Bumbung SMK Taman Connaught runtuh akibat kecuaian

17/01/2010

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
pengarang@utusan.com.my

WEE Ka Siong melihat bumbung bangunan baru SMK Taman Connaught, Kuala Lumpur yang runtuh, semalam.


KUALA LUMPUR 16 Jan. – Bumbung sebuah bangunan baru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Connaught, Cheras yang sedang dalam pembinaan runtuh ketika kerja-kerja memasang atap genting dilakukan semalam.

Kejadian kira-kira pukul 4 petang itu berlaku akibat kecuaian pekerja binaan yang meletakkan timbunan atap genting di satu kawasan sahaja.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong ketika meninjau bangunan itu hari ini berkata, akibat bebanan terlalu berat, besi kekuda sokongan di bahagian hadapan bangunan itu tidak dapat menampungnya lalu runtuh.

“Semalam kira-kira pukul 4 petang saya menerima panggilan telefon yang mengatakan bumbung bangunan sebuah sekolah di Cheras runtuh. Pada mulanya saya terkejut dan kemudiannya diberitahu bangunan itu masih dalam proses pembinaan.

“Bagaimanapun, ia tidak melibatkan sebarang kecederaan serius. Hanya tiga pekerja mengalami cedera ringan akibat jatuh bersama-sama runtuhan bumbung itu dan mereka menerima rawatan pesakit luar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau bangunan sekolah itu dekat sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Projek KUB Malaysia Bhd. (KUB), Datuk Azizan Jaafar. KUB merupakan kontraktor yang membina bangunan tersebut.

Ka Siong berkata, runtuhan bumbung itu bukan disebabkan pembinaan besi kekuda sokongan tidak kukuh atau tidak mengikut spesifikasi tetapi ia disebabkan kecuaian pekerja yang tidak berpengalaman.

“Akibat daripada kekangan ruang kerana diapit dua lagi bangunan sekolah, kren tidak dapat masuk ke bahagian yang dikehendaki. Genting bumbung diangkut melalui kren yang berada di hadapan bangunan dan pemindahan genting bumbung ke hujung bangunan dilakukan oleh pekerja sendiri.

“Disebabkan itu, pekerja binaan bertindak mengumpulkan terlebih dahulu atap genting itu di satu kawasan sahaja sehingga menyebabkan bebanan terlalu berat dan runtuh,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan kontraktor yang terlibat supaya menjadikan kejadian itu sebagai iktibar bagi memastikan aspek keselamatan dan peraturan ketika bekerja dipatuhi oleh para pekerja.

“Pihak kontraktor perlu mematuhi prosedur kerja berpandukan ketetapan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) mengenai tahap keselamatan di tempat kerja,” katanya.

Beliau juga mengarahkan pihak kontraktor memasang jaring keselamatan untuk membendung perkara yang tidak diingini berlaku.

Dalam pada itu Ka Siong berkata, projek bangunan sekolah tiga tingkat bernilai kira-kira RM4 juta itu bermula pada Mei tahun lalu dan dijangka siap pada Mac ini.

Menurutnya, pembinaan bangunan sekolah itu menggunakan kaedah sistem binaan industri (IBS) berikutan ia merupakan kaedah terbaik untuk mengatasi masalah pembinaan bangunan sekolah yang tidak siap mengikut jadual atau tergendala.

Katanya melalui kaedah IBS, pembinaan bangunan boleh disiapkan dalam tempoh yang singkat, menggunakan jumlah tenaga kerja yang minimum dan berkualiti kerana komponen yang dihasilkan seperti dinding dan rasuk adalah standard dan terkawal kerana dibina menggunakan acuan.

Sementara itu Azizan berkata, pihaknya akan mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku itu.

“Besi kekuda sokongan yang digunakan merupakan yang terbaik, tetapi ia runtuh akibat bebanan lapan tan metrik atap genting yang dihimpunkan di satu kawasan sahaja,” katanya.

