Ukhwah bantu Nur Izzati

25/01/2010

Oleh HAMIMAH HAMID
utusanperak@utusan.com.my

Nur Izzati melambaikan tangan kepada keluarganya sebelum berlepas ke Rumah Anak Koperasi Ukhwah di Subang Jaya untuk melanjutkan pelajaran di SMK SS17, Subang Jaya setelah mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR di Kampung Manjui Baru Tambahan, Perak, semalam.


IPOH 24 Jan. – Kira-kira dua bulan lalu, murid cemerlang yang mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) ini hanya mampu menangis apabila rakan-rakan lain gembira memegang slip keputusan peperiksaan.

Kegagalan membayar yuran sekolah sebanyak RM57 menyebabkan slip keputusannya ditahan dan dia hanya mampu melihat keputusan tersebut di papan kenyataan.

Namun hari ini, Nur Izzati Azahar, 13, sudah boleh tersenyum apabila Koperasi Pendidikan Islam Malaysia Berhad (Ukhwah) menawarkannya tempat di Rumah Anak Koperasi Ukhwah di Subang Jaya.

Melalui Rancangan Khas Pendidikan Koperasi Ukhwah, Nur Izzati akan didaftarkan ke salah sebuah sekolah terbaik di Selangor iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) SS17, Subang Jaya.

Pengurus Perhubungan Awam merangkap Pengurus Rumah Anak Koperasi, Sharifah Aminah Al-Habshee berkata, koperasi yang ditubuhkan lima tahun lalu itu memang dibuka khas untuk membantu pelajar-pelajar miskin.

Menurut beliau, pihaknya terpanggil untuk membantu Nur Izzati apabila membaca laporan akhbar sebelum ini.

“Saya rasa sebak dan sedih apabila membaca kisah Nur Izzati yang bercita-cita melanjutkan pengajian ke sekolah berasrama penuh tetapi keluarganya tidak mampu.

“Kita memang bersedia membantu kerana melihat kepada kejayaannya. Jika berpotensi menjadi salah seorang pelajar cemerlang, mengapa kita tidak membantu,” katanya ketika ditemui di rumah Nur Izzati, di sini.

Utusan Malaysia pada 19 November lalu menyiarkan kisah Nur Izzati yang tidak dibenarkan mengambil slip peperiksaan UPSR kerana gagal membayar yuran sekolah sebanyak RM57.

Kemiskinan keluarga menyebabkan bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tarcisian Convent ini ‘berhutang’ dengan pihak sekolah.

Anak kedua pasangan Azahar Ariffin, 42, dan Fatimah Ahmad, 43, ini adalah antara 34 murid SK Tarcisian Convent yang mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu (Penulisan), Bahasa Melayu (Pemahaman), Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Bapa Nur Izzati ketika ditemui bersyukur kerana ada pihak yang prihatin dengan nasib anaknya.

Menurut Azahar, anaknya itu turut mendapat tawaran untuk belajar di Sekolah Menengah Sains, Teluk Intan, tetapi dia tidak mampu menghantar Nur Izzati ke sana kerana perbelanjaan yang tinggi.

Sementara itu, Nur Izzati yang kelihatan ceria, menunggu kedatangan pihak Ukhwah seawal pukul 11 pagi lagi untuk bertolak ke Subang Jaya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm

200 peserta sertai tahsin al-Quran

25/01/2010

JOHOR BAHRU 24 Jan. – Lebih 200 peserta lelaki dan wanita di sekitar Bandar Ulu Tiram dekat sini menyertai program pengajian dan tahsin al-Quran anjuran Jawatankuasa Pengelola Kelas Tahsin Qiratil Quran (JPKTQQ) Zon Tiram.

Program yang diadakan di Sekolah Agama Bandar Tiram (SABT) itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, Datuk Maulizan Bujang.

Kelas Tahsin Qiratil Quran Zon Tiram diwujudkan atas usaha seorang guru mengaji yang berpengalaman dan bertauliah, Hasnah Mohd. Tahir, 60.

