Samseng rekrut pelajar

30/07/2010

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

KUALA LUMPUR: Polis mengenal pasti tujuh lelaki anggota kumpulan kongsi gelap berusia 25 hingga 30 tahun yang bergiat aktif sejak awal tahun lalu merekrut pelajar sekolah untuk menjadi ahli kumpulan mereka di sekitar Ampang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata kumpulan itu hanya menyasarkan pelajar sekolah menengah untuk menjadi ahli kumpulan kerana ia lebih mudah terpengaruh.

Katanya, tiga pelajar Tingkatan Tiga dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tasik Permai, Ampang dibelasah teruk hanya kerana enggan menjadi ahli mereka adalah mangsa terbaru.

//

“Setakat ini, beberapa kes sudah dilaporkan di sekitar Ampang dan berdasarkan setiap keterangan yang diberikan mangsa, suspek terbabit adalah kumpulan sama.

“Taktik digunakan mereka adalah menahan pelajar lelaki ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah dengan menawarkan mereka menjadi ahli mereka dan menjanjikan bayaran lumayan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam kejadian 22 Julai lalu, mangsa, C J Han, T C Fook dan N W Hao masing-masing berusia 15 tahun cedera di kepala, badan dan tangan apabila dipukul sekumpulan lelaki menggunakan kayu dan rotan selama 30 minit sehingga pengsan.

Katanya, polis sedang mengenal pasti identiti kumpulan suspek itu dan meminta orang ramai supaya tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.
“Polis yakin, masih ramai pelajar di luar sana menjadi mangsa kumpulan samseng berkenaan, namun takut untuk tampil membuat laporan polis berikutan bimbang keselamatan mereka terancam.

“Mereka sepatutnya memaklumkan kepada polis sekiranya didatangi dan diugut kumpulan itu,” katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Samsengrekrutpelajar/Article

Pelajar pintar SPM masih dapat bantuan

30/07/2010

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyalurkan bantuan kepada pelajar yang memperoleh keputusan kurang daripada 9A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu, yang berasal daripada golongan kurang mampu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata beliau yakin pelajar serba kekurangan dari segi peluang sosioekonomi mampu memperoleh keputusan cemerlang jika mereka diberi sokongan sepenuhnya.

“Sebagai contoh, pelajar hidup dalam persekitaran serba kekurangan mungkin tidak dapat memperoleh keputusan 9A+, tetapi masih mampu mencapai keputusan cemerlang, di sebalik kekurangan itu.

//

“Keputusan baik pelajar berkenaan menyebabkan mereka berhak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” kata Perdana Menteri dalam blog beliau http://www.1malaysia.com.

Sebelum ini, Najib mengumumkan semua pelajar cemerlang yang mendapat keputusan 9A+ dalam SPM tahun lalu ditawarkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mengikuti pengajian ijazah pertama di dalam dan di luar negara, tanpa mengira kaum.

Katanya, keputusan itu membuktikan kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan mendengar suara rakyat dan ia adalah satu usaha kerajaan untuk melaksanakan transformasi selaras dengan gagasan 1Malaysia.

“Pelbagai inisiatif lain sedang dirumus, sedang ditelitinya secara peribadi, yang akan memberikan lebih banyak peluang kepada generasi muda Malaysia untuk mencapai matlamat dan impian mereka,” katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PelajarpintarSPMmasihdapatbantuan/Article

Isu tanah tapak sekolah lebih kecil tak benar: MB

29/07/2010

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menafikan dakwaan bahawa keluasan kawasan bangunan baru Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Tamil) Sungai Salak, Lukut dekat Port Dickson, adalah lebih kecil berbanding dijanjikan kepada pengurusan sekolah itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata tindakan kerajaan membina bangunan baru berharga RM3.4 juta di kawasan seluas 1.21 hektar itu membuktikan janji yang dibuat ketika pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang tahun lalu, ditunaikan tanpa sebarang alasan tidak munasabah.

Dulu, sekolah itu hanya berstatus bantuan modal dan berada dalam keadaan daif serta kurang murid. Namun, kini kita membina bangunan baru lengkap dengan pusat sumber dan pejabat. Selain itu, status sekolah itu ditukar kepada sekolah bantuan penuh kerajaan, katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini, semalam.
Isu itu dikatakan timbul apabila segelintir ibu bapa murid sekolah berkenaan mendakwa kerajaan negeri tidak menepati janji ketika pilihan raya kecil itu untuk mendirikan sekolah di atas tanah seluas 2.42 hektar.

Mohamad berkata, dakwaan itu berniat jahat serta mahu mengelirukan ibu bapa dan penduduk di kawasan itu supaya membenci kerajaan.

