Pelajar dibekalkan vest keselamatan elak tragedi

05/06/2010

Mohd. Rusdi Ismail, menyarungkan vest keselamatan kepada pelajar Sekolah Kebangsaan Dato’ Shah Bandar Abu Bakar Labu Hilir dekat Rasah, baru-baru ini.


RASAH 4 Jun – Pelajar Sekolah Kebangsaan Dato’ Shah Bandar Abu Bakar Labu Hilir, Labu dekat sini menjadi perintis dalam projek keselamatan jalan raya bagi pemakaian vest, berikutan laluan di sekolah itu berisiko tinggi.

Pemakaian vest disumbangkan oleh Persatuan Kuari Malaysia Cawangan Negeri Sembilan dengan kerjasama Lafarge Aggregates Sdn. Bhd. serta Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Negeri Sembilan.

Inisiatif ini merupakan antara usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya bagi pelajar sekolah berkenaan, lebih-lebih lagi ia menjadi laluan utama lori dan kenderaan besar.

Pengarah JKJR negeri, Mohd. Rusdi Ismail berkata, sebanyak 550 vest keselamatan diedarkan kepada pelajar di sekolah tersebut yang akan diakai setiap hari bagi mengelakkan tragedi.

“Kempen ini untuk pelajar sekolah rendah yang mana laluan ke sekolah itu berisiko tinggi.

“Kita mahu pelajar ini dapat dilihat pada jarak yang jauh, terutamanya pada waktu pagi dengan keadaan jalan yang gelap dan berkabus,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Rusdi juga berkata, projek keselamatan jalan raya ini juga mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri sebanyak RM100,000 bagi disalurkan kepada Kelab Keselamatan Jalan Raya di seluruh sekolah egeri ini bagi melaksanakan aktiviti berkaitan.

Katanya, setakat ini terdapat 60 kelab keselamatan jalan raya di negeri ini dan apa yang dilakukan pada hari ini, merupakan sebahagian dalam aktiviti dan kempennya.

“Oleh kerana kawasan di Labu ini mempunyai kuari dan laluannya pula dipenuhi kenderaan berat, maka kita anggap sekolah berhampiran sebagai berisiko tinggi.

“Maka, kami berikan perhatian khusus bersama Persatuan Kuari Malaysia Cawangan Negeri Sembilan dan Lafarge Aggregates Sdn. Bhd. untuk menjayakan program ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd. Rusdi mengingatkan pihak sekolah yang turut sama dalam kempen keselamatan ini, memastikan barangan yang diedarkan seperti vest ini diwajibkan memakainya setiap hari.

“Peranan pihak sekolah amat diperlukan demi keselamatan pelajar mereka,” katanya.

Mengenai pelajar sekolah menengah pula, pihak JKJR akan meneruskan kempen kesedaran pemakaian topi keledar dan lesen menunggang motosikal supaya keselamatan lebih terjamin apabila berada di atas jalan raya.

“Suka saya mengingatkan kepada pelajar agar mematuhi apa juga peraturan dan undang-undang jalan raya. Kelalaian kita boleh mengundang padah,” tegas Mohd. Rusdi.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0605&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_06.htm

Cubaan pecah masuk makmal sekolah gagal

05/06/2010

Mizan Md. Dom (lima dari kanan) menunjukkan sebahagian rangka motosikal curi di Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau, semalam.


REMBAU 4 Jun – Cubaan dua lelaki untuk memecah masuk makmal komputer di sebuah sekolah di Kota dekat sini tidak berhasil apabila mereka dicekup anggota polis kelmarin.

Kejadian pukul 6.30 pagi itu disedari anggota polis yang kebetulan membuat rondaan berhampiran sekolah berkenaan.

Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Mizan Md. Dom berkata, kedua-dua lelaki berusia 23 dan 27 tahun ditahan sewaktu cuba memasuki sekolah dengan menggunting pagar.

