Program Anak Angkat bantu kanak-kanak miskin

26/01/2010

KOTA KINABALU 25 Jan. – Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Penguna Sabah bercadang mewujudkan Program Anak Angkat bagi membantu kanak-kanak miskin di negeri ini supaya tidak tercicir dalam bidang pelajaran.

Menterinya, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, tumpuan utama akan diberikan kepada kanak-kanak di bawah jagaan ibu tunggal khususnya mereka yang berpendapatan rendah.

“Kementerian akan menaja anak-anak daripada golongan miskin ini dengan memberi bantuan seperti yuran sekolah dan perbelanjaan buku-buku supaya tidak ketinggalan dalam pelajaran.

“Program ini bukan mengambil mereka untuk dijaga di bawah pihak kementerian tetapi menaja pelajaran mereka sahaja. Kanak-kanak itu tetap dipelihara ibu atau keluarga asal,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan kepada 160 kanak-kanak di bawah jagaan ibu tunggal, keluarga miskin, orang kurang upaya (OKU) di Wisma Wanita di sini hari ini.

Katanya, dengan cara tersebut masa depan kanak-kanak itu akan lebih terjamin dan tidak sia-sia selain dapat memastikan mereka terus bersekolah seperti kanak-kanak lain.

Ketika ini katanya, pihak kementerian sedang mengenal pasti kaedah sesuai untuk menjalankan program itu bagi membolehkannya menyumbang untuk jangka masa panjang.

Jelas beliau, belum ada lagi program seumpama itu di Sabah dan langkah untuk mewujudkan program tersebut adalah idea terbaik dalam membantu kanak-kanak miskin.

Bagaimanapun katanya, apabila program itu dimulakan, orang ramai diminta supaya tidak lepas tangan terhadap mereka kerana membantu golongan itu adalah tanggungjawab bersama.

Selama ini, ujarnya, kerajaan banyak membantu kanak-kanak kurang bernasib baik di luar negara sedangkan di negara sendiri terdapat ramai lagi yang memerlukan bantuan.

“Kadang-kadang kita membantu anak-anak di luar negara tetapi kita tidak sedar atau lupa di negara kita ramai yang perlukan bantuan, kita seolah-olah tidak mempedulikan mereka,” ujarnya.

Azizah berkata, apabila program tersebut berjalan, orang ramai boleh menyumbang kewangan kepada pihak kementerian jika ingin membantu kanak-kanak yang ditaja.

Tambahnya, orang ramai yang ingin menghulur bantuan setelah program itu berjalan, boleh berhubung dengan pihak kementerian untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sabah_%26_Sarawak&pg=wb_08.htm

UMS sasar universiti penyelidikan

26/01/2010

Oleh JUNAIDI LADJANA
utusansabah@utusan.com.my

Kamaruzaman Ampon (tiga dari kiri) bersalam dengan para pelajar selepas menyampaikan amanat tahun baru di Dewan Canselor UMS, Kota Kinabalu, semalam.


KOTA KINABALU 25 Jan. – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menggariskan lima agenda yang perlu ditekankan bagi membolehkan institusi itu mencapai status universiti penyelidikan lebih awal daripada sasaran pada 2013.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Kamaruzaman Ampon berkata, lima agenda tersebut ialah memperhebatkan program penyelidikan dan inovasi, mengembalikan keyakinan terhadap pentadbiran dan menceriakan kampus.

‘‘Selain itu, kita juga mahu menjadikan agenda membaca sebagai budaya mahasiswa serta memartabatkan pencapaian mahasiswa dari segi akademik dan bukan akademik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat tahun baru di Dewan Canselor UMS di sini hari ini.

Kamaruzaman berkata, bagi mencapai hasrat tersebut, UMS akan memberi fokus meningkatkan aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan hasil penyelidikan.

Selain itu, katanya, UMS akan berusaha meningkatkan bilangan pelajar pasca siswazah dan meningkatkan bilangan pensyarah yang mempunyai kelulusan di peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD).

Beliau menambah, usaha meningkatkan minat terhadap penyelidikan akan dilakukan menerusi program dan pengenalan insentif-insentif tertentu.

Antaranya, ujar beliau, pihak universiti akan memberi bantuan kewangan dan peluang kepada pensyarah menganjurkan bengkel berkaitan penyelidikan yang dilakukan.

“Sepanjang tahun lalu kita telah berjaya mendapat 76 geran penyelidikan baru berjumlah RM5.4 juta di mana setiap penyelidikan akan diperuntukkan geran sebanyak RM100,000,” katanya.

Kamaruzaman yakin dengan gabungan kepakaran akademik dan komitmen pihak termasuk pelajar, UMS mampu mencapai sasaran lima agenda yang akan menjadikan universiti itu sebagai universiti penyelidikan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sabah_%26_Sarawak&pg=wb_03.htm

Jalinan Ukhwah Bakti Siswa anjuran KPYPJ

26/01/2010

JOHOR BAHRU 25 Jan. – Bahagian Hal Ehwal Pelajaran Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor (KPYPJ) akan menganjurkan Program Jalinan Ukhwah Bakti Siswa bermula esok sehingga Jumaat ini.

Pengurus Perhubungan Awamnya, Zaid Zain berkata, program yang melibatkan 60 pelajar kolej KPYPJ itu akan diadakan di Kampung Pok, Gelang Patah, dekat sini.

Beliau berkata, sempena program anjuran bersama Bahagian Hal Ehwal Pelajar KPYPJ dan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar Kementerian Pengajian Tinggi itu, pelbagai acara akan diadakan seperti bengkel ukiran buah-buahan dan masakan, bengkel membuat kek dan mufin, kelas menjahit labuci serta aktiviti gotong-royong mengecat surau dan masjid.

