Pertimbang guru DG41 menjawat jawatan Penolong Kanan

06/01/2010

SAYA pada mulanya agak keberatan untuk mengemukakan masalah ini kepada pihak akhbar kerana ia masih lagi menyentuh isu guru. Selama ini, banyak isu guru diberikan perhatian oleh pihak yang berwajib atas peranan yang dimainkan oleh pihak akhbar khasnya Berita Harian. Warga guru mengucapkan jutaan terima kasih.

Perkara yang hendak diketengahkan oleh saya ialah isu perlantikan jawatan Penolong Kanan dan Guru Besar di sekolah kebangsaan. Untuk makluman, mulai 2004, guru gred DG41 yang dinaikkan pangkat daripada gred DG29 dan DG32 mula dikekalkan di sekolah rendah.

Kebanyakan daripadanya memiliki pengalaman mengajar hampir 20 tahun atau lebih. Bukan saja pengalaman, bahkan prestasi juga cemerlang. Kalau prestasi tidak cemerlang, masakan mereka dilepaskan untuk menyambung pelajaran ke peringkat ijazah pertama di universiti. Malah ada yang memiliki ijazah kedua sekarang ini.

//

Tetapi amat malang, mereka yang rata-ratanya berumur 40-an ini menjadi mangsa kepada Pekeliling Kementerian Pelajaran yang tidak peka kepada perkembangan semasa. Kenaikan pangkat untuk menyandang jawatan Penolong Kanan dan Guru Besar di sekolah rendah hanya diberikan kepada guru DG32.

Apabila dipersoalkan mengapa guru gred DG41 dan DG44 yang sudah berumur dan berpengalaman ini tidak ditawarkan ke jawatan itu, jawapan diterima ialah mereka tidak layak. Adalah menjadi harapan kami agar Kementerian Pelajaran pada 2010 ini membuat sedikit pindaan kepada pekeliling berkenaan.

Kita tidak mempertikaikan kewajaran DG32 atau lain-lain jawatan kumpulan sokongan diletakkan di tempat itu jika kementerian rasa ia perlu diteruskan, tetapi berilah juga tawaran kepada guru bergred DG41 dan ke atas yang memiliki pengalaman mengajar lebih 20 tahun ini ke jawatan berkenaan.

LALAK LILA,
Sungai Petani,
Kedah

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Surat/20100106232514/Article/

PIBG perlu lebih aktif kenal pasti potensi murid

06/01/2010

KALI pertama menghantar anak ke sekolah untuk mendaftar ke tahun satu mengingatkan saya kenangan semasa bersekolah dahulu. Yuran sekolah dan duit buku masa kini boleh dibuat belanja dapur seminggu.

Sebagai ibu bapa muda yang kali pertama merasakan pengalaman menghantar anak ke sekolah, pelbagai perkara dapat didengari apabila bercampur dengan ibu bapa yang sudah berpengalaman.

Selain kisah ekonomi yang dibualkan semasa menunggu anak di hari pertama, kebanyakan ibu bapa juga prihatin dengan masalah disiplin anak-anak muda lepasan sekolah yang disifatkan pintar tetapi nakal.

Menyalahkan pihak sekolah 100 peratus rasanya tidak patut kerana apa guna menjadi ibu bapa jika melepaskan tanggungjawab sepenuhnya kepada orang lain. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh memainkan peranan dengan mengadakan pertemuan secara malar untuk mengatasi disiplin murid sejak dari tahun satu lagi.

Apabila melihat keletah anak-anak yang seronok di dalam kelas dan hanya seorang guru yang lemah-lembut mengajar 30 orang anak murid, kadang-kadang terasa kita sebagai ibu bapa terlalu meletakkan seluruh kepercayaan kepada guru.

Kita juga mudah menyalahkan guru apabila anak kita gagal mencapai gred yang bagus. Dalam masa yang sama, guru perlu menjaga kesemua anak murid secara adil. Ibu bapa yang hadir ada yang tersenyum dan ada yang resah melihat anak yang masih rebung cuba dilentur sebaik mungkin. Itu baru 40 minit berlalu.

