Terap budaya membaca untuk semua generasi

04/06/2010

Zaidi Johari menyampaikan hadiah kepada johan pertandingan melukis kulit buku, Noor Azlinda Adhamudin, 17, pada program merakyatkan budaya membaca peringkat daerah Rembau, baru-baru ini.


REMBAU 3 Jun – Budaya membaca perlu diterapkan terhadap diri setiap individu terutamanya di kalangan generasi muda ke arah melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan.

Timbalan Pentadbir Tanah Rembau, Zaidi Johari berkata, untuk itu, satu program merakyatkan budaya membaca peringkat daerah ini telah dianjurkan di Perpustakaan Awam Rembau di sini baru-baru ini.

‘‘Matlamat utama penganjuran program ini adalah untuk menerapkan budaya membaca di kalangan umum khususnya golongan muda.

‘‘Langkah ini penting demi memastikan amalan murni itu dapat ditingkatkan di kalangan masyarakat sekali gus melahirkan insan berinformasi dan berpengetahuan tinggi,” katanya selepas merasmikan Kempen Merakyatkan Budaya Membaca di Perpustakaan Cawangan Rembau di sini baru-baru ini.

Katanya, pelbagai aktiviti lain turut dijalankan sepanjang penganjuran program tersebut termasuk pertandingan bercerita, perbilangan Adat Perpatih, melukis kulit buku, uji minda berkeluarga dan ceramah ‘seronoknya membaca’.

‘‘Usaha ini sedikit sebanyak diyakini dapat mempertingkatkan tahap kemahiran peserta yang mengambil bahagian, selain memupuk insan yang berdaya saing,” jelasnya.

Menurutnya lagi, daerah ini merupakan sau-satunya lokasi yang menganjurkan pertandingan perbilangan adat perpatih ini.

‘‘Ia sangat menarik supaya generasi baru dapat mengetahuinya, manakala generasi lama mengekalkan lagi tahap ilmu pengetahuannya.

‘‘Di samping itu juga, ia dapat menggelakkan ia tenggelam ditelan zaman,” katanya.

Perpustakaan Cawangan Rembau ini kini mempunyai 7,500 ahli dan ahli baru yang mendaftar semasa program ini berlangsung seramai 200 orang.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0604&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_09.htm

Jadikan perpustakaan destinasi percutian ilmu

04/06/2010

SEREMBAN 3 Jun – Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan (PPANS) mengajak orang ramai mengunjungi perpustakaan bagi memanfaatkan cuti persekolahan yang akan bermula minggu depan.

Timbalan Pengarahnya, Jamilah Katis berkata, selain menambah ilmu pengetahuan, ia juga mampu merangsang budaya membaca di kalangan kanak-kanak, pelajar dan golongan dewasa.

Katanya, justeru perlu ada kesedaran di kalangan ibu bapa supaya menghantar anak mereka membaca buku di perpustakaan yang terdapat di seluruh negeri ini.

”Kita memperhebatkan kempen membaca di perpustakaan awam seluruh negeri bermula 4 hingga 19 Jun ini, sempena musim cuti persekolahan.

”Banyak koleksi buku yang boleh dibaca oleh golongan kanak-kanak, remaja dan dewasa apabila mereka mengunjung perpustakaan, sama ada yang bercorak kajian dan penyelidikan, sehingga kepada bacaan santai seperti novel dan fiksyen,” katanya di sini hari ini.

Menurut Jamilah, pihak PPANS juga sedang menyusun pelbagai aktiviti sampingan supaya menjadikan musim cuti persekolahan kali ini lebih menarik.

”Kita mahu pelajar dan remaja menjadikan perpustakaan sebagai ‘rumah kedua’ mereka dan pada masa yang sama membiasakan diri untuk berada dalam persekitaran ilmu,” ujarnya.

Apa yang lebih penting ialah, peranan ibu bapa supaya mereka boleh menghantar anak masing-masing ke perpustakaan atau bersama-sama membaca buku di sini.

