800 guru dapat e-Book

01/06/2010

KUALA TERENGGANU 31 Mei – Sebanyak 800 guru sekolah rendah di seluruh negeri ini yang mengajar murid tahun enam menjadi kumpulan guru pertama menerima komputer riba atau e-Book.

Penyerahan e-Book kepada guru sekolah rendah berkenaan yang akan digunakan bagi membantu meningkatkan tahap pembelajaran calon-calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) itu disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dalam satu majlis di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini semalam.

Ahmad berkata, kira-kira 25,000 buah e-Book diagihkan kepada murid tahun lima pada tahun lepas yang mana mereka memasuki tahun enam pada tahun ini.

”Kita tidak mahu murid-murid menggunakan komputer manakala guru menggunakan buku.

”Dengan pengagihan e-Book ini akan membantu memantapkan keupayaan guru dalam mendidik murid-murid dalam mencapai kecemerlangan dalam UPSR nanti,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak RM1.28 juta telah diperuntukkan untuk menyediakan kira-kira 800 e-Book untuk kemudahan guru-guru berkenaan.

Kata beliau, pihaknya juga telah melatih guru-guru untuk menggunakan kaedah ‘secara talian’ untuk pantau murid-murid dalam sesuatu mata pelajaran dan juga peperiksaan.

”Sekarang ini, kita ada peperiksaan online dan setiap bulan akan ada latih tubi peperiksaan secara online,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sebanyak 50,000 buah lagi e-Book akan diagihkan kepada murid tahun empat dan lima tidak lama lagi.

”Saya menjangka pengagihan kira-kira 25,000 e-Book untuk murid tahun lima akan mula diedar bulan depan manakala untuk murid tahun empat pada Julai nanti,” jelasnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0601&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_06.htm

Mengenali Awang Tokoh Guru Malaysia 2010

01/06/2010

Awang Mohamad bergambar bersama dengan isterinya, Wan Shamsiah Yahya dan anak-anaknya selepas menerima Anugerah Tokoh Guru di Kuantan, baru-baru ini.


KOTA BHARU 31 Mei – Lebih 500 khidmat pesanan ringkas (SMS) dan puluhan panggilan telefon diterimanya pada hari itu untuk mengucapkan tahniah kepadanya setelah menerima anugerah sebagai salah seorang Tokoh Guru Malaysia 2010.

Ia sangat menyentuh perasaannya yang berbaur dengan kegembiraan dan keharuan, apatah lagi sebilangannya mengutuskan kata-kata, ”Saya berbangga menjadi anak didik cikgu.”

Bagi Awang Mohamad, 59, ia pengucapan yang sangat bermakna untuk ditatap dan didengar oleh seorang guru kerana ia sudah cukup sebagai penghargaan tidak ternilai daripada bekas murid-muridnya.

Menurut Awang, beliau tidak menyangka terpilih sebagai Tokoh Guru dan anugerah itu diterima dengan rasa bangga kerana menganggap perkhidmatannya dalam bidang pendidikan selama ini mendapat pengiktirafan.

Beliau berpendapat, penglibatannya dalam pelbagai aktiviti persatuan di peringkat kebangsaan kemungkinan menyebabkan beliau lebih menyerlah dan khidmatnya diikuti.

Justeru katanya, beliau percaya ia mungkin menjadi salah satu punca mengapa giliran beliau pula kali ini dipilih sebagai salah seorang Tokoh Guru Malaysia 2010.

Turut menerima anugerah itu ialah bekas Pengetua Maktab Perguruan Rajang Sarawak, Encharang Agas; bekas guru dari Pulau Pinang, Datuk Chuang Keng Kung dan bekas Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, Kuala Terengganu, Ainun Jamilah Mohd. Ali.

Mereka menerima wang tunai RM10,000, pingat, trofi dan sijil penghargaan daripada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena sambutan Hari Guru ke-39 Peringkat Kebangsaan baru-baru ini.

Awang aktif memperjuangkan nasib guru melalui penglibatannya sebagai Yang Dipertua Majlis Guru Besar Malaysia, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran dan Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Guru Lepasan Maktab.

Selama tiga tahun beliau memperjuangkan nasib guru dan guru besar yang tidak mempunyai ijazah untuk mendapatkan kelayakan itu dan di bawah Program Pensiswazahan Guru dan Guru Besar, kini 80 peratus guru berkenaan mendapat ijazah yang diperoleh melalui kursus hujung minggu.

Beliau juga turut memperjuangkan kenaikan Gred Guru Besar Tertinggi yang satu masa dahulu hanya setakat DGA 34 tetapi kemudiannya meningkat kepada DGA 38.

Daripada perjuangannya juga, guru yang berkelayakan mendapatkan ‘Pemberian Wang Tunai Gantian Cuti Rehat (Golden Hand Shake)’ memperolehnya untuk tempoh empat bulan dan kemudiannya menjadi lima bulan.

