Ambil kira kebolehan bergaul untuk masuk IPTA

07/01/2010

SAYA merujuk kenyataan Ketua Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi yang menyatakan Kementerian Pengajian Tinggi mengekalkan dasar kemasukan ke IPTA yang mengambil markah 10 peratus untuk kokurikulum dan 90 peratus akademik.

Saya mengucapkan syabas kepada Kementerian Pengajian Tinggi kerana mengekalkan langkah ini dalam usaha memperkasakan aktiviti kokurikulum di sekolah. Sememangnya kokurikulum adalah medan pendidikan perkara yang tidak boleh dibaca dari mana-mana buku.

Namun begitu, saya ingin mencadangkan supaya pemberian markah juga mengambil kira kemampuan pelajar untuk bergaul dengan pelajar bangsa lain dalam aktiviti kokurikulum, kerana di samping menyokong dasar 1Malaysia yang dicanangkan Perdana Menteri, ada pelajar sebenarnya berselindung di sebalik sijil ‘licik’ untuk mendapatkan markah 10 peratus ini.

//

Untuk pengetahuan, markah pembabitan kokurikulum diberi mengikut tahap pertandingan, selain jam kredit kehadiran pelajar. Pertandingan pada peringkat kebangsaan akan memberi markah lebih tinggi daripada pertandingan pada peringkat negeri, daerah, kelompok atau sekolah.

Tetapi ada pertandingan yang diadakan terus pada peringkat kebangsaan, tanpa ada pertandingan pada peringkat negeri, daerah atau sekolah. Ketika saya mengajar di Selangor beberapa tahun lalu, ada guru pendidikan seni yang berbangsa X mengenalpasti beberapa pelajar bangsanya juga, untuk dihantar bertanding pertandingan melukis poster pada peringkat kebangsaan.

Sebagai guru yang juga mengajar pelajar berkenaan, saya tahu pelajar itu sebenarnya tidak aktif kokurikulum, tetapi mereka memilih aktiviti yang tidak memerlukan mereka bekerja keras; mereka pergi ke pertandingan melukis poster yang diadakan pada peringkat kebangsaan, tanpa perlu melalui pertandingan sama pada peringkat lebih rendah, kerana pihak penganjur tidak mengadakan pertandingan pada peringkat lebih rendah.

Jelas sekali pelajar dan guru bangsa X ini begitu ‘licik’ kerana tahu di mana hendak mencari markah lebih tanpa perlu bekerja keras. Selain itu, ada juga sesetengah sekolah tertentu yang memberikan kebebasan sepenuhnya kepada pelajar untuk memilih persatuan, kelab dan unit beruniform yang ingin mereka sertai.

Saya mencadangkan, agar guru tingkatan dan guru mata pelajaran diberi kuasa dan sedikit markah diperuntukkan untuk pelajar yang menunjukkan kesungguhan untuk bergaul dengan pelajar bangsa lain.

Bagi pelajar bukan Melayu, berikan mereka markah jika menunjukkan kesungguhan untuk menguasai bahasa Melayu, kerana pelajar yang ingin menguasai bahasa Melayu sudah tentu akan mencari kawan Melayu yang boleh membantu mereka menguasai bahasa kebang-saan.

AKMAL FAIRUZ,
Institut Perguruan Bahasa-Bahasa Antarabangsa (IPBA),
Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Suntikan vaksin barah serviks di sekolah Mac

07/01/2010

KUALA LUMPUR: Program imunisasi Human Papillomavirus (HPV) secara percuma yang dipercayai dapat mengurangkan 75 peratus kes barah pangkal rahim dilaksanakan Mac ini dengan sasaran remaja perempuan berusia 13 tahun.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata pihaknya melaksanakan program itu berdasarkan kemudahan infrastruktur sedia ada khususnya menerusi Program Kesihatan Sekolah.

Katanya, menerusi program itu, pelalian untuk pencegahan enam penyakit berjangkit dilaksanakan untuk pelajar Tahun Satu membabitkan pelalian mencegah demam campak, bengok, rubella, polio, diptheria dan tetanus.

//

“Pengalaman serta kerjasama yang sangat baik daripada sekolah serta ibu bapa selama ini memudahkan pelaksanaan pelalian HPV untuk pelajar perempuan berusia 13 tahun.

“Seperti pelalian penyakit lain, suntikan hanya diberi kepada pelajar yang mendapat persetujuan bertulis daripada ibu bapa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Ditanya hasil kajian kementerian bagi menentu keberkesanan HPV bagi mengelak risiko dan kesan sampingan seperti didakwa pelbagai pihak, Rosnah berkata, pihaknya memilih vaksin HPV 16 dan 18 untuk kegunaan program itu kerana ia paling sesuai dan memberi kesan optimum.

