SBA ganti UPSR, PMR

2010/06/29

KEMENTERIAN Pelajaran merujuk tulisan Abu Qassim Nor Azmi, Naib Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia dalam ruangan ini 24 Jun lalu bertajuk sistem penilaian baru perlu ganti UPSR, PMR.

Kementerian bercadang memperkenalkan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SBA) bagi menggantikan UPSR dan PMR. Pelaksanaan SBA akan diseragamkan menerusi Lembaga Peperiksaan yang menentukan soalan (disediakan guru) dan membolehkan sekolah menilai pencapaian pelajar. Sistem ini sudah diteliti dan didapati bersesuaian kerana ia juga berjaya di banyak negara.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SBAgantiUPSR_PMR/Article

Calon KPLI hamil terkilan rayuan tak dilayan

29/06/2010

TERDAHULU saya mengucapkan tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sejak menjawat Menteri Pelajaran tidak henti-henti membuat perubahan hebat demi meningkatkan imej kementerian dan pendidikan negara ini.

Melihat angin perubahan yang dicanang pucuk pimpinan kementerian itu, saya turut bersemangat untuk menyertainya Bagaimanapun, ia tidak menjadi kenyataan apabila saya terpaksa membuat penangguhan atas alasan yang tidak boleh dielakkan. Disember 2008 saat paling gembira buat saya selepas menerima tawaran Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) ambilan Januari 2009 di Institut Perguruan Kent, Tuaran, Sabah.

Namun, saya terpaksa menangguhkan tawaran itu kerana disahkan hamil oleh pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Luyang, Kota Kinabalu, Sabah.

Saya bertekad membuat rayuan untuk kemasukan tahun berikutnya.
Sejak itu saya tidak putus berhubung melalui surat rasmi dengan Bahagian Pendidikan Guru (BPG) Putrajaya mengenai status rayuan yang dibuat dengan harapan ditempatkan di mana-mana Institut Pendidikan Guru untuk KPLI Januari 2010 dan Jun 2010.
Bagaimanapun, semua rayuan saya ibarat mencurah air ke daun keladi kerana sehingga kini belum menampakkan hasil malah masih tiada sebarang jawapan.

Sehubungan itu, timbul persoalan mengenai dakwaan kebanyakan pihak rayuan penangguhan kemasukan KPLI tidak dilayan kementerian walau atas alasan apa sekali pun termasuk hamil.

Jika dakwaan itu benar, kementerian harus lebih bertimbang rasa kerana tidak wajar malah menyalahi lunas agama jika calon KPLI yang hamil bertindak menggugurkan kandungan semata-mata kerana kerenah birokrasi seperti ini. Jika ada yang bertindak sedemikian, adakah ini calon guru yang dicari untuk membimbing anak bangsa?

Kementerian patut memberi pertimbangan terbaik kerana saya sudah melepasi semua halangan terutama peperiksaan MTEST yang begitu mencabar. Berapa ramai graduan yang mengambil peperiksaan itu gagal sehingga ada calon sudah lima mendudukinya.
Kementerian juga harus menyediakan data bank bagi menempatkan kes seperti ini yang sah layak dan hanya terus memanggil semula tanpa syarat untuk kemasukan seterusnya.

Kesannya, sudah tentu dapat menjimatkan masa dan wang rakyat di samping slogan 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan benar dipraktikkan.
Kini, saya masih menunggu dengan harapan menggunung daripada pihak Kementerian Pelajaran di bawah pimpinan Timbalan Perdana Menteri yang dihormati. Saya kini bersedia ditempatkan di mana-mana saja IPG di seluruh negara bagi KPLI ambilan Jun 2010.

MASRINA MOHD YUNOS,
Kota Kinabalu, Sabah

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/CalonKPLIhamilterkilanrayuantakdilayan/Article

Jawatankuasa kaji tugas guru

29/06/2010

KEMENTERIAN Pelajaran merujuk SMS DRAGONBALL:BHA14357 dalam rakan@bh 24 Mei lalu bertajuk pihak Kementerian Pelajaran turunlah ke sekolah dengan mengejut untuk melihat beban guru dan perangai pelajar. Bukan senang guru nak kawal.

Kementerian Pelajaran mengucapkan terima kasih atas maklumat itu dan amat prihatin isu beban guru. Kementerian juga mewujudkan jawatankuasa khas mengkaji tugas berlebihan guru di seluruh negara supaya usaha menjana modal insan pada peringkat sekolah tidak terjejas. Kementerian, khasnya Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) sering ke sekolah kerana tugas utamanya untuk memeriksa, melapor dan mengemukakan syor serta memberi strategi kepemimpinan kepada sekolah secara profesional.

Penaziran pula dilaksanakan secara pemeriksaan penuh, biasa, bertema, khas dan pemeriksaan tindak ikut serta pemeriksaan mengejut jika ada aduan.
Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah juga memantau perkembangan dan aktiviti sekolah secara rutin serta berterusan termasuk pemeriksaan mengejut.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Jawatankuasakajitugasguru/Article

UiTM ambil 5,000 pelajar miskin

Oleh Badrul Kamal Zakaria

29/06/2010
 

Tawaran ikuti pengajian pradiploma selama 6 bulan secara percuma

SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengambil kira-kira 5,000 pelajar daripada anak golongan miskin yang tidak mendapat keputusan cemerlang untuk mengikuti pengajian pradiploma.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata mereka yang dipilih ditempatkan di semua kampus UITM di seluruh negara dan akan mengikuti pengajian pada peringkat pradiploma selama enam bulan secara percuma.