Bapa kecewa anak dibuang asrama tanpa alasan

04/06/2010

SAYA merupakan bapa kepada seorang anak yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengkarak, Bera, Pahang.

Oleh kerana rumah saya jauh dari sekolah, anak saya terpaksa tinggal di asrama bagi memudahkan urusan pembelajarannya selain lebih menjimatkan kos berulang-alik dari rumah ke sekolah.

Bagaimanapun baru-baru ini saya terkejut apabila anak saya pulang ke rumah dengan membawa pakaian dan barangan dari asrama sedangkan ketika itu belum cuti penggal lagi.

Anak saya memaklumkan bahawa dia telah dibuang daripada asrama tanpa sebarang kesalahan.

Saya berasa amat tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan asrama SMK Mengkarak kerana mengarahkan anak saya mengisi borang keluar daripada asrama dengan tidak diberitahu kesalahan yang dilakukan.

Pihak pengurusan asrama SMK Mengkarak sepatutnya memaklumkan dan berbincang terlebih dahulu dengan ibu bapa atau penjaga jika berlaku sesuatu masalah berkaitan anak-anak mereka di sekolah.

Bukannya mengambil keputusan tanpa melakukan sebarang perbincangan. Jika benar anak saya melakukan kesalahan, berundinglah dengan saya terlebih dahulu.

Apa yang merisaukan saya ialah anak saya tinggal berjauhan dengan sekolah apatah lagi tahun ini dia akan menduduki peperiksaan.

Saya telah berusaha untuk berbincang dengan pihak asrama sekolah tetapi tidak berhasil, malah pihak asrama seolah-olah cuba melarikan diri daripada bertemu dengan saya.

Saya cuba beberapa kali menghubungi pihak asrama (warden) melalui telefon tetapi tidak berjawab.

Saya juga pergi ke rumah warden berkenaan untuk berbincang tetapi gagal.

Saya amat dukacita dengan sikap yang ditunjukkan oleh warden terbabit dan meminta pihak pengurusan sekolah atau pengetua menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku.

Saya tidak teragak-agak untuk melaporkan terus kepada Pejabat Pelajaran Daerah atau Jabatan Pelajaran negeri jika isu berkaitan anak saya tidak dapat diselesaikan.

PENJAGA KECEWA

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0604&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pahang&pg=wp_03.htm

1,300 murid sertai pertandingan mewarna Bank Rakyat

04/06/2010

SEBAHAGIAN murid yang menyertai pertandingan mewarna anjuran Bank Rakyat di SK Tunku Ismail, Sungai Petani, semalam. – utusan/ OPAT RATTANACHOT


SUNGAI PETANI 3 Jun – Seramai 1,300 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bakar Arang dan SK Tunku Ismail, di sini menyertai pertandingan Seronoknya Mewarna Nuri anjuran Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) cawangan Sungai Petani di SK Tunku Ismail baru-baru ini.

Penolong Pengurus Bank Rakyat Sungai Petani, Fatimah Abdul Rahman berkata, pertandingan mewarna yang dianjurkan buat pertama kali tahun ini itu juga diadakan sempena kempen menabung Bank Rakyat.

“Program ini mendapat sambutan cukup menggalakkan daripada murid. Pada masa sama, kita juga dapati bahawa kesedaran menabung di kalangan kanak-kanak sekolah meningkat.

“Ia berdasarkan jumlah akaun simpanan Nuri yang dicatatkan hari ini adalah berjumlah RM30,000,” katanya di sini.

Menurut Fatimah, pihaknya berharap dapat menjalankan pelbagai lagi projek menarik khususnya melibatkan penyertaan murid sekolah pada masa akan datang.

Sementara itu, pertandingan mewarna berkenaan dibahagikan kepada Kategori A (prasekolah hingga tahun dua), Kategori B (tahun tiga hingga empat) dan Kategori C (tahun lima hingga enam).

Pemenang tempat pertama bagi Kategori A ialah Mohd. Irfan Hakimi, 7; kedua, Dhia Qiestina Sofea Irmazi, 8, dan ketiga, Marini Zahirah Mohd.Shukri, 7.

