Sekolah kerap dilanda banjir

27/01/2010

Oleh RANIA PARAN
utusansarawak@utusan.com.my

KEADAAN SMK Tutoh Apoh, Long Panai ketika dilanda banjir di Baram, Sarawak, baru-baru ini. – UTUSAN/ RANIA PARAN


MIRI 26 Jan. – Suatu ketika dulu, masyarakat Penan di Baram sering dilabel sebagai mundur kerana masih mengamalkan kehidupan tradisi berpindah-randah, malah sering dipandang serong kerana didakwa menolak pembangunan.

Namun kini, tidak semua Penan menolak pembangunan malah mereka semakin sedar perjuangan menentang pembangunan dan kerajaan tidak akan menemui kesudahan.

Statistik yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Negeri (SPU) Sarawak tahun lepas menunjukkan, hanya tiga peratus atau 527 orang Penan yang masih hidup berpindah-randah meliputi 11 kumpulan iaitu sembilan di Baram diikuti dua di Limbang.

Dari segi populasi dan taburan penduduk, kaum Penan kini seramai 16,281 orang dan daripada jumlah itu, 9,786 terdapat di Bahagian Miri diikuti Bintulu (8), Limbang (466) dan Kapit (3,195).

Dalam pada itu, pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan dalam memastikan generasi muda Penan mendapat pendidikan, termasuk menyediakan prasekolah, sekolah rendah dan menengah seperti di kawasan ulu Baram.

Mengulas perkara ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Lihan Jok berkata, kerajaan sentiasa komited memastikan penduduk di Baram khususnya masyarakat Penan mendapat pendidikan sewajarnya.

Sebagai contoh, katanya, baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa melawat Miri meluluskan peruntukan RM50 juta bagi memperluas dan membina semula sekolah itu di kawasan yang lebih tinggi dan selamat daripada risiko banjir.

Tapak baru yang diluluskan itu terletak di sebuah kawasan tanah tinggi iaitu kira-kira 800 meter dari tebing Sungai Apoh.

Projek pembinaan sekolah berkenaan akan bermula pertengahan tahun ini yang mengambil masa 18 hingga 24 bulan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2012.

Apabila siap nanti, sekolah itu mampu menampung seramai 400 orang pelajar selain dilengkapi kemudahan asrama, 20 unit rumah guru, 18 bilik darjah untuk tingkatan 1 hingga tiga, blok pentadbiran dan makmal.

Di samping itu, peruntukan berkenaan termasuk menyediakan kemudahan bekalan air bersih dan juga elektrik yang menggunakan enjin janakuasa, sejajar dengan usaha kerajaan mewujudkan pembelajaran yang kondusif.

‘‘Selain itu, sebuah sekolah komprehensif (K9) juga sedang dibina di Long Bedian yang menyediakan kelas Darjah 1 hingga Tingkatan 3 yang dijangka siap Februari tahun depan.

‘‘Sementara itu, sebuah lagi sekolah menengah iaitu SMK Tinjar, Lapok akan dibuka dalam tahun ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurut Jok, pembinaan sekolah berkenaan bukan sahaja memberi manfaat kepada Penan malah lebih 20,000 orang Ulu seperti masyarakat Kayan, Kenyah, Berawan yang tinggal di sekitar Baram.

‘‘Walaupun sasaran utama kita adalah masyarakat Penan, namun kebajikan masyarakat lain terutama yang minoriti seperti Saban tetap diberi perhatian kerana kita mahu semua penduduk di Baram menikmati peluang dan bantuan pendidikan.

‘‘Dalam hal ini, kita mahu masyarakat Penan merebut peluang menghantar anak-anak mereka ke sekolah dan tiada alasan untuk mereka kerana kerajaan sudah menyediakan infrastruktur yang berhampiran,” katanya.

Mengenai pengumuman kerajaan untuk membina semula SMK Tutoh Apoh, beliau berkata, ia merupakan berita gembira yang menandakan berakhirnya penderitaan warga sekolah itu.

