Pendidikan kanak-kanak bawah 5 tahun kritikal

12/06/2011

PULAU PINANG 11 Jun – Pendidikan kanak-kanak di bawah usia lima tahun perlu diberi perhatian serius kerana tempoh tersebut paling formatif dan amat kritikal dari segi perspektif pembangunan insan.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, kanak-kanak yang diberi perhatian, bimbingan dan didikan yang baik ketika usia tersebut akan membesar menjadi orang dewasa yang berketrampilan dan berdaya maju.

Jelas beliau, terdapat bukti kukuh bahawa lima tahun pertama pembesaran kanak-kanak amat kritikal bagi pembangunan, prestasi dan kejayaan mereka dan ia turut diakui banyak pihak termasuk pakar dalam bidang pendidikan dan ekonomi.

“Sejarah membuktikan negara yang mengabaikan aspek pendidikan terutama pada peringkat awal kanak-kanak akan ketinggalan dan mengalami kesukaran untuk memajukan ekonomi dan masyarakat mereka.

“Justeru, ini adalah peluang yang tidak patut kita lepaskan atau kita akan kehilangan potensi modal insan yang paling berharga untuk masa depan negara,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Antarabangsa mengenai Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pendidikan Khas bertemakan, Memupuk Potensi Setiap Kanak-Kanak Ke Arah Masa Depan Yang Lebih Baik di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Dr. Rujhan Mustafa; Pemangku Naib Canselor USM, Prof. Datuk Omar Osman; Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Datuk Dr. Aminah Ayob.

Rosmah berkata, program pendidikan awal kanak-kanak (ECEC) merupakan isu yang dekat di hati beliau dan melalui program Permata Negara, ia memberi peluang kepada kanak-kanak berusia bawah empat tahun daripada keluarga yang kurang berkemampuan satu permulaan ke arah kehidupan yang lebih baik.

Menurutnya yang merupakan Penaung Program Permata Negara, bermula dengan lima projek perintis pada 2007, ECEC kini dilaksanakan di 600 pusat yang memberi faedah kepada 20,000 kanak-kanak di luar bandar serta daripada keluarga miskin.

Katanya, program itu yang menekankan pendekatan holistik dalam pendidikan terus berkembang menerusi kewujudan program Permata Pintar, Permata Seni dan Permata Insan untuk mencungkil bakat kanak-kanak.

“Setakat ini, pelbagai kejayaan telah kita capai hasil program yang diwujudkan itu termasuklah memperoleh pingat emas dan gangsa pada APEC Future Scientist Conference di Taipei awal tahun ini dan program Permata juga telah disenarai pendek untuk pencalonan Anugerah Pendidikan Antarabangsa Terbaik di New Delhi yang akan diadakan dalam masa terdekat.

“Pasukan koir Permata Seni juga dijemput menyertai Festival Koir Vienna di Austria bulan depan. Kejayaan yang dicapai menyemarakkan lagi semangat dan cita-cita saya untuk menjadikan setiap anak sebagai permata negara melalui pelbagai program yang dirancang Permata,” katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0612&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_10.htm

Pendidikan bahasa ibunda beri kesan

13/05/2011

PARIS 12 Mei – Pendidikan di sekolah wajar dilakukan dalam bahasa ibunda sesebuah negara kerana pengajaran dalam bahasa tersebut dapat memberi kesan yang lebih baik terhadap pencapaian pelajar.

Menurut Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik, Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Irina Bokova, secara prinsipnya UNESCO menggalakkan pihak sekolah mengajar dalam bahasa ibunda terutama bagi murid di peringkat sekolah rendah.

“Kualiti pendidikan menjadi lebih baik apabila murid-murid diajar dalam bahasa ibunda,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai langkah Malaysia memperkenalkan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tetapi kemudiannya membatalkan program itu dengan mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu.- Utusan

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0513&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_05.htm

Penekanan pendidikan prasekolah tepat

08/05/2011

BAGAN DATOH 7 Mei – Penekanan Kementerian Pelajaran terhadap pendidikan prasekolah dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mengenai pendidikan berada di landasan tepat apabila kira-kira 78 peratus kanak-kanak mengikutinya sebelum memasuki sekolah rendah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pelbagai usaha untuk meluaskan pendidikan prasekolah telah dilakukan termasuk melibatkan sektor swasta supaya sasaran 87 peratus kanak-kanak mengikuti pendidikan prasekolah dapat dicapai dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Pendidikan prasekolah penting supaya sahsiah kanak-kanak dapat dibentuk sejak dari awal lagi sebelum mereka memasuki sekolah,” katanya di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Abdul Razak, Selekoh, di sini hari ini.