”Polis berjaya merampas peralatan yang digunakan dua lelaki tersebut yang datang ke negeri ini dengan menaiki kereta untuk melakukan jenayah pecah masuk itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau di sini hari ini.

Katanya, hasil siasatan awal polis, kedua-dua suspek didapati berada di bawah pengaruh dadah ketika ditahan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Mizan memberitahu, polis berjaya menyelesaikan dua kes penyamaran dan curi kenderaan.

“Kita telah menahan seorang lelaki yang menyamar sebagai jurujual gas, peralatan dapur dan menjadikan rumah yang terpencil di daerah ini sebagai sasaran.

“Suspek kemudian akan melakukan samun dan sehingga kini, kita kenal pasti tiga pemilik rumah telah menjadi mangsa,” katanya.

Menurut Mizan, suspek yang berusia 46 tahun itu ditahan pada pukul 12.20 tengah malam 8 Mei lalu dipercayai melakukan kegiatan samun sejak tahun lalu.

Dalam satu lagi kejayaan, katanya, polis menemui semula lima motosikal antaranya Honda EX5, Yamaha RXZ dan Yamaha 135cc dengan penangkapan empat remaja termasuk seorang yang mahir dalam bidang mekanik pada 28 Mei lalu.

”Kesemua suspek berusia antara 18 hingga 22 tahun ditahan kerana dipercayai terlibat dalam beberapa kes curi motosikal di daerah ini sejak awal tahun ini,” katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0605&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_05.htm

1,000 peserta sertai Larian Mesra OUM hari ini

05/06/2010

JOHOR BAHRU 4 Jun – Kira-kira 1,000 peserta dijangka menyertai Karnival Larian Mesra Universiti Terbuka Malaysia (OUM) kampus Johor esok.

Larian bermula pukul 7.30 pagi di kampus berkenaan yang terletak di Jalan Ibrahim Sultan, Johor Bahru di sini.

Pengerusi Persatuan penuntut OUM kampus Johor, Jani Ahmad berkata, karnival yang julung kali diadakan itu bertujuan memperkenalkan pelbagai aktiviti kokurikulum kepada penuntut baru.

“Selain memperkenalkan aktiviti kokurikulum, karnival itu juga bertujuan merapatkan lagi jalinan kemesraan antara para penuntut dan warga kerja institusi ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, kebanyakan penuntut OUM merupakan golongan yang telah bekerja dan mempunyai masa yang terhad untuk membabitkan diri dengan aktiviti seumpama itu.

Sehubungan itu, beliau berharap, penganjuran karnival itu menjadi platform untuk bergiat lebih aktif dalam aktiviti dan kegiatan yang diadakan.

Antara aktiviti yang diadakan adalah pertandingan karom, timbang bulu ayam bagi wanita, sepak raga ratus bagi lelaki serta jaring bola dalam jaring untuk lelaki dan wanita.

Selain itu, sukaneka untuk kanak-kanak, demonstrasi mencegah kebakaran, ceramah motivasi dan pameran pelbagai agensi kerajaan serta cabutan nombor bertuah turut diadakan untuk pengunjung.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0605&pub=Utusan_Malaysia&sec=Johor&pg=wj_07.htm

99 pelajar cemerlang terima hadiah

05/06/2010

Baderi Dasuki menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada salah seorang pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, baru-baru ini.


KOTA TINGGI 4 Jun – Seramai 99 pelajar cemerlang tingkatan satu hingga lima diraikan pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Kota Jaya ke-8, di sini kelmarin.

Mereka termasuklah 14 pelajar terbaik keseluruhan Penilaian Menengah Rendah (PMR), 10 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta tiga anugerah pelajar pendidikan khas.

Lebih 150 ibu bapa turut hadir pada majlis yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti, Datuk Baderi Dasuki.

Baderi dalam ucapannya menggalakkan guru dan ibu bapa berganding bahu membangunkan potensi pelajar dan anak-anak mereka secara menyeluruh, meliputi semua elemen seperti kecerdasan, akademik dan sahsiah.

