mempunyai teras agama yang kukuh.

“Ini pertama kali saya menghantar anak ke KAP. Saya bimbang anak saya akan menangis, tetapi sebaliknya dia yang menyuruh saya balik dan tidak menunggunya.

“Saya lihat KAP ini sangat berkesan dalam membimbing anak-anak untuk melahirkan ilmuwan yang berteraskan Islam. Di samping itu, anak saya dapat memanfaatkan sepenuhnya masanya dengan menuntut ilmu,” katanya.

Bagi Normah Tampong, 39, pembelajaran KAP memberi impak positif kepada anaknya dalam amalan harian dan pembacaan al-Quran.

“Anak saya mampu membaca doa dengan fasih dan mengamalkan dengan baik terutama apabila membaca doa makan.

“Walaupun anak-anak mempunyai masa pembelajaran yang panjang di sekolah, tetapi kesannya sangat baik dan menjadikan mereka mahir dalam pelbagai bidang,” katanya.

Sementara itu Abdul Ghani Murad, 44, berkata, KAP merupakan medium yang berkesan bagi ibu bapa yang tercari-cari kelas agama yang baik untuk anak mereka.

“Tenaga pengajar di sini terdiri daripada mereka yang berpengalaman dan mempunyai kemahiran dalam perkara yang diajar.

“Hasilnya, anak saya dapat mengikuti kelas ini dengan baik dan ilmu tersebut dapat dikongsi dengan adik-adiknya di rumah,” katanya lagi.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_05.htm

KAP mantapkan pendidikan agama generasi muda

23/01/2010

ANIS Alya Hazani menulis tulisan jawi ketika mengikuti Kelas Agama Petang di Sekolah Kebangsaan Taman Tuanku Ja’afar Dua, kelmarin.


SEREMBAN 22 Jan. – Pada Februari 2005, kerajaan negeri memperkenalkan Kelas Agama Petang (KAP) dengan penekanan terhadap pendidikan agama dalam usaha membentuk asas agama yang kukuh di kalangan generasi muda.

Sasaran utama KAP adalah murid Islam dari tahun satu hingga lima yang belajar di sekolah kebangsaan seluruh negeri ini.

Kini, setelah hampir lima tahun ia dilaksanakan, KAP terus menjadi teras ke arah memantapkan generasi akan datang dengan akhlak mulia dan budi pekerti tinggi.

Sememangnya tanggungjawab melahirkan generasi yang cemerlang dalam pelbagai lapangan ilmu menjadi teras utama bagi kerajaan negeri untuk mencapai misi tersebut.

Usaha itu mendapat kerjasama jitu daripada semua pihak termasuk sekolah-sekolah.

Statistik Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) mencatatkan sehingga kini terdapat lebih 35,801 murid di 200 buah sekolah kebangsaan di seluruh negeri ini menyertai KAP.

Menurut Penyelaras KAP, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Tuanku Ja’afar Dua (SKTTJ 2), Nadzrah Abd. Rahman, silibus pembelajaran KAP meliputi pelbagai aspek seperti fardu ain, tajwid, hafalan, dan kaedah bacaan al-Quran yang berkesan.

”KAP meliputi murid-murid dari darjah satu sehingga darjah lima. Kita akan mengajar mengikut tahap kefahaman mereka dan setiap tahap tersebut ada ujian tertentu yang mereka perlu lalui.

”Bagi murid yang lemah dari segi pembelajaran, kita memberikan tumpuan lebih serta modul pembelajaran yang berbeza,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya lagi, murid yang menyertai KAP mempunyai penguasaan membaca al-Quran yang baik berbanding murid yang tidak menyertai kelas itu.

”Sebagai contoh, pada kelas sesi pagi kita uji pembacaan murid-murid dalam mata pelajaran Agama Islam dan murid yang menyertai KAP mampu membaca dengan lebih baik.

”Selain itu, murid KAP akan menduduki ujian khas iaitu Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) pada darjah lima. Ujian ini dijalankan bagi mengukur tahap kefahaman mereka sepanjang mengikuti kelas tersebut,” katanya.

Menurutnya, ujian UPKK memberi kelebihan kepada murid untuk masuk ke kelas aliran agama apabila di tingkatan satu nanti.

”Dari tahun ke tahun, terdapat peningkatan dari jumlah bilangan murid yang mendaftar. Hal ini membuktikan ibu bapa menyedari tentang kepentingan KAP ini.

”Namun, ibu bapa perlu bersama-sama mendidik anak-anak ini dan tidak menyerahkan bulat-bulat kepada guru sekolah,” katanya.

KAP di STTJ 2 beroperasi sejak 2005 dan pada tahun ini seramai 500 murid telah mendaftar pada hari pertama KAP bermula.

Seorang murid SKTTJ 2, Mohd. Rifaie Mohd. Nazam, 8, berkata, pembelajaran KAP menyeronokkan dan menarik .

“Saya suka datang ke kelas ini kerana ramai kawan hadir untuk belajar agama.

”Di samping itu, ustazah di sini sentiasa membimbing saya mengaji dengan betul dan sekarang saya sudah mahir menulis jawi,” ujarnya.

Nur Dinie San Kamarulzaman, 8, pula berkata, KAP berjaya memupuk minatnya terhadap pembelajaran agama dengan lebih mendalam.

”Saya hendak khatam al-Quran sebelum masuk tingkatan satu,” ujarnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_03.htm