Ibu kepada tiga cahaya mata dari Taman Seri Tiram itu, berkata, sebenarnya idea itu dicetuskan oleh seorang rakannya, Fauziah Md. Amin, 54, yang memintanya mewujudkan kelas meningkatkan bacaan al-Quran.

“Alhamdulillah, atas dorongan itu, kami berdua terus ke pejabat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) dan idea itu disokong dan dipersetujui serta diluluskan pegawai terbabit,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian kelas berkenaan baru-baru ini.

Menurut Hasnah, kelas itu diwujudkan bagi mempertingkatkan lagi ilmu dalam bacaan mengikut hukum tajwid, bersanad, taranum dan mempelajari bahasa Arab.

“Ini merupakan program baru dan ia mendapat sambutan menggalakkan daripada guru mengaji bertauliah termasuk imam dan bilal serta penduduk di sekitar kawasan Ulu Tiram,” katanya.

Utusan Malaysia difahamkan, kelas di Bandar Tiram merupakan yang kelima diwujudkan selepas Pasir Gudang, Tampoi, Larkin dan Kulaijaya.

Sementara itu, Maulizan dalam ucapannya berkata, kerajaan sentiasa menyokong usaha untuk menegak dan meningkatkan syiar Islam di negeri ini.

“Kerajaan mengambil berat soal yang berkaitan dengan Islam. Kita memang ada pegawai dan pakar tahsin al-Quran dan telah bersetuju akan mewujudkan pakar tahsin al-Quran di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Johor&pg=wj_04.htm

Ibu pelajar tampar guru pasti bersebab

25/01/2010

ISU ibu pelajar menampar guru lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis, Kangar yang disiarkan akhbar baru-baru ini menarik perhatian kerana ia dianggap pelik dan tidak sepatutnya berlaku dalam dunia pendidikan moden masa kini.

Kita tidak boleh membuat andaian melulu kecuali selepas mendapat penjelasan pihak terbabit dan pentadbir sekolah. Sebagai insan prihatin, kita simpati dengan kejadian menimpa pelajar yang ditampar guru dan guru ditampar ibu pelajar.

Dari sudut sosiologi pendidikan, perkara ini berlaku mungkin disebabkan kedua-dua pihak tidak dapat mengawal perasaan. Guru tidak dapat mengawal perasaan berikutan masalah disiplin pelajar berkenaan.

Ibu pelajar naik angin dan menampar guru mungkin disebabkan tidak puas hati dengan penjelasan sekolah terhadap tindakan itu.

Sebagai ibu bapa dan bekas pemimpin Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) beberapa sekolah rendah dan menengah lebih 15 tahun, saya berpendapat perkara ini tidak berlaku jika semua pihak memahami dan patuh peraturan sekolah yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran.

Guru dilarang menggunakan kekerasan fizikal terhadap pelajar yang melakukan kesalahan. Pelajar melanggar disiplin patut dihadapkan ke lembaga disiplin sekolah untuk dibicarakan dan menentukan kesalahan serta denda yang harus dikenakan.

Hanya pengetua, guru besar atau guru yang diberi kuasa dibenar merotan pelajar yang bersalah. Namun, mereka juga tidak boleh sewenang-wenangnya berbuat demikian tanpa asas kukuh.

Bagi pelajar yang tiada rekod nakal di sekolah tidak patut dirotan apabila pertama kali melakukan kesalahan kecil. Menggunakan pendekatan nasihat dan kaunseling memberi kesan baik kepada pelajar berkenaan.

Bagaimanapun ada segelintir guru yang melanggar peraturan dengan melakukan penderaan fizikal terhadap pelajar walaupun kesalahannya tidak serius. Pengetua atau guru besar cuba menyembunyikan kes sehingga ibu bapa datang ke sekolah.