Menurutnya, daripada 34 buah sekolah yang sudah dibina, ini kali pertama syarikat kontraktor itu mengalami kejadian bumbung runtuh.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kota&pg=wk_01.htm

RM1.8b urus operasi SJKC

17/01/2010

Oleh Jaafar Ahmad
pengarang@utusan.com.my

BATU PAHAT 16 Jan. – Kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM1.8 bilion bagi mengurus operasi dan membayar gaji guru sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di seluruh negara pada tahun 2008.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, perbelanjaan tersebut membuktikan kerajaan prihatin dan tidak mengabaikan prasarana serta infrastruktur pendidikan terutamanya sekolah jenis kebangsaan.

“Kerajaan tidak pernah menganaktirikan atau mendiskriminasi mana-mana sekolah jenis kebangsaan kerana kita tahu pendidikan adalah keperluan asas untuk setiap warganegara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis dialog bersama ibu bapa, penjaga serta pengurusan SJKC dan sekolah menengah jenis kebangsaan Cina (SMJKC) Dewan Undangan Negeri Penggaram di SKJC Cheng Siu di sini malam tadi.

Selain itu, pada tahun lalu kerajaan turut memperuntukkan RM50 juta menerusi pakej rangsangan ekonomi pertama kepada sekolah Cina serta mengekalkan jumlah tersebut pada pakej rangsangan ekonomi kedua.

Mengenai pembinaan sekolah, Mohd. Puad berkata, sebanyak enam sekolah Cina sedang didirikan di seluruh negara dan 13 sekolah lagi dalam proses untuk dipindahkan ke kawasan lain.

“Sekolah tersebut perlu dipindahkan kerana kekurangan murid dan setakat ini dua sekolah dalam proses dipindahkan,” katanya.

Menurutnya, proses pengambilan tanah kedua-dua sekolah terbabit dijangka selesai tidak lama lagi.

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya memindahkan sekolah berkenaan kerana ia memerlukan sokongan 100 peratus lembaga sekolah dan ibu bapa.

“Selain itu, kita perlu memastikan telah wujudnya segala kemudahan asas termasuk jalan raya menuju ke sekolah berkenaan,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat mengumumkan peruntukan sebanyak RM30,000 kepada SJKC Cheng Siu selaku penganjur majlis itu bagi mewujudkan kelas pintar.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_04.htm

RM7.3 juta bina Tabika di Kedah

17/01/2010

JERLUN 16 Jan. – Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM7.3 juta tahun ini untuk membina dan membaik pulih Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bagi mempertingkatkan lagi mutu pembelajaran prasekolah di negeri ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, langkah membina kemudahan baru termasuk tambahan kelas adalah perlu bagi menampung jumlah murid tabika Kemas yang meningkat pada tahun ini.

“Jumlah murid yang memasuki tabika Kemas di seluruh negeri Kedah tahun ini meningkat kepada 18,000 orang berbanding tahun lalu yang hanya seramai 17,000,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Perjumpaan Waris Tabika Kemas dan Kaunter Khidmat Rakyat Bersama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Kodiang, di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir, Ketua Pengarah Kemas, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda), Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah.

Pada perkembangan berasingan Shafie berkata, penubuhan kumpulan sasaran oleh kerajaan di peringkat daerah dapat membantu menyelesaikan masalah rakyat dengan lebih berkesan kerana ia melibatkan kepimpinan masyarakat di semua peringkat.

Katanya, penubuhan kumpulan ini bakal melibatkan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pimpinan di kawasan tersebut supaya ia menepati sasaran.

“Mungkin sebelum ini kita terlepas pandang golongan-golongan yang betul-betul memerlukan bantuan, jadi wujudnya kumpulan ini akan dapat membantu mengatasi masalah tersebut,” kata beliau.

Kata Shafie, selain membina kemudahan seperti rumah untuk golongan memerlukan, kementeriannya juga akan memastikan keperluan infrastruktur seperti pembinaan jalan berturap di luar bandar terus dilaksanakan untuk keselesaan rakyat.

“Kerajaan sentiasa memberi perhatian supaya kawasan-kawasan yang belum mendapat kemudahan itu tidak akan terasing.

