Perlu ada garis panduan sistematik tukar guru BM, BI

19/01/2010

KUALA LUMPUR 18 Jan. – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) meminta kerajaan menyediakan garis panduan yang sistematik bagi menempatkan semula guru-guru yang mengajar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris ke sekolah lain.

Presidennya, Hashim Adnan berkata, program penempatan semula yang hanya melibatkan dua mata pelajaran itu telah disalah gunakan segelintir pentadbir sekolah dengan sewenang-wenangnya.

“Timbul masalah apabila penempatan semula ini dilaksanakan awal tahun ini. Kita menerima beberapa aduan daripada guru-guru mengenai perkara ini.

“Tiada garis panduan tetap mengenai penempatan semula guru dalam hal ini. Jadi sebelum ia berlarutan, sesuatu perlu dilakukan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Adnan berkata, NUTP bersetuju apabila Kementerian Pelajaran sebelum ini menjelaskan bahawa penempatan semula guru yang mengajar dua mata pelajaran itu adalah demi memperkukuhkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

“Namun, dalam proses pergerakan guru dari satu sekolah ke sekolah lain itu, masalah lain pula timbul. Kita dapati ada guru yang tidak mengajar dua mata pelajaran itu turut ditukarkan atas alasan guru itu tidak disukai pihak sekolah atau bermasalah,” katanya.

Katanya, sejak program penempatan itu dimulakan awal Januari ini, terdapat 10 aduan yang sebahagian besarnya melibatkan penyalahgunaan kuasa pentadbir sekolah terhadap guru-guru yang dipaksa bertukar ke sekolah lain.

“Aduan lain termasuk arahan pertukaran dalam tempoh yang terlalu singkat sehingga menimbulkan masalah kepada guru terlibat. Ini memberi tekanan kepada mereka terutama yang mempunyai keluarga.

“Masalah kos sara hidup juga menjadi isu apabila penempatan semula ini tidak dilaksanakan dengan koordinasi yang tepat oleh pihak yang berwajib,” katanya.

Justeru, NUTP turut menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan menyediakan pampasan bulanan kepada guru-guru terlibat bagi membantu meringankan beban terutama kepada yang telah berkeluarga.

Katanya, penempatan semula guru-guru terbabit juga perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat dan berhati-hati dengan mengambil kira semua faktor kemanusiaan.

Adnan berkata, proses pertukaran guru-guru itu juga perlu dibuat berdasarkan kepada keperluan mata pelajaran di sesuatu sekolah dan bukannya kerana sekolah terbabit memerlukan guru semata-mata.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm

Tuisyen percuma untuk murid UPSR

19/01/2010

SANDAKAN 18 Jan. – Pergerakan Pemuda UMNO Batu Sapi akan menganjurkan kelas tuisyen percuma kepada murid-murid dari tujuh buah kampung di sini yang akan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Ketua Pemudanya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, program anjuran bersama Puteri UMNO bahagian itu akan membabitkan empat mata pelajaran teras iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Katanya, tujuh kampung berkenaan ialah Kampung Gas, Kampung Lupak Meluas, Kampung Sundang, Kampung Cenderamata, Kampung Bokara, Kampung Air dan Kampung Bahagia.

“Tenaga pengajar kita akan ambil dari kalangan guru-guru terlatih di kawasan Batu Sapi ini,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran program kelas tuisyen percuma di sini hari ini.

Majlis pelancaran dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Sekong merangkap Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi, Datuk Samsudin Yahya.

Hadir sama Ketua Pergerakan Wanita bahagian, Jamayah Sapawi; Ketua Puteri, Latifah Tahir, guru-guru tuisyen, ibu bapa dan pelajar.

Khairul Firdaus berkata, penganjuran program itu selari dengan agenda utama pergerakan itu untuk meningkatkan taraf pendidikan murid dan pelajar di kawasan itu.

Katanya, program murni itu bukan sahaja membimbing golongan pelajar kurang berkemampuan tetapi mampu melahirkan generasi pelapis di masa depan.

“Harapan kita program ini mampu meningkatkan peratus kelulusan peperiksaan UPSR di kawasan ini,” ujarnya.

Sementara itu, Samsudin berkata, program tuisyen ini mampu memastikan murid terbabit tidak menghabiskan masa dengan aktiviti tidak berfaedah.

“Usaha murni ini perlu diperluaskan kepada pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM),” katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sabah_%26_Sarawak&pg=wb_05.htm

126 pelatih daftar di IPG Temenggong Ibrahim

19/01/2010

JOHOR BAHRU 18 Jan. – Seramai 126 pelatih Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) mendaftar di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Temenggong Ibrahim di sini hari ini.

Daripada jumlah tersebut, 100 calon mendaftar untuk KPLI bagi sekolah rendah dan selebihnya bagi sekolah menengah.

Pengarah IPG Kampus Temenggong Ibrahim, Mohd. Said Hasran berkata, 26 pelatih KPLI bagi sekolah menengah merupakan peserta Program Pelajar Cemerlang.

Beliau berkata, pelatih KPLI sekolah menengah adalah lulusan luar negara yang dilatih khas untuk mengajar mata pelajaran Matematik, Sains, Kimia dan Biologi.

“Ada antara mereka ini belajar di Australia, New Zealand dan United Kingdom. Pengkhususan mereka memang dalam mata pelajaran Matematik dan Sains,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Said berkata, kesemua pelatih KPLI berkenaan akan mengikuti pengajian selama setahun dan mula menjalani latihan praktikal pada semester dua iaitu Ogos ini selama 10 minggu.