Pemimpin sekolah dan guru patut mengakui kesalahan dan memohon maaf kepada ibu bapa pelajar terbabit. Namun, perkara seperti ini kadangkala tidak berlaku, sebaliknya pentadbiran sekolah masih menegakkan benang basah.

Pengetua dan guru besar tidak wajar memihak kepada guru yang bersalah, tetapi menasihatkannya agar tidak mengulangi kesalahan itu. Cara ini boleh menyejukkan ibu bapa yang datang ke sekolah dalam keadaan hati yang masih membara.

Mungkin ibu bapa kesal dengan tindakan guru itu tetapi masih boleh berlembut jika kena pada tempatnya. Ibu bapa yang menghadapi masalah anak dikasari guru atau tidak puas hati dengan tindakan sekolah sepatutnya bertenang dan buat aduan kepada Jabatan Pelajaran Negeri atau terus ke Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Pelajaran.

Biar mereka siasat kes anak secara adil dan telus tanpa dipengaruhi mana-mana pihak. Ibu bapa terbabit mungkin boleh mendapat hasil siasatan dalam masa 14 hari seperti ditetapkan kementerian.

Semoga kes ini menjadi pengajaran kepada semua pihak yang bertindak tidak mengikut peraturan.

AZMI ABDUL MALEK,
Bukit Meru, Ipoh.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Surat/20100124230725/Article/index_html

SK Kampung Pagi terima empat komputer

25/01/2010

MOHD. Abdah Mohd. Alif (tengah) dan disaksikan Liew Leong Tat (kanan) menyerahkan peralatan elektronik kepada Abd. Razak Yatim (kiri) di Kampung Pagi, Jerantut, Pahang, semalam.


JERANTUT 24 Jan. – Sebuah sekolah pedalaman di Hulu Tembeling dekat sini dianggap bertuah apabila menerima empat unit komputer bernilai RM15,000 daripada sebuah syarikat swasta hari ini.

Keempat-empat unit komputer itu diserahkan oleh Pengerusi Syarikat Wirama Semangat Sdn. Bhd. (Wirama Semangat), Mohd. Abdah Mohd. Alif kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pagi, Ideris Zainol di sekolah itu.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kampung Pagi, Abd. Razak Yatim, Ketua Kampung Pagi, Zakaria Ramly dan Pengarah Urusan Wirama Semangat, Datuk Liew Leong Tat.

Ideris ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada syarikat terbabit yang menghulurkan sumbangan komputer bagi kemudahan pelajar di pedalaman.

Sumbangan itu, jelas beliau, akan merangsang semangat pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh sekali gus merapatkan jurang digital antara kawasan pedalaman dan bandar.

”Pelajaran murid boleh meningkat apabila pengajaran dilaksanakan menggunakan komputer menerusi penyeliaan guru berpengalaman,” katanya.

Abdul Razak yang berterima kasih kepada syarikat berkenaan menyifatkan sumbangan itu dapat memberi pendedahan kepada pelajar di pedalaman kepada dunia luar.

”Dengan adanya kemudahan komputer, ia dapat memberi kemudahan murid dan penduduk di sini mengakses maklumat dan menyelesaikan sesuatu perkara menerusi Internet.

”Kemudahan ini juga meringankan beban penduduk di sini kerana kesukaran perhubungan ke bandar Jerantut yang hanya menggunakan bot,” katanya.

Tambah beliau, syarikat swasta lain sewajarnya meneladani Wirama Semangat yang menyumbang komputer kepada sekolah di pedalaman sejajar dengan tanggungjawab sosial dalam bidang pendidikan.

Sementara itu, Mohd. Abdah berkata, sumbangan berkenaan untuk menggalakkan murid mendalami bidang ICT selain membantu guru dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P).

”Setelah beberapa kali singgah di sini, kami terpanggil untuk menyumbangkan peralatan komputer bagi melengkapkan kemudahan di bilik komputer sekolah ini.

”Sumbangan amal jariah ini sejajar dengan hasrat syarikat ini untuk membantu pelajar miskin di pedalaman supaya belajar dengan selesa dan meningkatkan pencapaian masing-masing dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini,” katanya.

