Kerjasama pendidikan awal ASEAN

29/01/2010

CEBU 28 Jan – Asia Tenggara bersetuju untuk mengadakan kerjasama dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak di kalangan negara anggota Majlis Pertubuhan Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO).

Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Zulkurnain Awang berkata, keputusan itu dicapai melalui Mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran ASEAN Kelima (ASED) yang berlangsung hari ini.

Beliau berkata, ASED bersetuju supaya Sekretariat ASEAN menyediakan perancangan lima tahun untuk membentuk kerjasama pendidikan awal kanak-kanak di kalangan negara anggota.

“Kerjasama ini mencakupi usaha untuk menguat, memperluas dan mendalami usaha yang boleh dilakukan oleh ASEAN serta negara-negara di rantau lain ke arah memperkasakan pendidikan awal di kalangan kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi Mesyuarat ASED yang berlangsung serentak dengan Persidangan Majlis Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara (SEAMEC) Ke-45, di sini, hari ini.

Zulkurnain menggantikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada mesyuarat itu.

Menurut Zulkurnain, Sekretariat ASEAN juga sedang menyediakan perancangan untuk melihat dan mengkaji model-model pendidikan awal dan prasekolah di seluruh negara ASEAN.

Katanya, Malaysia pada mesyuarat itu telah memaklumkan usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam memastikan pendidikan awal kanak-kanak iaitu bermula pada umur empat tahun mampu dicapai oleh seluruh rakyat.

“Antaranya dengan menjadikan sasaran untuk meningkatkan penyertaan kanak-kanak dalam pra sekolah daripada 67 peratus kepada 87 peratus pada 2013 sebagai salah satu indikator kepada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA),” ujar beliau.

Zulkurnain menambah, Mesyuarat ASED kali ini juga memutuskan untuk mengadakan satu perbincangan bagi merangka pelan kerjasama ASEAN Plus 3 mengenai pendidikan bersama-sama Korea dan China di Bangkok, Thailand pada Mac ini.

Berhubung laporan kemajuan Rangkaian Universiti ASEAN yang turut dibincangkan juga katanya, Mesyuarat ASED kali ini bersetuju untuk memperkukuhkan lagi rangkaian kerjasama universiti di rantau ini menerusi perpindahan kredit.

“Ini bermakna selepas ini, Malaysia misalnya boleh memberi pengiktirafan perpindahan kredit kepada universiti-universiti yang terdapat di ASEAN dan begitu juga sebaliknya,” kata beliau.

-habis-

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_02.htm

20 SBT perlu kekal cemerlang

29/01/2010

ALOR GAJAH 28 Jan. – Kesemua 20 buah sekolah yang memasuki senarai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) baru-baru ini, perlu mengekalkan pencapaiannya pada pemilihan akan datang.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pihaknya tidak mahu sekolah yang terpilih dalam kelompok SBT tahun ini merosot pula pencapaiannya pada tahun depan.

”Sementara itu, sekolah yang tidak berjaya tahun ini, boleh mencuba pada tahun depan kerana kita menyediakan 30 tempat SBT manakala 50 buah lagi pada 2012,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Juara Rakyat Parlimen Alor Gajah di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan penghargaan kepada 227 pelajar cemerlang peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu dalam kawasan Parlimen Alor Gajah.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan senarai 20 SBT dalam usaha kerajaan mengangkat kualiti sekolah terbaik di seluruh negara ke taraf dunia.

Mohd. Puad menambah, semua jenis sekolah boleh bersaing untuk dikategorikan sebagai SBT kerana pemilihan dibuat bukan berasaskan pencapaian akademik semata-mata.

”Banyak kriteria lain yang kementerian ambil kira berdasarkan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia,” katanya.

Antaranya, jelas beliau, tahap kebersihan, pencapaian kokurikulum, landskap dan hubungan dengan sekolah antarabangsa.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm

Yayasan Sabah sumbang 200 buku

29/01/2010

RANAU 28 Jan. – Seramai 208 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Nalapak dekat sini menerima manfaat daripada sumbangan buku melalui Program Galakan Membaca oleh Yayasan Sabah Zon Pantai Barat Selatan (YSZPBS).

Ketua Pentadbir YSZPBS, Hanafiah Diman berkata, sebanyak 200 buah buku sumbangan Perpustakaan Penyelidikan Borneo Tun Mohd. Fuad Stephen Yayasan Sabah telah diserahkan kepada sekolah tersebut.

“Kami hendak menggalakkan aktiviti membaca di kalangan pelajar sekolah luar bandar kerana dengan membaca boleh menambah pengetahuan dan membuka minda mereka.

“Pelajar luar bandar juga mempunyai peluang yang sama dengan pelajar di bandar dalam konteks pencapaian akademik melalui pembudayaan membaca.

“Atas kesedaran inilah, Yayasan Sabah cuba membantu dengan memberi sumbangan buku-buku bagi menambah koleksi judul buku di pusat sumber sekolah-sekolah luar bandar yang terpilih,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena majlis penyerahan buku bacaan di SK Nalapak, di sini hari ini.