“Pelajar KPYPJ juga terlibat dengan kerja-kerja pendawaian masjid dan surau Mukim Tanjung Kupang, membina landskap manakala tenaga pengajar KPYPJ pula akan menganjurkan Program Motivasi Kecemerlangan Pelajar dan Kelas Celik Teknologi Maklumat (IT).

“Program tersebut akan dirasmikan oleh Pegawai Daerah Johor Bahru, Yahya Mohd. Salleh. Pada majlis berkenaan juga, 60 pelajar berkenaan akan diserahkan kepada keluarga angkat masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, para pelajar yang terlibat adalah dari Kolej Islam Johor, Institut Hospitaliti YPJ, Institut Teknologi Perindustrian dan kolej Komuniti YPJ.

“Ia bertujuan membentuk nilai peribadi mulia dan unggul di kalangan mahasiswa KPYPJ melalui gerak kerja bantu-membantu, bertolak-ansur, bersatu padu, berfikiran dinamik dan kasih sayang yang terap menerusi program empat hari tiga malam,” katanya.

Selain itu, program tersebut juga dapat meningkatkan lagi keyakinan golongan mahasiswa untuk mendekat dan melibatkan diri dengan komuniti sekali gus mempersiapkan mereka menjadi pemimpin masa depan negara.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Johor&pg=wj_05.htm

Persatuan silat disaran wujud kelas agama

26/01/2010

TEMERLOH 25 Jan. – Persatuan silat di negeri ini disaran mewujudkan kelas agama dan fardu ain selain mengajar ilmu mempertahankan diri kepada kanak-kanak serta remaja.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, persatuan silat tidak perlu membina bangunan untuk kelas mengajar sebaliknya hanya menjadikan gelanggang mereka sebagai pusat sumber.

Selain seni mempertahankan diri, kata beliau, pengisian terhadap aspek keagamaan kepada kanak-kanak dan remaja amat penting supaya ilmu yang diperoleh adalah seimbang.

“Selain mengajar anak muda bersilat, tambahkan ilmu mereka dengan mengajar fardhu ain, al-Quran dan tauhid supaya mereka ini benar-benar dibekalkan dengan ilmu yang seimbang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis mandi minyak pelajar silat Sendeng Dua Beradik siri kedua dan majlis Jasamu Dikenang kepada pelajar silat tahun 1960-an dan 70-an di Kampung Sungai Buloh dekat sini malam tadi.

Mohd. Sharkar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang berharap, hasrat mewujudkan kelas agama itu dapat direalisasikan oleh semua persatuan silat di negeri ini supaya pelajar yang dilahirkan mempunyai disiplin, tanggungjawab dan jati diri.

Menerusi kaedah itu, jelas beliau, hubungan antara pelajar dan guru menjadi lebih erat. Tambahnya, usaha mengembangkan kesenian orang Melayu melalui silat adalah satu usaha murni yang perlu diteruskan.

“Jika kita tidak mempertahankannya, ilmu persilatan yang menjadi budaya dan tradisi masyarakat Melayu ini akan terhakis,” tegasnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_09.htm

17 kanak-kanak belajar di tabika uzur

26/01/2010

TEMERLOH 25 Jan. – Seramai 17 kanak-kanak terdedah kepada bahaya apabila bangunan Tabika Taman Desa Jaya di sini yang menjadi tempat mereka belajar, semakin uzur dan mungkin boleh roboh bila-bila masa.

Beberapa ibu bapa melahirkan kebimbangan mereka terhadap keselamatan anak-anak mereka yang belajar di tabika itu sejak lebih setahun lalu.

Pengerusinya, Azmi Che Had berkata, bangunan tabika berusia lebih 20 tahun itu didirikan hasil gotong-royong penduduk taman perumahan tersebut.

Katanya, bangunan yang diperbuat daripada kayu itu tidak pernah diubah suai atau dibaiki sejak digunakan bagi kemudahan kanak-kanak untuk menimba ilmu setiap hari.

”Kami telah membawa masalah ini kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) untuk mendapatkan sebuah bangunan baru tetapi tidak ada sebarang jawapan atau tindakan diambil.

”Ada beberapa struktur bangunan kayu itu reput dimakan anai-anai dan paling teruk bahagian bumbung yang bocor dan menyebabkan siling turut reput dan boleh runtuh bila-bila masa,” katanya.

Menurut Azmi, sebelum ini, pihaknya hanya mendapat peruntukan menaik taraf bahagian dapur dan peralatan tetapi tidak ada bantuan untuk membaiki bangunan tersebut.

”Ibu bapa hanya mampu berdoa supaya bangunan ini tidak runtuh dan anak-anak mereka selamat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Desa Jaya, Malek Mohamad berkata, masalah itu telah diajukan sebanyak tiga kali kepada Kemas.

Selain kerosakan bumbung, kata beliau, bangunan itu juga terdedah kepada kebakaran kerana kabel elektrik yang tidak lagi berfungsi.

“Mungkin kabel itu telah terputus menyebabkan lampu, kipas dan semua peralatan elektrik tidak boleh digunakan. Oleh itu kami terpaksa menyambung dari suis utama untuk memasang lampu.

“Ini yang paling dibimbangkan kerana kabel masih aktif tetapi wayarnya telah terputus. ia boleh menyebabkan kebakaran,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau merayu Kemas mencari jalan menyelesaikan masalah itu segera memandangkan lebih 500 penduduk taman perumahan itu itu tiada tempat lain untuk menghantar anak-anak mereka belajar di prasekolah.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_08.htm