Sekolah prestasi tinggi diumum esok

22/01/2010

MIRI 21 Jan. – Timbalan Perdana, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan mengumumkan nama 20 sekolah berprestasi tinggi (SBT), Sabtu ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, sekolah yang dipilih adalah antara 10,000 sekolah di negara ini yang telah menjalani penilaian pada tahun lalu.

Menurutnya, pemilihan sekolah berkenaan dibuat berdasarkan prestasi dan pencapaian akademik serta kurikulum sekolah, hasil usaha dan kerjasama kepimpinan sekolah, pelajar serta ibu bapa.

“Apabila sekolah ini telah terangkum sebagai sekolah terbaik, kita akan pastikan supaya mutunya tidak menurun.

“Kita mahu tingkatkan supaya ia menjadi sekolah contoh kepada sekolah lain supaya mereka dapat berdiri sama tinggi dengan sekolah berprestasi tinggi itu,” jelasnya.

Beliau berucap merasmikan Sekolah Kebangsaan Kampung Bakam yang menelan kos RM17 juta di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; kedua-dua timbalannya, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam dan Tan Sri Alfred Jabu Numpang serta Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri meminta rakyat supaya tidak salah faham berhubung pengumuman SBT.

Muhyiddin menegaskan, sekolah berkenaan bukan sekolah istimewa atau sekolah elit yang akan menerima lebih peruntukan berbanding sekolah lain.

“Mereka adalah sama, tetapi berdasarkan usaha yang dilakukan pengetua, guru besar, ibu bapa, pelajar dan guru serta bantuan kerajaan maka mereka dapat meningkat dari segi prestasi dan pencapaian dalam bidang akademik dan kurikulum,” jelasnya.

Menurutnya, SBT merupakan satu daripada empat sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi Kementerian Pelajaran iaitu menyediakan akses kepada pendidikan yang berkualiti.

Beliau menambah, mulai tahun depan, kementerian akan memberi ganjaran kepada pengetua atau guru besar serta semua guru di sekolah yang mencapai kemajuan cemerlang daripada aspek akademik dan kokurikulum.

Tanpa menyebut bentuk ganjaran itu, beliau berkata, pemberian tersebut akan mengambil kira prestasi dicapai sekolah yang dinilai untuk tahun ini.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau percaya bidang pendidikan tetap diberi perhatian dan mendapat peruntukan lebih besar dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

“Kita harap dengan sokongan semua pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bidang pendidikan akan terus diberi perhatian serius dan saya harap perbelanjaan lebih besar akan disediakan,” katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm

Beri dana mencukupi untuk sekolah bantuan

23/01/2010

MIRI 22 Jan. – Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) mahu Kerajaan Persekutuan memberikan dana yang mencukupi bagi menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk sekolah bantuan kerajaan dan persendirian di negeri ini.

Presidennya Tan Sri Dr. George Chan berkata, permohonan itu dibuat dalam petisyen oleh pelbagai lembaga sekolah kepada parti itu kerana pendidikan adalah di bawah kerajaan pusat dan sekolah-sekolah itu mengikut dasar pendidikan kebangsaan.

“Terdapat lebih 200 sekolah Cina bantuan kerajaan dan lebih 160 sekolah mubaligh bantuan kerajaan yang mempunyai pelajar dari pelbagai bangsa tetapi kebanyakan bangunan sekolah terbabit memerlukan pembaikan segera, dinaik taraf, dibesarkan atau ditempatkan semula berikutan peningkatan pelajar,” katanya pada majlis makan malam di sini malam tadi yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena lawatannya ke Sarawak.

Chan yang juga timbalan ketua menteri, berkata, terdapat kira-kira 50 peratus pelajar bumiputera di sekolah Cina di kawasan bandar, manakala peratusan di sekolah mubaligh di luar bandar adalah lebih tinggi iaitu antara 70 peratus dan 90 peratus.

“Rakyat gembira kerajaan pusat memperuntukkan RM50 juta untuk setiap sekolah Cina dan mubaligh bantuan kerajaan serta sekolah Tamil,” katanya. Beliau berkata, Sarawak menerima geran sebanyak RM9,037,000 untuk sekolah Cina bantuan kerajaan dan RM19,733,925 bagi sekolah mubaligh bantuan kerajaan pada tahun lepas. – Bernama

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sabah_%26_Sarawak&pg=wb_04.htm

Pemaju diminta segera sahkan tapak sekolah

23/10/2010

JOHOR BAHRU 22 Jan. – Timbalan Pengarah Pelajaran Johor, Markom Giran menggesa pemaju perumahan Taman Mount Austin supaya segera mengesahkan kedudukan tapak yang dijanjikan untuk pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di taman perumahan berkenaan.

Beliau berkata, jika pengesahan tersebut dapat dilakukan, pihaknya akan segera berusaha membantu mendapatkan dana untuk membina bangunan bagi menempatkan SJKT Taman Mount Austin yang kini menumpang bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Mount Austin 2 di sini.