Beliau berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati keberkesanan vaksin ini terhadap jangkitan HPV jenis 16 dan 18 ialah 98 peratus iaitu apabila 100 wanita diberi vaksin ini, 98 daripadanya tidak mendapat jangkitan HPV dan seterusnya barah serviks.

Lebih 10,000 bas sekolah haram aktif beroperasi

07/01/2010

Oleh S Anand Kumar

anand@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Lebih 10,000 pemilik kenderaan termasuk van didakwa menjadikan kenderaan persendirian mereka sebagai ‘bas’ sekolah dan beroperasi secara haram tanpa permit sah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (PPBSM) yang mendedahkan perkara itu mendakwa operasi berkenaan semakin serius sejak kebelakangan ini dan bimbang tindakan itu boleh mengancam keselamatan murid dan pelajar sekolah.

Presidennya, Chee Ah Tey, berkata lebih 3,000 ahli kesatuan itu di seluruh negara terus menerima banyak aduan daripada ibu bapa berhubung perkara itu.

Beliau berkata, pengusaha ‘bas’ sekolah haram itu juga menawarkan pakej perkhidmatan berdasarkan jarak dan kawasan sehingga ada yang mengenakan tambang tinggi melebihi RM150.

“Taktik yang digunakan segelintir pengusaha ‘bas’ sekolah haram ini amat licik kerana sebelum menawarkan perkhidmatan, mereka terlebih dulu memantau caj dikenakan bas sekolah di sesuatu kawasan.

“Contohnya, jika bas sekolah beroperasi di kawasan itu, kumpulan ini akan menawarkan tambang lebih rendah, tetapi kadar dikenakan akan tinggi jika khidmat bas sekolah di situ adalah terhad.

“Kita melihat operasi ‘bas’ sekolah haram ini semakin berleluasa dan ada segelintir mereka tidak memberi keutamaan kepada soal keselamatan penumpangnya,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Chee berkata, ‘bas’ sekolah haram ini mudah menjalankan operasi mereka kerana pengangkutan itu tidak perlu menjalani pemeriksaan di Puspakom seperti dilalui bas sekolah.

“Mereka juga mudah melepasi pasukan berkuasa kerana menyangka murid atau pelajar yang berada dalam kenderaan itu adalah anak mereka atau anak jiran.

“Segelintir mereka juga tidak menghiraukan keselamatan penumpang kerana adakalanya pemandu tidak memakai tali pinggang keledar dan penumpang pula membuka tingkap sambil menghulur kepala atau tangan ke luar,” katanya.

Chee berkata, pihaknya berharap pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan LPKP melancarkan operasi bagi mengesan perkhidmatan ‘bas’ haram itu.

RM25 juta untuk bina dewan di 15 sekolah di Pagoh

07/01/2010

MUAR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan memperuntukkan RM25 juta bagi membina dewan tertutup dan dewan terbuka di 15 sekolah dalam kawasan Parlimen Pagoh, tahun ini.

Pembinaan dewan itu bertujuan meningkatkan pengajaran dan pembelajaran di sekolah dan untuk kegunaan aktiviti sekolah dan masyarakat setempat serta penempatan untuk mangsa banjir atau bencana alam.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Projek Dewan Sekolah dan Majlis Penghargaan Pelajar Cemerlang UPSR 2009 bagi Sekolah Kebangsaan Parlimen Pagoh di Sekolah Kebangsaan Bukit Rahmat di sini, petang ini.

Semakan permohonan kursus perguruan di laman web mulai esok

07/01/2010

KUALA LUMPUR: Calon yang memohon Kursus Perguruan Lepasan Ijazah Sekolah Rendah (KPLI-SR) Mod Sepenuh Masa Ambilan Januari 2010, boleh membuat semakan mengenai keputusan tawaran itu di laman web Kementerian Pelajaran Malaysia di alamat http://www.moe.gov.my, mulai esok.

Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Pelajaran Malaysia, meminta calon yang berjaya ditawarkan mengikut KPLI-SR supaya mencetak surat tawaran sementara dan membawa surat tersebut ke Institut Pendidikan Guru pada hari pendaftaran.

Menurutnya, calon yang berjaya juga diminta mematuhi arahan yang diberi dengan teliti, kerana kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka tidak layak didaftar di institut pendidikan guru. – Bernama