”Kami berharap musim cuti ini bukan sahaja dijadikan waktu berehat bersama keluarga, tetapi juga boleh menukar konsep percutian daripada mengunjungi tempat menarik kepada ‘percutian dalam perpustakaan’,” jelas Jamilah.

Selain itu, katanya, PPANS juga menyediakan kemudahan Internet kepada pengunjung secara percuma dan mereka boleh juga mendapatkan bantuan petugas pada bila-bila masa.

”Bagi orang ramai yang berhasrat untuk menjadi ahli baru PPANS, mereka juga boleh mengisi borang dan diterima dengan segera,” katanya.

Beliau juga menambah, perkhidmatan perpustakaan ini bukan sahaja tertumpu di kawasan bandar tetapi turut memasuki pekan kecil dan desa.

”Gunakanlah sebaik mungkin kemudahan yang ada dan marilah kita bersama-sama menjayakan kempen membaca, yang berupaya menambah ilmu di dada,” katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0604&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_08.htm

Kualiti pendidikan dipertingkat jadikan Sabah maju 2015

04/06/2010

Musa Aman menyampaikan Anugerah Tokoh Guru 2010, kepada Normah Gagoh semasa Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sabah Ke-39, yang berlangsung di Dewan Perdana Lahad Datu, semalam.


LAHAD DATU 3 Jun – Kerajaan negeri akan memastikan kualiti pendidikan dan pembangunan modal insan dipertingkatkan sebagai persediaan menjadikan Sabah sebuah negeri maju menjelang tahun 2015.

Ketua Menteri, Datuk Musa Aman berkata, kesungguhan kerajaan dalam memperkasakan agenda pembangunan modal insan dapat dilihat dengan peningkatan peruntukan dalam bajet negeri.

“Sebagai contoh, dalam bajet negeri 2010, sejumlah RM248 juta diperuntukkan untuk membangunkan modal insan berbanding RM188 juta pada tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sabah di Dewan Perdana Lahad Datu di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun; Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur; Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan dan Pengarah Pelajaran Sabah, Dr. Muhiddin Yusin.

Pada majlis itu, Musa menyampaikan Anugerah Tokoh Guru 2010 kepada tiga bekas pendidik iaitu bekas Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Normah Gagoh; Datuk Amin Arif dan Datuk Rita Bagong Alias Jaafar.

Musa berkata, kerajaan komited untuk memastikan pemerkasaan modal insan terus diberikan keutamaan dalam agenda pembangunan negeri.

Katanya, ini penting bagi menjayakan budaya kecemerlangan ilmu yang menjadi teras kepada kejayaan sesebuah negara dan bangsa.

“Selain itu kebijaksanaan mendepani sebarang masalah serta membudaya dan menjadikan perintis kepada inovasi merupakan resipi penting dalam menjayakan budaya kecemerlangan ilmu itu,” ujarnya.

Sehubungan itu Musa mengajak seluruh warga pendidik supaya terus meningkatkan iltizam, komitmen serta kesungguhan dalam menggalas tanggungjawab melonjakkan kecemerlangan pendidikan khususnya masyarakat di luar bandar.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0604&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sabah_%26_Sarawak&pg=wb_06.htm

Guru perlu kuasai ciri pekerja berpengetahuan

04/06/2010

Sebahagian daripada 309 graduan yang menerima Diploma Perguruan pada Konvokesyen Ke-10 Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis di Dewan Warisan, Kangar, semalam. -utusan/Faizal Abu Hassan


KANGAR 3 Jun – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan golongan pendidik supaya menguasai ciri-ciri pekerja berpengetahuan sebelum menyampaikan ilmu kepada murid-murid sekolah.

Baginda menasihatkan penguasaan ciri-ciri itu adalah asas penting dalam penyampaian ilmu kepada waris masa depan.

“Saya mengesyorkan para graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis sentiasa rasional dan peka terhadap alam sekeliling dan dapat meneliti dahulu, memahami, menguasai dan mengamalkan ciri pekerja berpengetahuan,” titah baginda.