Katanya, pembinaan bangunan baru SMK Tutoh Apoh adalah langkah penyelesaian terhadap masalah banjir yang dialami oleh sekolah itu dalam tempoh lebih 28 tahun.

‘‘Masalah banjir merupakan ancaman besar terhadap sekolah berkenaan di mana setiap kali paras air Sungai Apoh naik, ia akan menyebabkan banjir berikutan kedudukan yang terletak di kawasan rendah serta di tebing sungai,” katanya.

Beliau yang juga bekas pengetua sekolah itu berkata, dalam setahun sekurang-kurangnya 40 hari sekolah terpaksa ditutup berikutan masalah banjir dan ini sudah pasti mengganggu proses pembelajaran.

Menurutnya, pada masa ini, sekolah tersebut menempatkan seramai 300 orang pelajar dari tujuh buah kampung iaitu Long Terawan, Long Panai, Long Luneh, Long Bemang, Long Wat, Long Atip dan Long Bedian.

Sementara itu Ahli Parlimen Baram, Datuk Jacob Dungau Sagan ketika ditemui selepas taklimat oleh Jabatan Pelajaran Negeri memberitahu, pihaknya mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Pelajaran untuk meluluskan peruntukan bagi membina sekolah tersebut.

Jacob yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri turut menyifatkan ia merupakan perkhabaran yang amat bermakna bagi seluruh penduduk Baram khususnya di kawasan Tutoh Apoh.

Menurutnya, beliau dan Lihan Jok dalam tempoh 10 tahun telah mengemukakan perkara itu kepada Kabinet untuk mencari pendekatan terbaik termasuk memindahkan sekolah tersebut ke tapak baru.

Sementara itu, seorang penduduk dari Long Bedian, Jok Eng Jok, 58, berkata, penduduk di situ amat berterima kasih di atas keprihatinan kerajaan untuk memindahkan sekolah itu ke tempat yang lebih tinggi dan selamat daripada banjir.

‘‘Walaupun selalu dilanda banjir, namun ia tidak menghalang warga SMK Tutoh Apoh untuk melakukan yang terbaik.

‘‘Ini terbukti dengan pencapaian peperiksaan yang memberangsangkan setiap tahun meskipun terpaksa belajar dalam keadaan banjir,” katanya.

Sehubungan itu, Eng Jok berharap dengan adanya bangunan sekolah yang baru kelak, ia akan memantapkan visi sekolah berkenaan untuk mencapai kecemerlangan seterusnya mampu bersaing dengan sekolah-sekolah lain.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sabah_%26_Sarawak&pg=wb_01.htm

RM1 juta bantu 197 SRJK Cina, Tamil

27/01/2010

IPOH 26 Jan. – Kerajaan negeri menyalurkan RM1 juta sebagai peruntukan bagi membantu 197 buah sekolah rendah jenis kebangsaan (SRJK) Cina dan Tamil di Perak, tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, 112 buah SRJK Cina dan 85 SRJK Tamil akan mendapat faedah daripada peruntukan tersebut.

Menurutnya, peruntukan itu adalah bantuan kali pertama kerajaan negeri untuk SRJK Cina dan Tamil di bawah Bajet 2010.

Bantuan modal subsidi itu, katanya, disalurkan untuk tujuan perbelanjaan bil elektrik dan air bagi sekolah terbabit dan jumlah bantuan ke setiap sekolah bergantung kepada jumlah pelajar.

“Setakat ini kita belum dapat memastikan jumlah yang akan diberikan kepada satu-satu sekolah. Semuanya perlu kajian dalaman dengan pihak sekolah sendiri.

“Jumlahnya hanya akan diputuskan selepas semua rekod dan data terperinci diperoleh. Kita akan meneliti semua maklumat daripada penyelia negeri sebelum memutuskan subsidi tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan penyelia SRJK Cina, Shieh Tian Gee dan SRJK Tamil, Mamaohanran Nannipichay di sini, semalam.