Bagi Kategori B, tempat pertama dimenangi Siti Farah Hanisah, 9; kedua, Nur Adlin Sofiya, 9 dan ketiga, Raihan Khalijah Aminudin Baki, 10.

Sementara bagi Kategori C pula, tempat pertama dimenangi Siti Nabilah Rosli, 11; kedua, Nur Syafiza Md. Zaidi, 11 dan ketiga, Nur Farhana Norsaidin, 11.

Pemenang tempat pertama menerima hadiah baucar wang tunai berjumlah antara RM70 hingga RM150 sementara tempat-tempat lain mendapat hadiah tabung simpanan Bank Rakyat.

Hadir menyampaikan hadiah pertandingan tersebut ialah Pengurus Bank Rakyat Sungai Petani, Razzak Kamel Othman.

Dalam pada itu, Bank Rakyat turut menaja 600 naskhah akhbar Utusan Malaysia bersama sisipan Utusan Melayu Mingguan sempena pertandingan mewarna berkenaan.

Penajaan tersebut bertujuan meningkatkan lagi kesedaran menguasai tulisan jawi di kalangan murid sekolah.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0604&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_05.htm

Nordin Kardi bersara

04/06/2010

ALOR SETAR 3 Jun – Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Sri Dr. Nordin Kardi akan bersara 16 Jun ini setelah memegang jawatan itu selama lima tahun.

Ketika ditemui pemberita di sini hari ini, beliau berkata, nama penggantinya dijangka diumumkan sebelum 15 Jun ini.

“UUM telah menawarkan jawatan pensyarah tetapi saya belum membuat keputusan kerana akan menghabiskan cuti dahulu pada 14 Julai ini,” katanya.

Beliau dilantik ke jawatan itu pada Jun 2005. Tempoh perkhidmatannya yang tamat pada Jun tahun lepas dilanjutkan setahun sehingga 15 Jun ini.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan Malaysia terutama Menteri Pengajian Tinggi dan Perdana Menteri kerana memberi kepercayaan kepada saya mengetuai UUM selama tempoh itu,” katanya.

Nordin, 58, adalah pemegang ijazah bidang ekonomi dan psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ijazah Sarjana dari Western Michigan University, Amerika Syarikat serta Doktor Falsafah (PhD) dari University of Hull, England.

Antara jawatan yang pernah disandangnya ialah sebagai Ketua Pengarah Biro Tatanegara. – BERNAMA

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0604&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_28.htm

Shafie lepaskan jawatan pegawai tadbir demi jadi guru

04/06/2010

MOHD. Shafie Mohd. Khalid bersama ibunya, Habibah Yaakub (kiri) dan tunangnya, Nor Salina Abdul Rahman di IPTHO, Batu Pahat, semalam.


BATU PAHAT 3 Jun – Seorang pegawai tadbir, Mohd. Shafie Mohd. Khalid, 27, sanggup meletakkan jawatan semata-mata untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) bagi mengejar cita-cita menjadi seorang guru.

Bagaimanapun, pengorbanan yang dilakukan berbaloi apabila dia dipilih sebagai penerima Anugerah Cemerlang Keseluruhan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) pada Majlis Konvokesyen Ke-17 Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Hussein Onn (IPTHO), di sini hari ini.

Graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam bidang Geografi itu mengambil program Pengajian Sosial dalam KPLI, merupakan anak ke-13 daripada 16 adik-beradik yang dibesarkan oleh ibu tunggal, Habibah Yaakub, 65.

Menceritakan tentang rahsia kejayaannya, Mohd. Shafie berkata, selain menunaikan sembahyang hajat, dia akan menelefon ibunya setiap kali sebelum peperiksaan untuk meminta restu dan doa.

Menurutnya, ibu juga memberi restu ketika dia hendak berhenti kerja daripada jawatan pegawai tadbir di Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) pada awal tahun lalu untuk menyertai kerjaya guru.

“Kerjaya sebagai guru memang menjadi cita-cita saya dan walaupun agak berat pada mulanya untuk bertukar kerjaya, namun saya tidak pernah menyesal.