”Justeru tumpuan sekarang melibatkan beberapa kawasan di Pahang, Terengganu dan Kelantan termasuk sebahagian lagi di Kedah,” kata beliau.

Shafie yang dalam rangka lawatan dua hari ke negeri ini turut bermalam di rumah penduduk Kampung Pering di sini malam tadi bersama-sama pegawai-pegawai kanan kementeriannya dan pemimpin UMNO Kedah.

Beliau turut terlibat dalam program penyerahan kunci dua buah rumah yang dibaik pulih selain sebuah lagi rumah yang baru dibina di Kampung Kodiang Lama Dalam di bawah Program Bantuan Rumah (PBR).

Dua buah rumah tersebut dibaik pulih dengan perbelanjaan RM11,000 setiap satu manakala sebuah rumah baru dibina dengan kos RM33,000.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_03.htm

RM20j bina semula SK Sri Perak

17/01/2010

KUALA LUMPUR 16 Jan. – Kerajaan hari ini mengumumkan peruntukan RM20 juta bagi membangunkan semula Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Perak di tapak baru seluas 0.8 hektar di Bandar Baru Sentul.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pembinaan semula sekolah tersebut penting bagi memberi kemudahan kepada penduduk sekitar.

Ini kerana kata beliau, tapak asal sekolah itu yang menggunakan tingkat bawah Pangsapuri Sri Perak tidak selamat dan sesuai bagi proses pengajaran dan pembelajaran.

“Saya dimaklumkan sering berlaku kecurian di sekolah ini disebabkan lokasinya yang tidak sesuai dan kini hanya tinggal 100 murid yang masih meneruskan persekolahan.

“Di tapak baru nanti ia akan memudahkan penduduk. Mereka tidak perlu lagi menghantar anak ke sekolah yang jauh,” katanya semasa berucap sempena Majlis Mesra Rakyat di Bandar Baru Sentul di sini hari ini.

Pengumuman itu dibuat selepas beliau terlebih dahulu melawat persekitaran sekolah tersebut yang dibina pada 1989.

Sekolah yang mempunyai 18 bilik darjah itu dibuka bagi mengatasi masalah kekurangan sekolah rendah ketika itu disebabkan pembinaan banyak pangsapuri di Bandar Baru Sentul tetapi peredaran masa menyebabkan ia tidak lagi sesuai.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berharap apabila bangunan baru itu siap dalam masa dua tahun lagi, murid-murid yang sebelum ini meninggalkan sekolah itu akan kembali bersekolah di situ.

Tambah Muhyiddin, bangunan baru yang bakal menempatkan 30 bilik darjah itu akan dibina secara tender terbuka.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_02.htm

Ministries to match supply of teachers to country’s need

17/ 01/2010

By FARIK ZOLKEPLI

JOHOR BARU: The Higher Education and Education ministries are working together to come up with the best system to produce teachers to meet the demands of schools.

Higher Education Minister Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin said the public institutions of higher learning (IPTA) which offer teaching degrees would only take students based on the number of teachers needed by the Education Ministry.

“The mechanism is being perfected to ensure that all aspiring teachers have jobs when they graduate.

“The selection of students for IPTA is based on the demand for teachers in schools,” he said, adding that the Education Ministry would supply such information each year.

He said currently there was a certain overlap between the two ministries, resulting in some graduates finding it hard to get placements.

Mohamed Khaled was speaking to newsmen after the ground-breaking ceremony of Universiti Teknologi Malaysia’s Technological Centre here yesterday.

At present, he said that the IPTA was responsible for producing degree-holder teachers for secondary schools while the Teachers’ Training Institute was in charge of supplying teachers for primary schools.

Asked about two university students detained by police outside the ministry’s office in Putrajaya on Friday during a presentation of a memorandum, Mohamed Khaled said that those wanting to present a memorandum must do so according to the law.

“However, I know it is a form of publicity as public universities are having their student council elections.

“They could have submitted the memorandum any time of the year but they chose such a date because of the election,” he said.

http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2010/1/17/nation/5490968&sec=nation