Baginda bertitah, perkara tersebut penting dalam melaksanakan tugas sebagai guru supaya aspirasi dan harapan kerajaan dapat dipenuhi.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, adalah penting setiap individu pendidik dapat mengimbangi keterampilan diri dengan ilmu psikologi dan unsur kerohanian dalam mentarbiahkan segala ilmu yang diberi kepada anak didik masing-masing.

“Ini bertujuan supaya kecemerlangan dalam kepimpinan pendidikan berlandaskan kegemilangan dapat dicapai dalam menerajui perubahan global untuk melahirkan insan cemerlang yang akan merealisasikan wawasan negara,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam ucapan perasmian Konvokesyen ke-10 IPG Kampus Perlis yang turut dihadiri oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil di Dewan Warisan di sini hari ini.

Antara ciri ‘k-workers’ yang ditekankan oleh baginda ialah guru perlu mempunyai mobiliti daya suai dan daya tahan yang tinggi, mempunyai kepelbagaian kemahiran dan berpengetahuan teknologi maklumat.

Selain itu, guru juga perlu mempunyai nilai kasih sayang, hormat menghormati, bertoleransi dan berhemah semasa berhadapan dengan murid-murid terutama yang bermasalah dalam pelajaran.

Baginda juga bertitah bahawa pendidikan adalah kuasa pengubah negara yang akan terus menerus menjadi pemangkin kemajuan negara yang dinamik untuk seluruh lapisan rakyat menghadapi cabaran dunia akan datang.

“Saya menyeru kepada semua graduan agar dapat melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan ini sebagai suatu ibadah yang dapat meningkatkan lagi sumbangan terhadap agama, bangsa dan negara bagi mengimbangi antara tuntutan dunia dan akhirat,” titah baginda.

Sementara itu, pada konvokesyen tersebut Farah Wahida Abu Bakar, 27, guru pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Genting, Pendang, Kedah, diumumkan sebagai penerima Anugerah Cemerlang Keseluruhan bagi Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) Kursus Dalam Cuti (KDC).

Sementara itu, Faridah Ramli, 43, guru di Tadika Perpaduan Mawar, Arau muncul penerima Anugerah Cemerlang Keseluruhan Kursus Diploma Perguruan Malaysia Secara Kursus Dalam Cuti (KDPM-KDC).

Anugerah Cemerlang Akademik bagi Kursus Perguruan Lepas Ijazah (SR) diberi kepada Sharifah Aishah Syed Jasin, 31, yang kini berkhidmat di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Alam Megah, Shah Alam sebagai guru pemulihan khas.

Khaironnajmi Haron, 26, pula menerima Anugerah Cemerlang Praktikum bagi Kursus Perguruan Lepas Ijazah (SR) dan kini berkhidmat di SK Pasir Gudang 1, Pasir Gudang, Johor.

Anugerah Cemerlang Kokurikulum pula diberi kepada Mohd. Shaiful Amiruddin Mohd. Safuan, 26, bagi Kursus Perguruan Lepas Ijazah (SR) yang kini berkhidmat sebagai guru mata pelajaran Matematik di SK Batu Tiga, Kluang, Johor.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0604&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_04.htm

Bantu pendidikan luar bandar

09/06/2010

Oleh HAMDEN RAMLI
pengarang@utusan.com.my


Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah bersama penduduk bergambar pada hari terakhir program Meningkatkan Pendidikan Dalam Komuniti (SUEC) di Kampung Salarom Taka, Nabawan, baru-baru ini. -utusan/ Hamden Ramli


NABAWAN 8 Jun – Dalam usaha meningkatkan taraf pendidikan di luar bandar, sekumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan program jelajah Meningkatkan Pendidikan Dalam Komuniti (SUEC) di Kampung Salarom Taka, kira-kira 40 kilometer dari sini, baru-baru ini.

Seramai 42 mahasiswa daripada program khas Pensiswazahan Guru Besar dan program asas Pendidikan Sains, Sains Sosial dan Ekonomi mengambil bahagian dalam program selama empat hari tiga malam itu.