“Semua murid akan dipastikan dapat menguasai 3M iaitu membaca, menulis dan mengira selepas tiga tahun bersekolah rendah,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian dewan terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Abdul Razak, Selekoh di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

habis

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0508&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_12.htm

Kerjasama pendidikan Malaysia-China akan diperluaskan

19/04/2011

BEIJING 18 April – Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membangkitkan isu kerjasama dalam bidang pendidikan yang perlu dipertingkatkan antara Malaysia dan China apabila berjumpa Perdana Menteri China, Wen Jiabao Rabu ini.

Duta Malaysia ke China, Datuk Iskandar Sarudin berkata, kerjasama itu termasuk kemungkinan menggalakkan universiti premier di negara ini membuka cawangannya di Malaysia dengan menawarkan bidang-bidang kecemerlangan mereka.

“Para pegawai daripada Kementerian Pelajaran telah berunding dengan pihak universiti di sini bagi memulakan langkah tersebut,” katanya kepada pemberita Malaysia di sini hari ini.

Sidang akhbar itu diadakan sempena lawatan kerja Muhyiddin yang pertama ke negara ini sejak beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada April 2009.

Timbalan Perdana Menteri dijadual tiba di sini petang ini bagi memulakan lawatan tujuh harinya ke negara ini atas jemputan rakan sejawatannya, Li Keqiang.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut dijadual bertemu Menteri Pelajaran China, Yuan Guiren.

“Muhyiddin juga akan membincangkan isu pengiktirafan universiti China di kalangan pelajar Malaysia yang menuntut di negara ini,” katanya.

Iskandar memberitahu, ketika ini terdapat seramai 10,214 pelajar China menuntut di Malaysia dan seramai 1,267 pelajar Malaysia menuntut di sini.

“Terdapat seramai 512 pelajar Malaysia menuntut di beberapa universiti di Beijing, 346 pelajar di Shanghai dan 402 pelajar di Wilayah Guangdong,” katanya.

Langkah itu kata beliau, selaras dengan usaha kerajaan untuk memperkenalkan program Malaysia Rumah Keduaku di kalangan rakyat China yang berkemampuan ekoran minat yang ditunjukkan mereka terhadap Malaysia.

Menurutnya, hubungan antara kedua-dua negara amat baik dan kira-kira sejuta pelancong China datang ke Malaysia setiap tahun untuk melancong.

Dalam hubungan dua hala, Iskandar berkata, Malaysia dan China akan menandatangani perjanjian untuk memansuhkan penggunaan visa di kalangan pegawai diplomat dan pegawai kerajaan yang mempunyai urusan rasmi.

“Timbalan Perdana Menteri akan menandatangani persetujuan itu dan ia akan dilaksanakan bermula 18 Mei ini,” ujarnya.

Katanya, isu ‘keldai dadah’ yang melibatkan 72 rakyat Malaysia yang ditangkap di negara ini juga akan dibincangkan dalam perbincangan antara Muhyiddin dan Jiabao. – Utusan

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0419&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_04.htm

Inisiatif NKRA pendidikan beri impak besar

15/04/2011

KUCHING 14 April – Inisiatif kerajaan memperkenalkan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan Program Pembangunan Prestasi Sekolah (SIP) di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) telah memberi impak besar kepada sistem pendidikan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program itu telah melahirkan pengetua dan guru besar sekolah yang berdedikasi dan inovatif sehingga merubah sekolah mencapai status yang lebih baik.

”Kejayaan ini melayakkan mereka mendapat pengiktirafan kementerian dan membolehkan sekolah-sekolah mereka ini mendapat bantuan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada program pemantapan profesionalisme warga pendidik negeri Sarawak dan majlis ramah mesra bersama Timbalan Perdana Menteri di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kualiti pendidikan di negara ini perlu ditingkatkan bagi mencapai hasrat kerajaan menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

Katanya, guru sebagai barisan hadapan memainkan peranan yang besar dalam menyediakan pendidikan yang berkualiti terhadap modal insan di negara ini.

”Kerajaan melihat perkara ini perlu diberi perhatian kerana Malaysia sebagai pemain global perlu kekal kompetitif untuk bersaing dengan negara maju yang lain,” katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0415&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_11.htm