“Lagi pun, emak cakap masuk KPLI senang dapat jodoh dan syukur di sini juga saya bertemu dengan rakan yang kini menjadi tunang saya, masin mulut emak,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mohd. Shafie bertunang dengan bekas rakan sekuliah dalam program Pengajian Sosial, Nor Salina Abdul Rahman, 27.

Sementara itu, ibunya, Habibah yang merupakan peneroka di Felda Sayong, Kulaijaya, berkata, didikan agama dan doa menjadi rahsia kejayaannya membesarkan kesemua 16 cahaya matanya.

“Setelah suami meninggal dunia ketika Shafie dalam darjah tiga, tiada lagi tempat saya bergantung. Hanya Allah menjadi tempat mengadu dan meminta pertolongan,” katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0604&pub=Utusan_Malaysia&sec=Johor&pg=wj_05.htm

RM6.5j bantuan pelajar miskin

04/06/2010

Oleh SAHBULAH DARWI
utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 3 Jun – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) memperuntukkan bantuan kewangan sebanyak RM6.5 juta kepada pelajar miskin dan kurang berkemampuan untuk meningkatkan kecemerlangan akademik mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, bantuan tersebut disediakan melalui tujuh jenis skim untuk murid sekolah rendah, pelajar sekolah menengah dan mahasiswa institut pengajian tinggi di dalam dan luar negara.

“Objektif utama skim bantuan ini adalah untuk membantu mempertingkatkan taraf pendidikan masyarakat Islam ke tahap terbaik dengan memastikan golongan tersebut mendapat pendidikan sempurna,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya, di sini semalam.

Beliau berkata, skim tersebut ialah Bantuan Pakaian Sekolah, Bantuan Yuran Sekolah, Bantuan Basikal dan Cermin Mata, Bantuan Pendaftaran Institut Pengajian Tinggi (IPT), Bantuan Dermasiswa Pelajar Luar Negara, Bantuan Pinjaman Pendidikan Bidang Kritikal dan Bantuan Tambang Ke Pusat Pengajian.

Zainal memberitahu, kesemua bantuan berkenaan bagaimanapun tertakluk kepada syarat yang ditetapkan MAINJ.

Katanya, jumlah peruntukan sebanyak RM6.5 juta itu merupakan peningkatan berbanding RM4.38 juta pada 2009 dan RM4 juta pada 2008.

Daripada jumlah tersebut, tambahnya, bantuan pinjaman pendidikan pengajian kritikal adalah yang tertinggi berjumlah RM2.1 juta diikuti pembelian pakaian sekolah (RM2 juta); dermasiswa pengajian luar (RM1 juta); yuran IPT (RM600,000); yuran sekolah (RM300,000); pembelian basikal (RM250,000) dan tambang pelajar (RM250,000).

Beliau berkata, pelajar yang melanjutkan pengajian di peringkat sijil, diploma dan ijazah di IPT tempatan, diberikan bantuan antara RM300 hingga RM1,000 seorang.

Katanya, bantuan untuk pelajar universiti di Timur Tengah pula adalah sebanyak RM4,000 setahun bagi pelajar tahun tiga dan empat di bidang pengajian Islam dan tahfiz.

Menurutnya, bantuan pinjaman pendidikan secara tanpa faedah disediakan untuk pelajar jurusan perubatan jika memenuhi syarat mendapat keputusan 8A termasuk kesemua A dalam Bahasa Inggeris, Biologi, Kimia dan Fizik dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

“Mereka yang cemerlang ini diberikan bantuan pinjaman RM20,000 hingga RM30,000 setahun,” katanya.

Zainal Abidin berkata, setiap seorang pelajar yang layak juga diberikan bantuan tambang iaitu sebanyak RM1,200 bagi pelajar di universiti luar negara dan RM200 bagi pelajar IPT tempatan.

Tambahnya, bagi pelajar yang tidak mendapat 8A tetapi masih diterima menuntut di universiti luar negara, maka pelajar itu diberikan bantuan pinjaman separuh daripada yang ditawarkan kepada pelajar cemerlang.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0604&pub=Utusan_Malaysia&sec=Johor&pg=wj_03.htm