Hanafiah mewakili YSZPBR menyerahkan sumbangan itu kepada Penolong Kanan 1 SK Nalapak, Marzuki Martin.

Beliau berkata, dalam konteks pendidikan, pihaknya menggunakan pendekatan melaksanakan agihan bantuan dan sumbangan biasiswa kepada pelajar luar bandar di negeri ini.

Tambahnya, YSZPBS bersama Perpustakaan Penyelidikan Borneo Tun Mohd. Fuad Stephen dan Bahagian Pembangunan Pendidikan Yayasan Sabah sentiasa berusaha mengenalpasti dan membantu sekolah-sekolah yang memerlukan bantuan.

“Semua usaha yang dilakukan itu bertujuan untuk meningkatkan prestasi dan pencapaian pelajar luar bandar dalam pelajaran,” katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sabah_%26_Sarawak&pg=wb_08.htm

MAIWP sumbang van RM100,000

29/01/2010

MUAR 28 Jan. – Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyumbangkan sebuah van bernilai RM100,000 kepada Madrasah Tahfiz Al-Quran Darul Manar di Parit Sakai Darat di sini hari ini.

Sumbangan itu bertujuan melicinkan urusan pentadbiran dan kebajikan para pelajar di madrasah tahfiz.

Majlis penyerahan itu disempurnakan hari ini dengan pihak Yayasan Taqwa MAIWP diwakili Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya, Datuk Mohamad Iqbal Kuppapichai Rawter.

Menurut Mohamad Iqbal, sumbangan ikhlas daripada pihaknya itu diharap Yayasan Taqwa menjalankan pelbagai program khidmat sosial di serata pelosok tanah air dan tidak tertakluk di dalam kawasan Wilayah Persekutuan sahaja.

“Untuk makluman, pada 2009 sahaja pihak yayasan membelanjakan lebih RM9 juta bagi tujuan membantu golongan yang memerlukan,” katanya yang mewakili Pengerusi Yayasan Taqwa MAIWP, Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom pada majlis tersebut.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Johor&pg=wj_07.htm

Contohi SK Bandar UDA 2

29/01/2010

SUFAAT Tumin (kiri) melawat bilik darjah SK Bandar UDA 2 sambil diberi penerangan oleh Fuziah Hassan ketika mengadakan lawatan di sekolah itu yang mendapat pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi (SPT) di Johor Bahru, kelmarin.


JOHOR BAHRU 28 Jan. – Semua sekolah di negeri ini diseru berkongsi pengalaman dengan Sekolah Kebangsaan Bandar UDA 2 (SKBU2) yang diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

Pengarah Pelajaran Johor, Sufaat Tumin berkata, banyak nilai murni yang diamalkan sekolah itu harus dijadikan contoh oleh sekolah lain bagi mencapai SBT.

“Rasanya tidak menjadi masalah bagi SKBU2 yang diketuai Guru Besar, Fuziah Hassan untuk berkongsi pengalaman dengan kepimpinan sama ada di kalangan pengetua atau guru besar.

“Ini kerana kami mempunyai matlamat untuk mewujudkan seberapa banyak sekolah unggul yang merangkumi SBT, sekolah cemerlang dan juga sekolah kluster,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas mengadakan lawatan ke SKBU2 yang tersenarai antara 20 SBT di seluruh negara di sini semalam.

Sebuah lagi sekolah di negeri ini yang turut menerima pengiktirafan itu ialah sekolah berasrama penuh, Sekolah Tun Fatimah (STF).

Jelas Sufaat, antara keistimewaan sekolah berstatus SBT, sekolah itu akan diberi autonomi termasuk fleksibel dalam pengajaran dan pembelajaran serta silibus.

Katanya, sekolah itu juga dibolehkan menggunakan bahasa penghantar bahasa kebangsaan atau pelbagai bahasa.

“Selain mendapat bajet tambahan daripada RM500,000 kepada RM1 juta setahun, SBT juga fleksibiliti untuk mengagihkan kewangan mengikut keperluan.

“Sekolah itu juga boleh mengambil staf berdasarkan prestasi pencapaian dan bukan tempoh perkhidmatan serta boleh menyediakan bayaran kerja lebih masa dan ganjaran berdasarkan prestasi kepada semua staf, ” katanya.

Sementara itu Guru Besar SKBU2, Fuziah Hasan berkata, rahsia kejayaan sekolah itu adalah hasil amalan sikap bekerjasama dan persefahaman yang tinggi di kalangan guru, murid-murid dan ibu bapa serta masyarakat setempat.

“Amalan murni baik daripada segi rohani dan jasmani memang kami terap di kalangan 91 guru, 1,652 murid serta lapan orang kakitangan sokongan,” katanya.

Fuziah berkata, faktor-faktor itu digabungkan hingga menghasilkan pelbagai kejayaan dan dalam tempoh tujuh tahun beliau menerajui sekolah tersebut, tiga anugerah besar peringkat kebangsaan berjaya diperoleh iaitu Sekolah Cemerlang 2007, Sekolah Kluster (2009) dan pada tahun ini diiktiraf sebagai SBT.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Johor&pg=wj_03.htm