Menurutnya, situasi tersebut berlaku sejak tahun 2005 lagi sedangkan pemaju dikatakan telah berjanji untuk menyediakan tapak bagi pembinaan sebuah SJKT di taman tersebut.

Katanya, pada masa ini, SK Taman Mount Austin 2 yang mempunyai 461 murid masih dapat menampung enam kelas untuk 81 murid SJKT Taman Mount Austin dari tahun satu hingga enam yang belajar pada sesi petang.

“Kita menjangkakan tahun depan kemasukan murid ke SK Taman Mount Austin 2 akan bertambah dengan pembukaan kawasan perumahan baru.

“Kemungkinan sekolah berkenaan turut akan mengadakan sesi pembelajaran pada sebelah pagi dan petang berbanding sekarang hanya sesi pagi sahaja,” katanya.

Beliau yang telah melawat sekolah tersebut berkata, seperti sekolah-sekolah lain, SK Taman Mount Austin 2 juga ingin menggunakan bilik darjah untuk aktiviti kokurikulum mereka di sebelah petang.

Markom juga dimaklumkan yang enam buah kelas di SK Taman Mount Austin 2 turut digunakan oleh murid-murid Sekolah Agama Taman Mount Austin pada sesi petang.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya tapak sekolah yang dijanjikan oleh pemaju seluas 1.8 hektar segera disahkan agar masalah SJK (T) terpaksa menumpang di sekolah tidak lagi berlarutan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Johor&pg=wj_04.htm

Ibu bapa lega bantuan makanan asrama diteruskan

23/01/2010

MARAN 22 Jan. – Golongan ibu bapa dan guru di sini lega berikutan kesediaan Kementerian Pelajaran meneruskan semula bantuan makanan pada setiap hujung minggu di sekolah berasrama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Wan Salman Wan Ismail berkata, keputusan yang dibuat oleh kementerian terbabit adalah tepat terutama bagi golongan berpendapatan rendah.

Menurutnya, cadangan awal kementerian itu untuk mengurangkan subsidi bantuan makanan menimbulkan polemik dan bantahan daripada ibu bapa dan guru.

”Berikutan keprihatinan kementerian itu, hasrat untuk mengurangkan bantuan penyediaan makanan ke asrama sekolah bantuan kerajaan telah dibatalkan.

”Keputusan kerajaan itu sangat tepat dengan situasi sekarang apabila ibu bapa telah menghabiskan banyak wang untuk perbelanjaan membayar keperluan sekolah,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi baru-baru ini yang menegaskan bantuan subsidi makanan di asrama akan diteruskan demi kebajikan pelajar dan ibu bapa.

Kementerian Pelajaran pada tahun lalu mengeluarkan pekeliling mengenai pengurangan peruntukan makanan daripada 250 hari kepada 200 hari bagi sekolah berasrama dan 250 hari bagi sekolah pendidikan khas berbanding 270 hari sebelumnya.

Wan Salman berkata, pekeliling berkenaan menyebabkan timbulnya keresahan di kalangan ibu bapa kerana terpaksa mengambil anak pulang ke rumah dari asrama setiap minggu.

Sekiranya bantuan penyediaan makanan dikurangkan, ujarnya, ia menyebabkan pelajar yang tinggal di asrama terpaksa balik setiap minggu ke rumah yang boleh menimbulkan banyak masalah lain seperti keselamatan dan gejala sosial.

”Ini sangat tidak relevan kerana menyusahkan ibu bapa dan pelajar yang tinggal berjauhan.

”Ramai ibu bapa dan guru menemui saya membantah arahan kementerian itu yang disifatkan tidak relevan dan tidak peka dengan keperluan masyarakat luar bandar yang mahu anak tinggal di asrama dengan lebih selesa,” tegasnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_08.htm

Kasih Cikgu Fauziah kepada pelajar tanpa sempadan

23/01/2010

BESUT 22 Jan. – Tanggungjawab guru bukan hanya di dalam bilik darjah atau di sekolah.

Itulah yang menjadi pegangan Fauziah Jais, yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Tengku Mahmud II, di sini.

Dan ketika Fauziah melihat satu kemalangan di Kilometer 7, Jalan Jerteh Kampung Raja berhampiran Alor Lintang, dekat sini, semalam, beliau terdetik untuk berhenti melihatnya.

Fauziah bagaimanapun tergamam apabila mendapati mangsa nahas tersebut ialah pelajarnya, Mohd. Amir Amiro Mohd. Nor, 14.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 pagi itu, Mohd. Amir Amiro dan abangnya, Mohd. Sallehuddin, 17, terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta ketika mereka menunggang motosikal ke sekolah.

Sementara menunggu ketibaan ambulans, Fauziah dengan sifat keibuan mententeramkan Mohd. Amir Amiro yang cedera di bahagian kaki.

Setelah kira-kira 15 minit dua buah ambulans tiba membawa kedua-dua beradik itu ke Hospital Besut.

Mohd. Amir Amiro dirawat di Hospital Besut manakala Mohd. Salehuddin dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kota Bharu, Kelantan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_06.htm