Tiga kursus baru di SMV, SMT

21/06/2010

KUALA LUMPUR 20 Jun – Kementerian Pelajaran akan memperkenalkan tiga kursus baru bagi menarik minat pelajar memilih untuk memasuki pembelajaran di Sekolah Menengah Vokasional (SMV) dan Sekolah Menengah Teknik (SMT).

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, tiga kursus tersebut ialah penyelenggaraan pesawat, marin dan kursus berkaitan ekuin (kuda).

Menurutnya, pengenalan kepada tiga kursus baru terbabit adalah selaras dengan usaha kementerian untuk memastikan sasaran peningkatan penyertaan pelajar yang mengikuti pendidikan vokasional, teknik dan kemahiran (Voctech) sebanyak 10 peratus kepada 20 peratus menjelang 2015 tercapai.

‘‘Kursus ini dijangka dapat membantu memenuhi keperluan tenaga mahir dan separa mahir dalam industri berkaitan.

‘‘Kita berharap agar pembelajaran kursus berkenaan akan dapat dilaksanakan seawal tahun depan,” katanya ketika ditemui UtusanMalaysia selepas merasmikan Mesyuarat Rancangan Transformasi Pendidikan Voctech-BPTV, di sini malam ini.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0621&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_06.htm

Juara pantun Negeri Sembilan

21/06/2010

PASUKAN SMK Dato’ Undang Musa Al-Haj gembira dapat mengekalkan kejuaraan untuk kali keenam berturut-turut Pesta Pantun Sekolah-Sekolah Menengah Negeri Sembilan di Rembau, baru-baru ini.


REMBAU 20 Jun – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Undang Musa Al-Haj, Kuala Klawang sekali lagi muncul juara Pesta Pantun Sekolah-sekolah Menengah Negeri Sembilan yang diadakan di SMK Dato’ Undang Abdullah, di sini baru-baru ini.

Dalam pertandingan akhir, pemantun sekolah iaitu Nor Habibah Samad, Nur Shahirah Mohd. Fauzi, Ajeerah Russlan, Siti Zubaidah Taharudin dan Hasrul Hanif Hamdan berjaya mengetepikan cabaran musuh tradisi iaitu SMK Batu Kikir Model Khas yang mewakili daerah Jempol.

Pemantun sekolah itu ialah Nor Habibah Samad, Nur Shahirah Mohd. Fauzi, Ajeerah Russlan, Siti Zubaidah Taharudin dan Hasrul Hanif Hamdan.

Mereka yang tampil dengan busana yang lebih menyerlah telah mempamerkan persembahan yang menarik di samping mampu menjawab pantun pasukan lawan dengan tepat dan bernas.

Justeru, kemenangan pasukan itu memang telah dijangkakan oleh para penonton yang membanjiri dewan berdasarkan pantun yang dijual beli jauh lebih berkualiti berbanding pasukan lawan.

Kejayaan tersebut merupakan kali keenam berturut-turut semenjak tahun 2005.

Selain itu, Ajeerah Russlan telah dinobatkan sebagai pemantun terbaik dalam pertandingan akhir.

Sekolah-sekolah lain yang turut mewakili daerah masing-masing ialah SMK Juasseh, SMK Jelai (Felda), SMK Bukit Saujana, SMK King George V, SMK Agama Pedas dan SM Sains Seremban.

SMK Dato’ Undang Musa Al-Haj akan mewakili Negeri Sembilan ke Pesta Pantun Kebangsaan yang dijangka diadakan di Kedah.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0621&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_05.htm

Lawatan budaya dari Singapura

21/06/2010

PELAJAR dan guru dari Bedok Green Primary School bersama beberapa guru SK Chenderah semasa lawatan ke sekolah itu di Jasin, Melaka, baru-baru ini.


JASIN 20 Jun – Sekolah Kebangsaan (SK) Chenderah buat pertama kalinya menerima kunjungan dari Bedok Green Primary School, Singapura bagi mengeratkan hubungan antara pelajar dan guru kedua-dua buah negara.

Tujuan utama program lawatan ini bertujuan memperkenalkan kebudayaan Melayu kepada guru dan pelajar Bedok Green Primary School melalui konsep “Pembelajaran Kebudayaan melalui Pelancongan”.

Ketibaan rombongan dari Singapura disambut meriah oleh para pelajar dan guru-guru sekolah itu di sini baru-baru ini.

Mereka disajikan dengan persembahan pelajar bermula dengan ‘choral speaking’ bertemakan 1Malaysia diikuti dengan deklamasi sajak oleh pelajar tahun lima dan diakhiri dengan persembahan dikir barat.

Rombongan kemudian dibawa melawat kelas dan kawasan persekitaran sekolah bagi mengadakan aktiviti interaksi antara para pelajar dari kedua-dua sekolah.

Peserta program juga turut berpeluang mengikuti pembelajaran sains bertajuk Tenaga yang diajar oleh guru Sains sekolah, Cikgu Zainal Abidin Haris.

Para peserta program kemudiannya dibawa ke makmal komputer sekolah dan dipertontonkan dengan persembahan slaid powerpoint berkaitan sekolah oleh Cikgu Helmy Mustafa.

Sesi soal jawab antara peserta program dan pihak sekolah juga dilaksanakan dengan jayanya.