Di sebalik kesibukannya berpersatuan, bekas guru besar itu tidak melepaskan tanggungjawab menerajui sekolah dan mendidik murid-murid di lima buah sekolah sepanjang perkhidmatannya.

”Saya mahu memberikan sebaik-baik perkhidmatan supaya kejayaan boleh dinikmati oleh mereka yang berkenaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Panji di sini semalam.

Walaupun terpaksa membahagi masa dalam persatuan katanya, beliau banyak dibantu oleh guru penolong kanan menjalankan tugas dan kerjasama yang tidak berbelah bahagi daripada guru-guru lain.

Menyingkap sejarah kerjayanya, sebaik sahaja mendapat Diploma Perguruan dari Sultan Idris Training College (SITC) Tanjung Malim, beliau mengajar di Sekolah Kebangsaan Hamzah, Machang pada 1974.

Beliau bertugas selama enam tahun sebagai guru Matematik dan semasa di sekolah itu, beliau memperkenalkan teknik pengajaran Matematik daripada seorang guru yang terkenal dengan nama Mr. Mahboh Mahyidin.

Dengan kemahiran yang ditimba, beliau kekal sebagai guru pakar Matematik sehingga ke akhir perkhidmatannya dan pernah dilantik sebagai Ketua Unit Matematik Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan.

Selama enam tahun beliau turut mendapat latihan di Pusat Perkembangan Matematik KBSR di Kementerian Pelajaran dan sepanjang tempoh itu juga beliau membimbing hampir 4,000 guru Matematik di Kelantan.

Awang menarik perhatian sikap yang tidak dapat dielakkannya sepanjang perkhidmatan ialah mahu setiap sekolah yang diterajuinya menonjol dalam apa jua bidang agar dapat dibanggakan oleh seluruh warga sekolah.

Selain mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan utama, beliau juga mengarahkan sekolah itu dicat semula apabila pemerhatiannya sebelum itu mendapati tiada seorang pun ibu bapa yang menoleh ke arah sekolah itu semasa melalui kawasan tersebut.

Setelah mendapat perhatian daripada ibu bapa, beliau mula memberi tumpuan kepada pengajaran bersama guru sehingga mencatatkan lonjakan kepada sekolah itu.

Beliau selepas itu berpindah ke SK Raja Bahar dan kemudian ke SK Islah, SK Kubang Kerian 3 pada 2001 sebelum bersara pada 2006.

Menurutnya, selepas memasuki alam persaraan, beliau masih sukar untuk mengikis sikap sebagai seorang guru yang membentuk keperibadiannya selama ini.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0601&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_04.htm

282 pelajar cemerlang diraikan

01/06/2010

Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (tengah) beramah mesra dengan pelajar yang menerima Anugerah Kecemerlangan Yayasan Wilayah Persekutuan dan Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan di Cheras, baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 31 Mei – Seramai 282 orang pelajar terpilih dari keluarga berpendapatan rendah seluruh ibu negara menerima anugerah kecemerlangan daripada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan.

Anugerah berupa insentif wang tunai dan cenderahati itu disampaikan sendiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Dalam ucapannya, Raja Nong Chik berkata, penganjuran majlis seumpamanya itu diharap akan memberi galakan dan motivasi kepada semua pelajar untuk mencapai keputusan yang lebih cemerlang pada masa hadapan.

Katanya, pelajar yang cemerlang itu harus menyifatkan kejayaan mereka sebagai amat bermakna kerana diperoleh dalam persekitaran sosiobudaya yang amat mencabar pada zaman ini.

“Saya katakan mencabar kerana anak-anak kita hari ini terdedah kepada pelbagai tekanan seperti keruntuhan moral, elemen negatif dari internet dan juga pujuk rayu rakan-rakan yang berniat jahat.

“Kejayaan pelajar-pelajar ini juga sebenarnya mencerminkan kejayaan ibu bapa sendiri dalam membimbing anak-anak mereka melalui pelbagai cabaran dengan dibantu pula warga sekolah terutama para guru,” ujarnya.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Pengarah Eksekutif YWP, Datuk Idris Mohd. Isa dan Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Rizalman Mokhtar.

Raja Nong Chik menambah, pelajar dari kaum India dan Cina yang turut menerima anugerah pada majlis berkenaan memberi gambaran yang anugerah itu selari dengan semangat 1Malaysia.

Pada majlis berkenaan, para pelajar menerima insentif wang tunai dan cenderahati mengikut kategori masing-masing.

Bagi calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), setiap murid menerima sebanyak RM100, Penilaian Menengah Rendah (PMR) RM150, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) RM200, dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) RM250.

Sementara itu, seorang pelajar yang ditemui, Sim Chee Keong, 20, melahirkan rasa gembira kerana diberi pengiktirafan menerusi anugerah kecemerlangan itu.

Penerima hadiah kecemerlangan bagi kategori STPM itu mengakui insentif itu menyuntik semangatnya untuk berusaha dengan lebih gigih pada masa depan.

