Jadikan perpustakaan destinasi percutian ilmu

04/06/2010

SEREMBAN 3 Jun – Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan (PPANS) mengajak orang ramai mengunjungi perpustakaan bagi memanfaatkan cuti persekolahan yang akan bermula minggu depan.

Timbalan Pengarahnya, Jamilah Katis berkata, selain menambah ilmu pengetahuan, ia juga mampu merangsang budaya membaca di kalangan kanak-kanak, pelajar dan golongan dewasa.

Katanya, justeru perlu ada kesedaran di kalangan ibu bapa supaya menghantar anak mereka membaca buku di perpustakaan yang terdapat di seluruh negeri ini.

”Kita memperhebatkan kempen membaca di perpustakaan awam seluruh negeri bermula 4 hingga 19 Jun ini, sempena musim cuti persekolahan.

”Banyak koleksi buku yang boleh dibaca oleh golongan kanak-kanak, remaja dan dewasa apabila mereka mengunjung perpustakaan, sama ada yang bercorak kajian dan penyelidikan, sehingga kepada bacaan santai seperti novel dan fiksyen,” katanya di sini hari ini.

Menurut Jamilah, pihak PPANS juga sedang menyusun pelbagai aktiviti sampingan supaya menjadikan musim cuti persekolahan kali ini lebih menarik.

”Kita mahu pelajar dan remaja menjadikan perpustakaan sebagai ‘rumah kedua’ mereka dan pada masa yang sama membiasakan diri untuk berada dalam persekitaran ilmu,” ujarnya.

Apa yang lebih penting ialah, peranan ibu bapa supaya mereka boleh menghantar anak masing-masing ke perpustakaan atau bersama-sama membaca buku di sini.

”Kami berharap musim cuti ini bukan sahaja dijadikan waktu berehat bersama keluarga, tetapi juga boleh menukar konsep percutian daripada mengunjungi tempat menarik kepada ‘percutian dalam perpustakaan’,” jelas Jamilah.

Selain itu, katanya, PPANS juga menyediakan kemudahan Internet kepada pengunjung secara percuma dan mereka boleh juga mendapatkan bantuan petugas pada bila-bila masa.

”Bagi orang ramai yang berhasrat untuk menjadi ahli baru PPANS, mereka juga boleh mengisi borang dan diterima dengan segera,” katanya.

Beliau juga menambah, perkhidmatan perpustakaan ini bukan sahaja tertumpu di kawasan bandar tetapi turut memasuki pekan kecil dan desa.

”Gunakanlah sebaik mungkin kemudahan yang ada dan marilah kita bersama-sama menjayakan kempen membaca, yang berupaya menambah ilmu di dada,” katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0604&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_08.htm