Menurut Hang Soon, kerajaan negeri percaya bantuan tersebut akan dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh sekolah-sekolah terlibat.

Pada masa yang sama, beliau percaya bantuan itu adalah satu keputusan yang paling saksama dan adil yang dibuat kerajaan negeri.

“Saya harap bantuan subsidi ini akan dapat digunakan dengan sebaik-baiknya.

“Walaupun bantuan tersebut mungkin tidak dapat menyelesaikan semua masalah, sekurang-kurangnya beban pengurusan sekolah akan dapat dikurangkan.

“Saya mungkin akan cadangkan bantuan ini diberi setiap tahun dan dijadikan sebagai satu perbelanjaan dalam bajet kerajaan negeri Perak,” katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_03.htm

Projek sekolah perlu diberi keutamaan

27/01/2010

BANGI 26 Jan. – Kerajaan perlu mewujudkan satu pasukan khas untuk memantau setiap projek sekolah yang dilaksanakan di seluruh negara supaya langkah segera dapat diambil jika sesebuah projek itu berdepan masalah.

Penduduk Bandar Seri Putra dekat sini berpendapat, walau apa pun yang terjadi, projek sekolah tidak wajar dibiarkan terbengkalai kerana ia memberikan kesan besar kepada masyarakat.

Seorang penduduk di kawasan perumahan berkenaan, Riduan Ramli, 30, berkata, projek pembangunan sekolah perlu diberikan keutamaan dan dielakkan daripada terbengkalai.

Dia yang sudah menetap di bandar baru berkenaan sejak tiga tahun lalu mengakui amat kecewa kerana sekolah di kawasan itu gagal disiapkan.

“Penduduk di kawasan ini semakin padat dari semasa ke semasa. Keadaan ini amat menyulitkan ibu bapa yang mempunyai anak-anak bersekolah menengah,” ujarnya.

Dia berkata, kemudahan sekolah sering menjadi faktor seseorang membeli rumah di sesebuah kawasan baru dan amat mengecewakan jika kemudahan itu tidak dapat dinikmati dengan segera.

Kesan kegagalan projek sekolah itu disiapkan mengikut jadual turut dirasakan oleh My’sara Sofea Mahizan, 14 tahun.

Anak keempat daripada enam orang adik-beradik itu terpaksa bersekolah di Sekolah Menengah Engku Hussain, Semenyih yang terletak lebih 12 kilometer dari rumahnya sejak tahun lalu.

“Sememangnya agak menyedihkan, namun apa boleh buat. Apa yang saya harapkan ialah sekolah ini dapat disiapkan dengan segera. Kalau boleh sebelum tahun depan,” ujarnya.

Dia mengakui terpaksa terpaksa keluar awal pagi bagi mengelakkan tertinggal bas sekolah.

Selain My’sara, terdapat kira-kira 40 rakannya dari kawasan perumahan berkenaan dan berhampiran belajar di sekolah sama.

Turut berkongsi kekecewaan ekoran pembinaan sekolah menengah di kawasan berkenaan terbengkalai ialah seorang bapa, Murad Adam. 41.

Dia yang tinggal di Bandar Bukit Mahkota, bersebelahan Bandar Seri Putra berkata, memandangkan tiada sekolah menengah di kawasan tempat tinggalnya, anak-anaknya terpaksa dihantar bersekolah di Jalan 2, Bandar Baru Bangi.

“Sekiranya sekolah menengah di sini dibuka, anak-anak di Bandar Bukit Mahkota boleh bersekolah di sini kerana ia lebih hampir,” ujarnya yang mempunyai anak-anak yang belajar di tingkatan satu dan tiga di sekolah berkenaan.

Sambil merayu agar kerajaan menyegerakan kerja-kerja menyiapkan sekolah berkenaan, dia juga berharap pihak pemaju turut memainkan peranan agar sekolah berkenaan dapat disiapkan segera.