Mohd. Abdah turut meminta guru dan ibu bapa mengawasi murid supaya tidak menyalahgunakan kemudahan ICT itu dengan mengakses maklumat dan bahan yang boleh merosakkan akhlak.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_02.htm

Cikgu Mokhtar penerima pertama Anugerah Sasterawan Negeri Melaka

25/01/2010

(DARI kiri), J. Nesamani mewakili suaminya, Joseph Selvam, Mohd. Faizal Musa, Mokhtar Yasin, Muhammad Hasif Mohd. Jelani dan Ilya Ireeza Noor Zehan bersama sijil penghargaan masing-masing pada Majlis Anugerah Sastera Negeri Melaka 2009 di Ayer Keroh, Melaka, kelmarin.


MELAKA 24 Jan. – Seorang pesara guru, Mokhtar Yasin, 73, diumum sebagai penerima pertama Anugerah Sasterawan Negeri Melaka bagi 2009 yang berlangsung di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini malam semalam.

Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob menyampaikan anugerah tersebut kepada tokoh sastera dan bahasa itu pada majlis yang diadakan dengan penuh gilang-gemilang.

Hadir sama Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia, Datuk Yaakob Md. Amin; Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP), Datuk Mohd. Said Yusof dan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk A. Aziz Deraman.

Pemilihan tersebut membolehkan anak kelahiran Sungai Rambai itu menerima cek bernilai RM7,000, trofi dan sijil penghargaan.

Anugerah Tokoh Penulis Muda pula dimenangi oleh novelis terkenal, Mohd. Faizal Musa, 36, atau nama penanya Faizal Tehrani dan anugerah Tokoh Penulis Bukan Melayu menjadi milik Joseph Selvam, 70.

Kejayaan itu membolehkan Mohd. Faizal menerima cek bernilai RM3,000 dan Selvam pula mendapat RM2,000 di samping trofi serta sijil penghargaan.

Dua pelajar sekolah, Ilya Ireeza Noor Zehan, 17, dan Muhammad Hasif Mohd. Jelani pula menerima Hadiah Galakan Penulis Remaja. Masing-masing menerima cek RM1,000, trofi dan sijil penghargaan.

Mokhtar yang dilahirkan di Sungai Rambai pada 29 Mac 1937 yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Jepun pada 1943 sehingga menyambung pengajiannya ke Maktab Perguruan Sultan Idris (MITC) Tanjung Malim dari tahun 1953 hingga 1956.

Beliau yang terkenal dengan sajak berjudul Sepasang Lembu Tua mula menulis sejak negara belum mencapai kemerdekaan dan tidak putus-putus menulis serta berkarya sehingga kini.

”Saya pernah memenangi beberapa anugerah sebelum ini tetapi anugerah yang saya terima kali ini amat bermakna kerana inilah buat pertama kali kerajaan negeri mengiktiraf sumbangan anak jati negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Karya Mokhtar sering disiarkan dalam Utusan Zaman, Mingguan Malaysia, Mastika, Dewan Bahasa, Berita Minggu, Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan sebagainya.

Katanya, langkah kerajaan negeri mewujudkan anugerah tersebut akan menyemarakkan penulis muda di negeri ini untuk terus berkecimpung dalam menghasilkan karya bermutu tinggi.

”Bagi saya, anugerah ini wajar diadakan setiap tahun bagi menghargai mereka yang bergiat aktif dalam penulisan karya sastera dan bahasa,” katanya.

Mohd. Faizal turut melahirkan rasa gembira dengan usaha kerajaan negeri mewujudkan anugerah tersebut.

”Saya juga banyak menerima anugerah sejak mula terlibat secara aktif dalam bidang ini tetapi anugerah yang saya terima malam ini cukup bermakna kerana inilah pertama kali anak jati negeri Melaka diiktiraf,” katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_03.htm