Sekolah Seni Johor dapat bilik darjah kabin

12/01/2010

JOHOR BAHRU 11 Jan. – Mungkin ada ibu bapa yang sedih bila mendapat tahu anak-anak mereka terpaksa belajar di dalam kabin bagi mengatasi kekurangan bilik darjah.

Bagaimanapun, bagi pelajar Sekolah Seni Johor Bahru (SSJB) yang mula belajar dalam kabin hari ini, mereka tidak merasa tertekan dengan keadaan tersebut.

Sebaliknya, mereka gembira kerana bilik darjah tersebut turut dilengkapi kemudahan kipas angin dan lampu kalimantang seperti kelas biasa.

Timbalan Pengarah Pelajaran Johor, Markom Giran yang melakukan lawatan ke sekolah tersebut berkata, bilik darjah kabin itu dibina dalam tempoh dua minggu.

“Kita mengambil masa kira-kira dua minggu sahaja untuk pasang kabin ini.

“Tidak ada apa yang kurang dengan bilik darjah ini kerana ia menepati spesifikasi kelas biasa,” katanya.

Menurut beliau, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Johor memperuntukkan RM400,000 untuk membina lapan bilik darjah berkonsep kabin bagi kemudahan pelajar berkenaan.

Beliau berkata, pembinaannya setanding dengan bilik darjah yang dibina daripada batu-bata, cuma jangka hayatnya hanya mampu bertahan kira-kira 10 tahun sahaja.

Kata beliau, pembinaan bilik darjah kabin itu akan membolehkan bilik darjah sedia ada dijadikan studio untuk pelajar memberi tumpuan pada bidang tari, muzik, teater dan seni visual.

“Pelajar-pelajar ini akan mengikuti empat bidang tersebut secara khusus apabila masuk ke tingkatan empat nanti.

“Untuk itu, kita perlu menyediakan keperluan lengkap mengikuti bidang yang ditawarkan di sekolah seni ini,” katanya.

Apa pun, Markom memberitahu, para pelajar SSJB akan mempunyai sekolah sendiri di Bandar Seri Alam tidak lama lagi.

Sekarang, sekolah yang mempunyai 248 pelajar itu berkongsi kawasan dengan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mohd. Khalid.

“Setakat ini kita hanya ada dua sekolah seni iaitu di Johor Bahru dan Sarawak. Pelajar sekolah seni ini berani dan berbeza dengan pelajar sekolah biasa.

“Kita harap pelajar sekolah seni ini kelak menjadi duta kecil ke luar negara memperkenalkan budaya tempatan,” katanya.

Kerajaan kaji guna sistem sekolah London

12/01/2010

LONDON 11 Jan. – Kerajaan akan mengkaji untuk menggunakan sistem e-pembelajaran yang dilaksanakan di sebuah sekolah menengah komuniti di bandar raya ini bagi memantapkan lagi sistem pengajaran dan pembelajaran di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sistem teknologi maya frog system yang dilaksanakan di Sekolah Sunbury Manor itu memberi kesan positif kepada pencapaian sekolah berkenaan yang sebelum ini bukan sekolah pilihan ibu bapa.

“Memang kita telah menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di sekolah kita tetapi kita berminat untuk melihat sistem yang digunakan di sekolah ini untuk menambah baik lagi sistem pengajaran dan pembelajaran negara,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran bercakap kepada wartawan Malaysia selepas mendengar taklimat mengenai e-pembelajaran oleh wakil sekolah Sunbury Manor di Sheraton Park Tower di sini hari ini.

Katanya, dengan adanya sistem e-pembelajaran yang lebih radikal seperti yang digunakan di sekolah berkenaan, ia mampu melonjakkan sistem pendidikan di Malaysia.

“Kita sentiasa mahu menambah baik sistem pengajaran dan pembelajaran negara dengan melihat kepada pencapaian sekolah-sekolah lain di luar negara.