Peserta program disajikan dengan makanan Melayu tradisional pada sesi makan tengah hari.

Guru Besar SK Chenderah, Asnah Manab berkata, beliau amat berpuas hati dengan penglibatan semua pihak yang menjayakan program yang julung kali diadakan di sekolah itu.

“Secara keseluruhannya, program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan telah memberikan pengalaman baru kepada para peserta melalui pendedahan mengenai kebudayaan Melayu,” katanya baru-baru ini.

Sementara itu, ketua rombongan Bedok Green Primary School berkata, sambutan yang diberikan oleh pihak SK Chenderah adalah di luar jangkaan.

“Program seperti ini wajar diketengahkan kerana banyak memberi manfaat kepada guru dan pelajar,” ujarnya.

HELMY MUSTAFA

SK Chenderah Jasin, Melaka

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0621&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_04.htm

Anchorman Workwear pakaian seragam bermutu

21/06/2010

KUALA LUMPUR 20 Jun – Anchorman Workwear Sdn. Bhd. bukan sahaja pengilang dan pembekal pakaian kokurikulum sekolah malah menyediakan peluang perniagaan kepada pengedar yang layak.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zahariah Md. Radzi (gambar) berkata, syarikat itu menyediakan peluang perniagaan sebagai pengedar di seluruh negara kepada individu yang berminat bagi memperluaskan jenama dan memperbesarkan sayap syarikat pada masa hadapan.

Menurut beliau, pembukaan cawangan baru pula akan membuka peluang pekerjaan khususnya kepada tukang jahit untuk mempertingkatkan produktiviti keluaran syarikat yang semakin mendapat sambutan itu.

“Kami dalam usaha untuk membuka beberapa cawangan lagi di Pahang, Perak, Kelantan dan Melaka,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Hal ini, ujarnya, akan memudahkan orang ramai untuk mendapatkannya produknya yang menggunakan jenama Co-Q dan Anchorman.

Ketika ini, kilang pembuatan dan ibu pejabatnya terletak di Besut, Terengganu dan cawangan di Jerteh, Besut, Kuala Terengganu dan Kuala Lumpur. Produk keluarannya ialah pakaian seragam kokurikulum sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.

Selain itu, ia turut membekalkan aksesori pakaian seragam seperti lencana, beret/topi, kain anduh, skaf dan tali pinggang untuk badan beruniform seperti Pengakap, Kadet Remaja Sekolah (KRS), Tunas KRS, Kadet Polis, Kadet Bomba, Kadet Pertahanan Awam, St. John Ambulans, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Tunas Puteri, Puteri Islam dan Pandu Puteri.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0621&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_03.htm

SK Puteri Pandan Satu anjur karnival

21/06/2010

KUALA LUMPUR 20 Jun – Sekolah Kebangsaan (SK) Puteri Pandan Satu akan menganjurkan Karnival Jubli Emas 2010 pada 3 Julai ini sempena sambutan 50 tahun usia sekolah itu pada tahun lalu.

Karnival anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) akan diadakan di pekarangan sekolah bermula jam 8 pagi hingga 4 petang.

Guru Penolong Kanan Kokurikulumnya, Sa’diah Ismail berkata, matlamat penganjuran karnival itu adalah bagi memupuk semangat kerjasama, hormat menghormati dan toleransi di kalangan pentadbir, guru-guru, kakitangan, ibu bapa dan murid-murid.

“Objektif karnival pula adalah untuk menambah dana PIBG bagi membiayai pelbagai aktiviti peningkatan kecemerlangan pelajar dalam hal ehwal murid, kurikulum dan kokurikulum,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Karnival yang bertemakan 1Malaysia itu akan dirasmikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pendidikan Titiwangsa, Datuk Johari Ghani.

Menurut Sa’diah lagi, karnival itu juga diharap dapat membantu meningkatkan fungsi dan kualiti prasarana sekolah secara berterusan untuk kemudahan, keselesaan dan keceriaan sekolah serta warganya.

“Selain itu, ia juga diharap dapat menanam semangat keusahawanan di kalangan warga sekolah melalui aktiviti jualan selain menggalakkan penyertaan serta sokongan pelbagai pihak dalam aktiviti yang dianjurkan,” jelasnya yang juga penyelaras karnival.

Beliau memberitahu, antara aktiviti menarik yang akan diadakan pada karnival itu termasuklah menunggang kuda, mini go-kart, rumah hantu, jualan jumble, pertandingan karaoke dan pemeriksaan kesihatan percuma oleh Jabatan Kesihatan.

“Gerai-gerai jualan makanan dan minuman, aktiviti permainan kanak-kanak serta cabutan bertuah juga akan diadakan semasa karnival itu,” katanya.

Tambahnya lagi, orang ramai diharap datang memeriahkan karnival dan sama-sama menyertai aktiviti-aktiviti yang disediakan pada hari itu.

Karnival ini bukan hanya tertumpu kepada ibu bapa pelajar.

Ia juga terbuka kepada orang ramai dari seluruh ibu kota untuk sama-sama memeriahkannya kerana terdapat pelbagai aktiviti menarik yang telah disusun.

“Pihak sekolah juga mengharapkan agar ada pihak korporat yang sudi memberikan sumbangan serta tajaan bagi memeriahkan lagi penganjuran karnival itu,” ujarnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0621&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_02.htm