Seorang pelatih, Tay Chai Li, 25, dari Kuala Lumpur, pemegang Ijazah Perakaunan melahirkan perasaan gembira dapat melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan.

“Memang menjadi impian saya untuk menjadi guru kerana saya sukakan cabaran. Mendidik kanak-kanak sekolah rendah tidak mudah seperti yang dilihat. Inilah cabaran yang bakal saya hadapi kelak,” katanya.

Aifaa Abdul Ghani, 23, dari Terengganu yang merupakan lulusan Universiti Monash, Australia turut gembira kerana bakal menabur bakti sebagai guru kepada anak bangsa suatu hari nanti.

“Saya gembira kerana dapat meneruskan pengajian dalam bidang Matematik di sini dan seterusnya berkongsi pengalaman bersama para pelajar kelak,” katanya.

Sementara itu, Shyarwin Rosli, 26, dari Klang, Selangor yang merupakan lulusan Ijazah Sains Perhutanan dan Rekreasi daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) memilih untuk mengajar Pendidikan Jasmani.

Katanya, sejak dulu dia meminati bidang pendidikan, namun ketika itu tidak berkesempatan untuk meneruskan minatnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Johor&pg=wj_09.htm

Swasta dipelawa jadi rakan strategik pembelajaran

19/01/2010

JOHOR BAHRU 18 Jan. – Syarikat swasta dipelawa menjadi rakan strategik pendidikan dengan menaja sisipan pendidikan Utusan Malaysia yang ditawarkan pada harga istimewa.

Eksekutif Pemasaran Utusan Melayu Zon Selatan, Mohd. Asri Jantan berkata, akhbar berkenaan akan diagihkan ke sekolah-sekolah di negeri ini dalam usaha menunaikan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

Menurutnya, tajaan itu membabitkan sisipan Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) bagi sekolah rendah dan menengah bersama sisipan e-LAB, Utusan Melayu Mingguan (Jawi) dan Estidotmy yang terkandung dalam Utusan Malaysia.

“Akhbar-akhbar berkenaan boleh dijadikan bahan rujukan oleh murid dan pelajar di sekolah-sekolah dengan cara kreatif dan menarik yang tidak membosankan,” katanya selepas mengumumkan penajaan akhbar Utusan Malaysia dan sisipan ADaP oleh Lembaga Pelabuhan Johor di sini hari ini.

Majlis penyerahan tajaan berjumlah RM6,480 itu akan diadakan di pejabat Lembaga Pelabuhan Johor, Pasir Gudang pada Rabu ini.

Mohd. Asri berkata, sektor swasta di negeri ini yang berminat akan diberi pelbagai tawaran menarik termasuk potongan harga sebanyak 20 peratus.

Katanya, sisipan ADaP untuk sekolah rendah akan diterbitkan pada setiap Selasa manakala ADaP bagi sekolah menengah diterbitkan setiap Rabu.

Menurutnya, kesemua sisipan berkenaan akan membantu murid dan pelajar membuat persediaan menghadapi peperiksaan utama seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, sisipan Utusan Melayu Mingguan iaitu akhbar Jawi dengan 16 muka surat pula diterbitkan pada setiap Isnin yang antara kandungannya ialah rencana berkisar mengenai isu-isu kebudayaan, pendidikan, program j-QAF dan perkembangan isu semasa.

Mohd. Asri berkata, pihak yang berminat untuk membuat penajaan atau ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi beliau di nombor 019-4491606 atau 07-3335738 atau faksimili 07-3347426.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Johor&pg=wj_05.htm

Gangsterisme: Polis KL kenal pasti ‘sekolah panas’

19/01/2010

KUALA LUMPUR 18 Jan. – Polis Kuala Lumpur sedang mengenal pasti ‘sekolah-sekolah panas’ di ibu negara untuk diberi tumpuan dalam usaha menangani masalah gangsterisme di kalangan pelajar yang semakin serius sejak kebelakangan ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, antara lain, usaha itu adalah bagi melengkapkan pengetahuan pelajar mengenai keseriusan jenayah serta impaknya kepada masyarakat.

Beliau berkata, pihaknya kini dalam proses mengenal pasti sekolah-sekolah bermasalah itu dan menjangkakan ia dapat direalisasikan tidak lama lagi.

“Daripada pemantauan, kita dapati kebanyakan sekolah bermasalah adalah terdiri dari sekolah-sekolah menengah. Bagaimanapun, ini tidak bermakna sekolah rendah tidak terlibat dalam masalah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan watikah pelantikan pengawas kepada 89 pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) di sini hari ini.

Pelaksanaan ‘sekolah panas’ tersebut, kata Muhammad Sabtu, menjadikan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur sebagai IPK yang pertama memperkenalkan program seumpama itu.

“Kita akan mengadakan lawatan dan taklimat di sekolah-sekolah yang dipilih itu. Ia adalah bagi mendekatkan pelajar-pelajar yang dikenal pasti bermasalah itu dengan polis,” jelasnya.

Ditanya mengenai perkembangan serangan sebuah kuil Sikh di Sentul, beliau berkata, polis mengklasifikasikan serangan itu sebagai masalah vandalisme dan tiada kaitan dengan isu gereja.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kota&pg=wk_05.htm