Pengerusi SUEC, Dr. Khalid Johari berkata, 105 orang murid tahun enam daripada empat buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Salarom, SK Sepulut, SK Lotong dan SK Labang, manakala 60 pelajar sekolah menengah dari SMK Sepulut dan SMK Nabawan menyertai program berkenaan.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan di Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial UMS menambah, program berkenaan mempunyai empat matlamat iaitu menyediakan pusat sehenti pembelajaran maya dan meremajakan semula profesion guru.

”Selain itu ia juga bermatlamatkan untuk membantu sekolah menghasilkan persekitaran pembelajaran yang menarik, sihat dan lestari serta membantu pihak sekolah meningkatkan produk dan kualiti sekolah,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Menurut Khalid, di pihak mahasiswa pula mereka berpeluang memantapkan pengetahuan teori yang dipelajari di universiti melalui pengaplikasian ke dalam bentuk tindakan dan persekitaran pendidikan yang sebenar.

Katanya, sepanjang program tersebut, peserta diberi pendedahan terhadap senario sebenar iklim dan budaya sekolah di kawasan pedalaman.

”Ini membolehkan mereka melengkapkan serta memperkukuhkan jati diri dan sistem nilai dalam usaha meningkatkan profesionalisme khususnya kepada bakal guru yang akan berkhidmat di kawasan luar bandar,” ujarnya.

Beliau menambah, penganjuran program itu juga adalah sebahagian daripada kerja lapangan bagi kursus Pemasaran Pendidikan dan kursus Kreativiti dan Inovasi dalam pendidikan.

Khalid berkata, sepanjang empat hari dan tiga malam pelbagai aktiviti diadakan seperti taklimat berkaitan penubuhan Pusat Pembelajaran Sehenti, kaedah Membentuk Suasana Pembelajaran Lestari, Sihat dan Menarik; dan Pengurusan Bidang Peremajaan Staf.

Katanya, semua aktiviti itu disasarkan kepada guru-guru daripada SK Salarom, SK Sepulut, SK Lotong dan SK Labang.

Bagi murid tahun enam, katanya, aktiviti seperti Program Bahasa Melayu, Program Saya suka English dan Belajar Sains Dengan Cemerlang diadakan untuk manfaat mereka.

”Modul pengajaran aktiviti ini selaras dengan sukatan pelajaran tahun enam, sekali gus melatih mereka menjawab peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) melalui pendedahan contoh-contoh soalan.

”Taklimat Standard Kualiti Malaysia (SKPM) kepada guru-guru daripada sekolah terlibat juga diadakan dan disampaikan oleh Dr. Sabariah Sharif dan dipengerusikan oleh Johoya Baking,” katanya.

Khalid menjelaskan, SUEC bukan program pendidikan semata-mata tetapi memberi peluang mahasiswa bergaul dengan komuniti menerusi aktiviti seperti gotong-royong membersih kampung dan membaik pulih kerosakan pada sekolah.

Lebih menarik, katanya, aktiviti memasak yang diketuai Norhamidah Abdullah turut dibantu oleh kaum ibu serta beliawanis dari kampung berkenaan.

”Mereka (penduduk kampung) sangat mengalu-alukan kedatangan kami dan berbesar hati kerana mendapat layanan yang begitu istimewa daripada mereka.

”Sesungguhnya, pengalaman menjalankan program ini sangat berharga dan sukar dilupakan,’ katanya.

Khalid menambah, sempena program tersebut, pihaknya turut menyumbang buku kerja kepada empat buah sekolah terlibat bagi membantu pengajaran dan pembelajaran murid di sekolah berkenaan.

Sementara itu, Guru Besar SK Salarom, Anthony Amin berkata, sekolah tersebut bertuah kerana menjadi lokasi penganjuran program yang amat penting dan bermakna untuk kemajuan pendidikan masyarakat di situ.

”Kami amat berterima kasih kepada UMS khususnya Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosialnya kerana menganjurkan program tersebut,” katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0609&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sabah_%26_Sarawak&pg=wb_01.htm