Menjelaskan perkara itu, beliau berkata, kerajaan tidak pernah berjanji mengenai keluasan tanah terbabit dan isu itu berpunca akibat kesilapan teknikal dalam surat yang dihantar kepada pengurusan sekolah sebelum ini.
Pegawai di Kementerian Pelajaran tersilap menulis keluasan tanah, iaitu seluas 2.42 hektar. Namun, ia sudah diperbetulkan dalam surat seterusnya.
Oleh itu, perkara ini tidak sepatutnya timbul dan kita minta ibu bapa serta penduduk kawasan itu tidak diperdayakan pihak tertentu kerana kerajaan mengambil berat terhadap setiap masalah rakyat, katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Isutanahtapaksekolahlebihkeciltakbenar_MB/Article

21 kes pelajar hamil sejak 2006

29/07/2010

KUALA LUMPUR: Sebanyak 21 kes pelajar dikesan mengandung dan bersalin anak luar nikah sejak 2006 hingga sekarang, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, siasatan kementerian menunjukkan bahawa 20 kes yang berlaku adalah berdasarkan suka sama suka antara pasangan manakala satu kes membabitkan kes rogol.

Ketika menjawab soalan Senator Datuk Azian Osman, beliau berkata 12 kes berlaku di sekolah luar bandar manakala sembilan di bandar.Sebagai usaha untuk menyelesaikan masalah sosial membabitkan pelajar sekolah, kementerian menerusi perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling menganjurkan program penerangan mengenai seksualiti, perhubungan antara lelaki dan perempuan serta adab dan tatacara bagaimana untuk bergaul dengan kawan-kawan, katanya.

Beliau berkata kebanyakan kes berlaku kerana naluri kedewasaan yang ingin mencuba selain mendapat kebebasan keterlaluan daripada keluarga.

Selain usaha pihak sekolah, kementerian juga menasihati ibu bapa atau penjaga agar lebih bersikap prihatin dan mengambil tahu perhubungan anak mereka dengan memantau perubahan tingkah laku harian mereka.

Katanya, kementerian dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) merancang dan melaksanakan beberapa program mendidik pelajar lelaki dan perempuan mengenai seks dan seterusnya mereka diminta berikrar secara bertulis agar menjaga kehormatan diri sehingga ke alam perkahwinan. BERNAMA

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/21kespelajarhamilsejak2006/Article

Pensyarah turut mohon berpolitik

29/07/2010

Oleh Syuhada Choo Abdullah

KUALA LUMPUR: Majlis Persatuan Pegawai Akademik Malaysia (MAAC) meminta kerajaan memperluaskan kebenaran untuk bertanding, dilantik dan memegang jawatan dalam parti politik, kepada kira-kira 20,000 pegawai akademik di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara.
Presidennya, Prof Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal, berkata pegawai akademik. di IPTA amat wajar diberikan hak sama rata seperti yang bakal dinikmati guru Gred DG41 hingga DG48, berikutan pensyarah sering dilihat sebagai idola kepada pelajar universiti yang sudah layak untuk mengundi dalam pilihan raya. Tambahan pula, katanya, rata-rata pensyarah menepati kriteria kepemimpinan yang digariskan belia, antaranya memiliki ilmu pengetahuan dan berkelulusan tinggi, selain mempunyai sahsiah baik.
Ketika ini, pegawai akademik di IPTA tidak dibenarkan untuk bergiat aktif dengan memegang sebarang jawatan dalam parti politik tetapi secara asasnya, boleh dikatakan ramai yang berminat.

Malah, sudah terbukti ramai wakil rakyat, termasuk dalam Jemaah Menteri, adalah bekas pensyarah. Ini menunjukkan pensyarah adalah role model di universiti dan pada masa sama, mampu menjadi pemimpin pelapis yang berkualiti dalam arena politik negara.

Pensyarah bukan saja berilmu pengetahuan tinggi tetapi juga memiliki banyak maklumat awal kerana terbabit dalam pelbagai penyelidikan penting melalui pusat kecemerlangan di universiti, katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Akhbar semalam melaporkan selepas 17 tahun dilarang aktif dalam politik, pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah Gred DG41 hingga DG48, dibenarkan semula bertanding, dilantik atau memegang sebarang jawatan dalam parti politik, berkuatkuasa 1 Ogos ini. Keputusan itu diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, kelmarin, membabitkan 140,000 guru.

Noor Aziah mengalu-alukan keputusan kerajaan membenarkan pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah Gred DG41 hingga DG48, bertanding, dilantik atau memegang sebarang jawatan dalam parti politik, berkuatkuasa 1 Ogos ini dengan menyifatkannya sebagai permulaan kepada perkembangan berpolitik yang semakin terbuka di negara ini, lebih-lebih lagi guru memang mempunyai kedudukan yang istimewa dan dihormati masyarakat sejak dulu.

Sementara itu, Ahli Majlis Eksekutif MAAC yang juga Presiden Persatuan Pegawai Akademik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof Madya Dr Raja Roslan Raja Abd Rahman, berkata pensyarah berupaya menjadi ahli politik yang berjaya kerana mempunyai hubungan langsung yang rapat dengan masyarakat peringkat akar umbi.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pensyarahturutmohonberpolitik/Article