Apabila ibu bapa sudah kembali bekerja, bagaimana pula cara guru itu mengajar anak kita menjadi orang dalam erti kata sebenar. Ibu bapa wajar mengambil berat disiplin anak-anak dengan selalu menghantar sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada guru-guru untuk bertanyakan tentang sahsiah diri anak-anak.

Kita sebagai ibu bapa faham guru juga ada keluarga untuk dijaga. Namun tanggungjawab sebagai guru yang bersama anak-anak kita selama hampir lapan jam sehari adalah besar kerana disiplin mereka amat perlu dibentuk sebagai bayangan masa depan mereka yang akan mewarisi kepimpinan negara. Hari ini teknologi canggih adakalanya menyebabkan anak-anak cepat menjadi pintar dan ada guru yang jauh ketinggalan sehingga setiap kerja yang diberi mampu diselesaikan sebaik mungkin.

Justeru itu, guru-guru perlu berlari seiring dengan kepantasan teknologi agar anak-anak murid lebih menghormati mereka. PIBG perlu bekerjasama erat dalam menangani anak-anak murid yang nakal tetapi pintar. Mungkin mereka boleh melompat masuk ke tahun dua atau tiga dengan satu ujian khas supaya masa mereka tidak dibazirkan dengan belajar perkara yang sama.

Ibu bapa sudah pasti mampu mengenal pasti perangai dan kemampuan anak mereka dalam pelajaran.

PIBG juga perlu aktif mengadakan pertemuan untuk mengenal potensi anak-anak ini untuk melangkau kelas supaya mereka cepat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Dengan ini, kita tidak lagi membazirkan waktu membentuk pelajar-pelajar yang nakal tetapi pintar kerana bosan berada dalam suasana pembelajaran yang tidak kondusif. Kita ada anak-anak pintar yang sudah terbukti. Walau apa pun kaedah membentuk anak-anak ini, yang penting adalah perkembangan rohani mereka mestilah seiring dengan kejayaan akademik agar tidak tergelincir dari norma-norma masyarakat timur.

PIBG perlu bekerjasama dalam membentuk murid yang berpotensi untuk pergi lebih jauh dan dalam masa yang sama, disiplin mereka dapat ditingkatkan sebaik mungkin agar tidak terlibat dengan masalah sosial.

Guru-guru juga perlu bermuhasabah diri jika ada anak murid yang membuatkan minda intelek mereka tercabar. Seeloknya guru mampu menambah nilai ilmu seiring dengan zaman siber. Hanya kerjasama erat antara ibu bapa dan guru dapat membentuk masa depan murid yang lebih cemerlang di masa depan.

Selain itu, pemantauan disiplin mampu menjana minda murid agar prestasi pembelajaran mereka terus meningkat. Justeru itu, PIBG perlu bersatu demi masa depan negara yang lebih baik.

ABDUL RAZAK IDRIS

Banting, Selangor

e-Kasih kenal pasti murid miskin

06/01/2010

SAMARAHAN 5 Jan. – Kementerian Pelajaran akan menggunakan senarai e-Kasih bagi mengenal pasti pelajar miskin untuk diberi pelbagai bantuan yang disediakan kementerian itu.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, penggunaan senarai e-Kasih akan memastikan hanya mereka yang layak dan berdaftar menerima bantuan kerajaan.

Berikutan itu jelasnya, pelaksanaan Skim Baucer Tuisyen dan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) akan disemak semula bagi memastikan hanya yang layak menerima bantuan tersebut.

”Kemungkinan berlaku sedikit kelewatan dalam pemberian bantuan kerajaan seperti pembayaran Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dan bantuan-bantuan lain berikutan penggunaan e-Kasih,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke lapan buah sekolah di dalam kawasan Parlimen Batang Sadong di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Pelajaran negeri, Julaihi Bujang dan Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri.

Puad memberitahu, kerajaan membelanjakan sejumlah RM3.8 bilion setahun bagi menyediakan bantuan kewangan untuk program-program kementerian seperti Skim Baucer Tuisyen, KWAPM, makanan asrama, Biasiswa Kecil Persekutuan dan buku teks.