“Sebenarnya tujuan saya ke sini untuk melihat sendiri sistem ini dijalankan tetapi kerana masalah cuaca (salji tebal), kita hanya dapat mendengar sahaja taklimat itu di sini,” kata Muhyiddin.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan melihat pelbagai sudut sebelum mengambil keputusan untuk menggunakan sistem berkenaan

“Belum ada keputusan. Kita akan meneliti aplikasi yang digunakan selain faktor kos kerana ia bukan melibatkan jumlah yang sedikit,” katanya. – Utusan

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm

SPR pantau pilihan raya ketua murid

12/01/2010


MURID Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 1, Kuala Lumpur, Aimi Sarafana Balqis membuang undi pada pilihan raya pemilihan ketua murid, semalam.

KUALA LUMPUR: Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 1 (SKTTDI1) di sini mencipta sejarah apabila pemilihan ketua muridnya semalam dikendali dan dipantau sepenuhnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Wilayah Persekutuan.

Pemilihan yang menyaksikan pertandingan lima penjuru membabitkan murid Tahun Enam, meriah dengan semua calon serta penyokong masing-masing berkempen pada saat akhir bagi meraih undi sebelum pengundian bermula jam 11 pagi dan berakhir 1 tengah hari.

Pada pemilihan itu, Khairul Azli Khairul Razi diumumkan sebagai pemenang dengan memperoleh 365 undi, mengalahkan pencabar terdekatnya, Alia Suraya Ahmad yang mendapat 281 undi, sekali gus dilantik penolong ketua murid.

// <![CDATA[//

Calon lain, Nurul Amalina Amiruddin mendapat 177 undi, diikuti Nik Zaman Faisal Zakimi (86) dan Mohammad Shahril Mohammad Anuar (57) undi.

Keputusan itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya yang juga Guru Besar sekolah berkenaan, Nik Nab Sulaiman pada jam 2.10 petang dan dipantau Timbalan Pengarah SPR Wilayah Persekutuan, Khairul Amri Ishak.

Seramai 966 atau 91.7 peratus daripada 1,053 pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing termasuk satu undi pos melalui internet yang dilakukan guru yang kini melanjutkan pengajian ke luar negara, manakala tiga undi rosak.

Proses pembuangan undi itu dimulakan oleh Nik Nab, diikuti guru dan kakitangan sekolah serta murid Tahun Dua hingga Enam membabitkan lima saluran peti undi.

Nik Nab ketika ditemui pemberita, berkata pilihan raya bagi memilih ketua murid di sekolah itu sudah dua kali diadakan, tetapi tahun ini pertama kali dijalankan dengan kerjasama SPR bertujuan menerapkan konsep demokrasi yang diamalkan negara kepada generasi muda.

Beliau berkata, semua calon berkempen sejak seminggu lalu dengan pelbagai cara termasuk memasang poster, mengedar kalendar yang tertera nama dan slogan masing-masing serta mengadakan kempen dari kelas ke kelas.

Kelima-lima calon turut berkempen untuk kali terakhir pada sesi pidato semalam sebelum pusat pengundian dibuka. Proses pengiraan undi turut dilakukan kakitangan SPR dan sekolah bermula jam 1.20 petang.

Nik Nab berkata, perancangan untuk mengadakan pilihan raya itu bermula sejak Disember lalu dengan menghantar kertas kerja kepada SPR untuk mendapat kerjasama menjalankannya seperti pilihan raya sebenar.

“Setiap kelas diarah menghantar nama tiga calon menjadikan jumlah keseluruhan calon peringkat awal seramai 100 pelajar sebelum jumlah itu dikecilkan kepada 80 orang dan kemudian 60 murid dipilih untuk menjalani kursus sehari semalam bagi memenuhi syarat yang ditetapkan pihak sekolah.

“Daripada kursus itu, kita memilih lima pelajar terbaik untuk dicalonkan sebagai ketua murid pada sesi persekolahan kali ini dengan proses penamaan calon bermula pada 5 Januari lalu,” katanya.