“Ia bukan sahaja mampu belajar dengan cemerlang bahkan mempunyai sikap yang baik terhadap sosial, emosi dan intelek.

“Semoga dengan anugerah ini dapat meningkatkan lagi usaha dan motivasi untuk terus berjaya pada masa akan datang,” katanya.

Pada majlis tersebut beliau turut memberi sumbangan RM7,000 untuk membiayai aktiviti sekolah tersebut.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0605&pub=Utusan_Malaysia&sec=Johor&pg=wj_08.htm

Disiplin kronik: Penjelasan PIBG SMK Seri Garing

05/06/2010

RAWANG 4 Jun – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Garing di sini akhirnya tampil membetulkan kenyataan terhadap beberapa laporan yang dikeluarkan akhbar sebelum ini mengenai masalah disiplin sekolah itu.

Yang Dipertua (YDP) PIBG SMK Seri Garing, Chin Wan Cheong menjelaskan, gambaran yang diberikan oleh laporan akhbar sebelum ini bukan situasi sebenar berlaku khususnya dakwaan sekolah itu sebagai tempat pelajar nakal melakukan jenayah dan aktiviti tidak sihat.

Ekoran laporan itu, katanya, ia bukan sahaja telah menjejaskan nama baik dan prestasi sekolah tetapi memberi kesan negatif kepada ibu bapa dan pelajar.

Menurutnya, ada ibu bapa yang tidak lagi membenarkan anak masing-masing aktif dalam aktiviti kokurikulum kerana bimbang dan takut dengan persekitaran sekolah.

“Laporan ini bukan sahaja amat mengecewakan malah turut menyinggung perasaan hingga menjatuhkan moral para pelajar dan guru.

“Justeru kita mengadakan sidang akhbar bukan untuk menuding jari menyalah mana-mana pihak sebaliknya mahu sama-sama mencari penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar anjuran PIBG sekolah berkenaan dengan kerjasama Majlis Permuafakatan PIBG Rawang dekat sini hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Rawang, Mohamed Saufi Shafie, bekas YDP PIBG SMK Seri Garing, Sub-Inspektor V. Subramaniam dan beberapa exco PIBG sekolah itu.

Baru-baru ini, sebuah akhbar melaporkan sekolah itu menghadapi pelbagai masalah disiplin yang serius termasuk gangsterisme, peras ugut, cabul, kegiatan minum arak dan pengedaran dadah sehingga menimbulkan ketakutan di kalangan para pelajar dan masyarakat setempat.

Wan Cheong menambah, pihaknya berasa amat kesal dengan dakwaan kononnya sekolah berkenaan mempunyai masalah disiplin kronik.

Sedangkan, tegas beliau, sekolah berkenaan adalah antara sekolah yang berada pada kedudukan teratas dalam carta sekolah yang melakukan kesalahan disiplin minimum di daerah Gombak.

Bukan itu sahaja, jelasnya, laporan yang melabelkan sekolah tersebut sebagai ‘sekolah neraka’ juga amat mendukacitakan sedangkan ia sepatutnya menjadi sebuah institusi yang melahirkan pelajar yang bakal mewarisi negara.

Malah, tegasnya, sekolah tersebut juga telah melahirkan ramai warga yang berjaya antaranya Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan.

Sambil menolak dakwaan kononnya ada kes yang berlaku tetapi tidak dilaporkan demi menjaga reputasi sekolah itu, Wan Cheong memberitahu, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan pihak sekolah.

”Kita juga mengambil langkah proaktif dalam mengawal situasi disiplin sekolah termasuk melakukan lawatan pada setiap minggu selain menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa.

“Jadi tidak baiklah melabelkan kita seperti itu. Sekolah ini juga mempunyai pencapaian yang baik daripada segi penilaian dalam pengurusan, akademik dan sukan,” tambahnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0605&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kota&pg=wk_02.htm