Oleh itu katanya, peranan ketua kampung adalah penting kerana mereka yang dapat menentukan bantuan kerajaan itu sampai kepada sasarannya.

”Kita tidak mahu berlaku pembaziran kerana pernah berlaku bantuan kerajaan diberikan kepada mereka yang tidak layak,” jelas beliau.

Sementara itu, Puad meminta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya bersikap adil terhadap masyarakat Penan demi masa depan anak-anak masyarakat itu.

Katanya, tanggapan negatif NGO terhadap masyarakat itu menyebabkan syarikat pembalakan di Long Bedian kini enggan menumpangkan pelajar Penan ke sekolah.

”Ia menimbulkan masalah besar dan boleh mengakibatkan berlaku masalah keciciran membabitkan anak-anak masyarakat itu,” katanya.

Sarawak kekurangan 1,565 guru

06/01/2010

Oleh MUHAMAD ZAID ADNAN
zaid.adnan@utusan.com.my

SAMARAHAN 5 Jan. – Perpindahan guru dari Semenanjung ke negeri asal masing-masing merupakan antara punca Sarawak mengalami masalah kekurangan 1,565 guru sekolah menengah bagi sesi persekolahan 2010.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kekosongan itu melibatkan guru-guru bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

Menurutnya, keadaan itu tidak membabitkan sekolah rendah yang menerima kehadiran kira-kira 1,000 guru baru semalam.

”Kebanyakan guru yang lebih lima tahun berkhidmat di Sarawak memohon untuk kembali ke negeri asal mereka dan ini merupakan antara punca berlaku kekurangan guru di Sarawak.

”Kita akan mengambil Guru Sandaran Tidak Terlatih bagi mengatasi masalah tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke lapan buah sekolah di dalam kawasan Parlimen Batang Sadong di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Pelajaran negeri, Julaihi Bujang dan Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri.

Dalam perkembangan berlainan Puad memberitahu, kementerian akan memberikan perhatian segera bagi menyelesaikan masalah 130 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Metah dekat Batang Rajang yang sekolah mereka musnah terbakar dalam kejadian pada 26 Disember lalu.

Beliau menjelaskan, pembinaan kabin untuk dijadikan kelas merupakan alternatif terbaik kerana ia bukan sahaja mudah dan cepat dipasang, malah tahan lama.

“Kita berharap penduduk kampung dapat membantu pembinaan kabin ini bagi menempatkan murid-murid kerana sesi persekolahan perlu diteruskan seperti biasa,” katanya.

Dalam kejadian 26 Disember lalu, blok yang menempatkan bangunan pentadbiran, asrama dan kelas di SK Nanga Metah musnah dalam kebakaran selepas sambutan Hari Krismas.

45 peratus pelajar sekolah Tamil catat pencapaian UPSR membimbangkan

06/01/2010

SHAH ALAM 5 Jan. – Kekurangan bantuan ataupun sokongan mekanisme yang membantu memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran di kalangan ibu bapa pelajar sekolah Tamil dikenal pasti antara faktor sesetengah mereka kurang berjaya dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata, masalah itu semakin membimbangkan apabila kajian mendapati kira-kira 45 peratus pelajar sekolah Tamil di negeri Selangor mencapai keputusan yang agak membimbangkan dalam UPSR setiap tahun.

“Kemungkinan antara puncanya dalam perkara ini, kurangnya bantuan atau sokongan mekanisme pembelajaran oleh ibu bapa murid yang rata-rata bekerja sebagai pekerja am yang berpendapatan rendah,” kata Khalid dalam ucapannya pada Majlis Penyerahan Cek Bantuan Kewangan kepada Sekolah Tamil Negeri Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini. Pada majlis itu, Khalid menyampaikan bantuan kewangan sebanyak RM704,000 kepada 31 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di negeri Selangor.

Sebelum ini, kerajaan negeri memberikan bantuan sebanyak RM508,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah Tamil.

Khalid berkata, terdapat 97 sekolah Tamil melibatkan seramai 34,000 pelajar di negeri Selangor, yang kira-kira 80 peratus daripadanya berasal dari keluarga berpendapatan rendah. – BERNAMA