Bagi Fatin Wahidah Roslan, 16, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Petaling yang cemerlang dalam peperiksaan PMR tahun lalu pula menyifatkan pengiktirafan itu sebagai detik yang paling bermakna dalam hidupnya.

Anak ketiga daripada empat orang adik-beradik berjanji akan terus belajar bersungguh-sungguh demi memastikan cita-citanya bergelar seorang doktor tercapai satu hari nanti.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0601&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kota&pg=wk_02.htm

Subkhiddin idam perlawanan penting

01/06/2010

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Subkhiddin Mohd. Salleh mendapat penghormatan sebagai penerima pertama corak terbaru tali leher FAM serta cenderamata khas setelah beliau menjadi pengadil pertama Malaysia yang terpilih mengadili perlawanan Piala Dunia pada majlis khas di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.


PETALING JAYA – Pengadil Malaysia pertama yang akan mengadili perlawanan Piala Dunia, Subkhiddin Mohd. Salleh mengimpikan untuk mengadili perlawanan yang melibatkan pasukan gergasi bola sepak dunia di Afrika Selatan.

Namun, kata Subkhiddin, perlawanan mana yang akan dikendalikannya, terserah kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk menentukannya.

Subkhiddin, yang akan berlepas ke Afrika Selatan hari ini, mendedahkan dia tidak dibenarkan untuk menyatakan pasukan mana yang menjadi pilihannya.

”Sukar untuk saya menyatakan perlawanan mana yang akan saya adili di Afrika Selatan nanti

”Ia sulit, cuma FIFA yang akan membuat keputusan.

”Cuma saya menyimpan hasrat mengadili perlawanan penting di sana nanti,” katanya pada sidang media di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, semalam.

Tambah Subkhiddin, tugas pengadil Piala Dunia bukan sahaja mengadili perlawanan, tetapi melindungi pemain agar tidak mengalami kecederaan serius.

Menurut anak kelahiran, Butterworth Pulau Pinang itu, dia mempunyai tugas berat di Afrika Selatan, dengan fokus utama mengadili perlawanan sebaik mungkin.

Namun, dalam masa yang sama dia cuba untuk menjaga keselamatan pemain, terutama yang bertaraf bintang agar tidak terlibat dengan insiden kekasaran yang teruk.

“Sebahagian daripada tugas pengadil ialah memastikan pemain yang mempunyai kemahiran yang bagus, tidak dicederakan sewenang-wenangnya.

”Ia tidak bermakna saya hanya akan menumpukan perhatian kepada pemain bintang, pemain lain juga perlu mendapat pelindungan sewajarnya,” katanya

Jelasnya, kecederaan pemain bintang yang menjadi tunjang kepada sesebuah pasukan boleh merencatkan perancangan jurulatih.

Oleh itu, katanya mereka yang merupakan aset sukan bola sepak dunia, perlu dilindungi sebaik mungkin di sepanjang sebulan kejohanan itu.

Subkhiddin, 44, berharap tugasnya mengadili perlawanan Piala Dunia akan membuatkan lebih ramai pengadil di Malaysia terutamanya pengadil muda dan golongan remaja yang mahu menjadi pengadil, teruja dengan cita-cita mereka.

Jelasnya, mereka yang berminat harus sedar tentang kelebihan menjadi pengadil, kerana bukan mudah untuk dilakukan.

”Cuma, saya pasti akan berasa sedih apabila memasuki tahun terakhir tahun depan, kerana pada 2012 saya sudah bersara sebagai pengadil FIFA.

“Saya juga mungkin tidak menyambung tugas mengadili Liga Malaysia selepas bersara sebagai pengadil FIFA.

”Ini kerana saya mahu menghabiskan masa saya bersama keluarga dan kerjaya sebagai guru, selepas tidak dapat melakukannya dengan baik ketika menjadi pengadil,” katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0601&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm

Yuran pendidikan IPTA kekal

01/06/2010

KUALA LUMPUR 31 Mei – Kerajaan tidak mempunyai sebarang cadangan untuk mengurangkan subsidi yuran pendidikan di institusi pengajian tinggi (IPTA).

Selain itu Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan juga tidak pernah bercadang untuk menarik subsidi yuran pendidikan khususnya pemberian bantuan kepada pelajar yang sedang menuntut di universiti.

Beliau mengulas kenyataan Timbalannya, Datuk Saifuddin Abdullah berhubung perkara berkenaan yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan hari ini.

Antara lain Saifuddin berkata, kementerian itu berharap kerajaan tidak menarik subsidi pendidik khususnya pemberian bantuan kepada pelajar di universiti.

Sambil menyifatkan kenyataan itu kurang tepat, Mohamed Khaled berkata, ia juga boleh menimbulkan salah faham di kalangan rakyat dan menyebabkan orang ramai bimbang.

” Justeru, orang ramai dinasihatkan tidak keliru dan terus yakin bahawa kerajaan akan tetap memberi keutamaan kepada sektor pendidikan,” ujarnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0601&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kampus&pg=ka_01.htm