Difahamkan, sebelum ini, kawasan bandar baru itu turut mengalami masalah sekolah rendah yang terbengkalai selama hampir setahun.

Namun, usaha menyiapkan sekolah berkenaan akhirnya terlaksana dan murid-murid sudah memulakan sesi persekolahan pada bulan Jun tahun lepas.

Bagi pengawal keselamatan di tapak projek berkenaan, Rajendra Kumar, 31, dia sendiri tidak begitu tahu tentang status sekolah berkenaan.

Dia yang baru dua bulan ditugaskan menjaga keselamatan tapak sekolah berkenaan berkata, dia sering disoal tentang status projek itu oleh ibu bapa yang datang melawat ke tapak projek berkenaan.

“Saya dimaklumkan projek sekolah ini terbengkalai disebabkan pemajunya sudah bankrap. Dari apa yang saya dengar, usaha untuk menyambung semula projek ini sedang dijalankan. Lebih dari itu, saya tidak tahu,” ujarnya.

Dia turut melahirkan kebimbangan, sekiranya sekolah tersebut terus terbengkalai, kemungkinan pelbagai kejadian seperti kecurian barang-barang akan berlaku.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kota&pg=wk_02.htm

Lagi sekolah terbengkalai

27/01/2010

Oleh ROSLAH OTHMAN
kota@utusan.com.my

SEBAHAGIAN besar bangunan utama dalam projek membina sekolah menengah di Bandar Seri Putra, Bangi sudah hampir siap apabila ia terhenti sejak lebih setahun lalu . – UTUSAN/ Hayat Sueet


BANGI 26 Jan. – Masalah projek sekolah ‘sakit’ atau terbengkalai di negara ini bukanlah satu isu baru. Ia masih berlaku dari semasa ke semasa walaupun pelbagai langkah sudah diambil bagi memastikan perkara itu tidak berulang.

Sama seperti isu rumah terbengkalai, projek sekolah terbengkalai juga memberikan kesan langsung kepada masyarakat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Selain bebanan yang terpaksa ditanggung oleh ibu bapa, pelajar dan guru, kerajaan juga tidak terlepas daripada turut terpaksa memikul beban sama ada dari segi peningkatan kos mahupun imej di mata masyarakat.

Bagi ibu bapa, sekolah terbengkalai bermakna mereka perlu berbelanja lebih besar untuk menampung kos pengangkutan menghantar anak ke sekolah yang lebih jauh manakala pelajar pula perlu membuang lebih masa dan tenaga untuk ke sekolah.

Apabila sekolah tidak siap, guru yang perlu ditempatkan di situ juga terpaksa dihantar ke tempat lain terlebih dahulu.

Difahamkan, kos untuk memulihkan projek sekolah terbengkalai, selain melibatkan belanja besar, ia juga mengambil masa kerana perlu membatalkan kontrak kontraktor asal dan memilih kontraktor baru.

Itulah isu yang berlaku di kawasan penempatan baru, Bandar Seri Putra dekat sini.

Projek pembangunan menyiapkan sebuah sekolah menengah yang mengandungi 36 bilik darjah dan kemudahan berkaitan di kawasan itu gagal disiapkan sehingga kini

Mengikut papan tanda yang dipasang, tarikh kerja-kerja pembangunan telah bermula pada 5 April 2007 dan sepatutnya siap pada 4 Disember 2008.

Kini, sudah masuk 2010 dan projek Kementerian Pelajaran di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) itu terus menjadi tanda tanya penduduk di kawasan berkenaan.

Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi berkenaan mendapati, bangunan sekolah yang terdiri daripada beberapa blok bilik darjah, bilik guru dan kantin kini terbiar.

Persekitarannya juga sudah ditumbuhi semak-samun, selain beberapa kelengkapan pembinaan dilihat bertaburan di sana sini – satu petanda projek tersebut sudah lama terbiar.

Namun, terdapat sebuah pondok keselamatan didirikan di hadapan tapak sekolah tersebut dan terdapat seorang pengawal keselamatan bertugas di situ.

Difahamkan, pemaju asal telah diisytiharkan bankrap dan ada beberapa syarikat dikatakan berminat untuk meneruskan projek berkenaan.

Ini jelas dilihat melalui buku lawatan tapak yang direkodkan di bilik pengawal keselamatan di lokasi tapak berkenaan.

Walau apa pun tindakan yang sedang dilakukan, penduduk Bandar Seri Putra berharap kerajaan dapat mencari jalan penyelesaian agar sekolah tersebut dapat disiapkan secepat mungkin.

Akibat ketiadaan sekolah menengah di kawasan itu, ibu bapa terpaksa menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah di kawasan sekitar yang semua terletak agak jauh.

Antaranya, Sekolah Menengah Jalan Dua, Bandar Baru Bangi, Sekolah Menengah Jalan Reko, Kajang, Sekolah Menengah Salak Tinggi dan Sekolah Menengah Engku Hussain, Semenyih.

Berikutan itu juga, ibu bapa terpaksa mengeluarkan kos pengangkutan antara RM65 hingga RM70 sebulan untuk setiap anak mereka.

Apa yang dipersoalkan oleh ibu bapa bukan sahaja tentang kos tinggi yang terpaksa ditanggung mereka tetapi juga dari segi masa.

Difahamkan, bagi pelajar sesi pagi, mereka perlu keluar rumah seawal pukul 6 pagi ke sekolah dan hanya sampai ke rumah semula sekitar pukul 3 petang, jika tiada kegiatan kokurikulum.

Sementara, bagi pelajar sesi petang, kira-kira pukul 10.30 pagi mereka sudah perlu bersiap-siap untuk menunggu bas dan sampai semula ke rumah selepas azan maghrib berkumandang.

Jika terlewat, pelajar-pelajar berkenaan biasanya terpaksa mengambil keputusan tidak bersekolah memandangkan tiada perkhidmatan bas biasa ke sekolah mereka.

Justeru, penduduk sangat berharap projek itu dapat dipulihkan dan disiapkan dengan segera untuk kemudahan semua pihak, tambahan pula kawasan itu semakin ramai penghuninya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kota&pg=wk_01.htm

Kerjasama tingkatkan prestasi SKBU2

27/01/2010

MURID-MURID bersama guru Sekolah Kebangsaan Bandar Baru UDA, Johor Bahru, gembira apabila sekolah itu diumumkan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi kelmarin. – Utusan/RAJA JAAFAR ALI


JOHOR BAHRU 26 Jan. – Semangat kerjasama dan persefahaman tinggi di kalangan guru, murid dan kakitangan Sekolah Kebangsaan Bandar Baru UDA ( SKBU2) menjadi faktor utama kejayaan sekolah itu disenarai antara 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di negara ini.

Guru Besar sekolah itu, Fuziah Hasan berkata, pencapaian itu adalah kejayaan bersama bagi seluruh warga sekolah berkenaan yang mempunyai 91 guru, 1,652 murid serta lapan orang kakitangan sokongan.

“Kami juga mendapat kerjasama yang amat baik di kalangan pembantu am rendah, pengawal keselamatan dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang diketuai, Elias Buran,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun, faktor utama pengiktirafan itu juga mungkin disebabkan kecemerlangan murid khususnya dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang menunjukkan peningkatan setiap tahun.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas penyenaraian sekolah itu sebagai SBT yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Majlis penyampaian anugerah itu akan dilakukan oleh Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran di Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Sejak tujuh tahun lalu, SKBU 2 yang diterajui oleh Fuziah telah meraih tiga anugerah besar peringkat kebangsaan iaitu Sekolah Cemerlang pada 2007, Sekolah Kluster (2009) dan pada tahun ini diiktiraf sebagai SBT.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_12.htm