Beri laluan ‘bas kuning’

07/06/2010

Oleh WAHID HASHIM
pendidikan@utusan.com.my

MEMANFAATKAN cuti sekolah dengan aktiviti berfaedah memang amat digalakkan. Kebanyakan sekolah membawa murid atau pelajar masing-masing berombongan ke destinasi yang difikirkan sesuai dan menarik.

Ada yang jauh dan ada yang dekat. Maka, ada yang menyewa bas pelancong, bas awam dan bagi yang bajet ‘sekerat’, maka bas berwarna kuninglah yang akan disewa untuk berombongan.

Ketika cuti sekolahlah ibu bapa – dan sesiapa sahaja yang mengambil cuti tahun – akan memandu ke destinasi masing-masing. Ada yang pulang ke kampung, menuju ke pantai, taman tema, mendaki bukit atau gunung, berhibur di hutan belantara, melepak hutan batu atau sebagainya.

Jadi, kita boleh membayangkan suasana trafik jalan raya yang cukup sesak dengan pelbagai jenis kenderaan, pelbagai ragam pemandu, sudah tentu anak-anak kita yang berhati riang hendak bercuti bersama-sama rakan taulan dan guru pada cuti persekolahan ini.

Di sinilah terletaknya hati budi kita sebagai masyarakat yang prihatin tentang keselamatan kanak-kanak, kerana sedikit sebanyak nyawa mereka berada di tangan kita, pengguna jalan raya yang ‘berlesen’.

Kita perlulah menganggap kanak-kanak yang berada di dalam bas itu seperti anak kita sendiri.

Kita tahu bukan semua bas sekolah ini berada dalam keadaan yang baik untuk berada di lebuh raya. Sebahagiannya yang telah berusia antara 20 hingga 30 tahun tidak segagah kenderaan baru.

Kita pernah membaca bahawa Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) bersetuju untuk melanjutkan had usia kenderaan bas sekolah daripada 20 tahun kepada 30 tahun berkuatkuasa 1 Januari 2010.

Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (PPBSM), pernah memberi jaminan bahawa bas sekolah yang sudah berusia lebih 20 tahun masih boleh beroperasi dalam keadaan baik dan selamat.

Keyakinan itu diperkuatkan lagi dengan jaminan bahawa pihak persatuan sentiasa memastikan bahawa setiap bas yang beroperasi mendapat kelulusan daripada Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), atau diservis terlebih dahulu.

Kira-kira 35 peratus bas sekolah di negara ini terdiri daripada bas yang berusia lebih 30 tahun tetapi masih selamat digunakan.

Sekadar cadangan, syarikat bas ekspres Mara Liner boleh disaran menyediakan pengangkutan bas sekolah bagi memberikan perkhidmatan yang lebih selamat dan selesa kepada murid-murid.

Cadangan ini sebenarnya pernah dikemukakan Persatuan Kebajikan Pengguna Johor (JCWA), yang meyakini penglibatan syarikat itu dapat mengatasi masalah sesetengah pengangkutan bas sekolah yang boleh dipersoalkan tahap keselamatannya.

Walau apa pun janji serta cadangan pengusaha dan penguat kuasa ini, bertimbang rasalah kepada bas kuning ini sekiranya berselisih di lebuh raya pada cuti persekolahan ini.

Jangan menghimpit, jangan melakukan provokasi seperti menekan hon berkali-kali, menunjukkan isyarat lucah atau memaki hamun sama ada pemandu atau penumpangnya.

Mungkin anak saudara kita salah seorang daripada penumpangnya.

Kita mendengar jaminan demi jaminan daripada penguat kuasa dan pengusaha. Waima apa pun, sebagai pengguna jalan raya, kita perlu menghormati pengguna lain, khususnya jika ia melibatkan kanak-kanak sekolah. Jika berlaku tragedi, maka kitalah yang akan menanggung penyesalan sehingga ke akhir hayat.

Selamat bercuti. Pandu cermat, jiwa selamat.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0607&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm

Guru rehat 2 Sabtu tak jejas pelajar

07/06/2010

Oleh HAMDAN TAWADI
pengarang@utusan.com.my

BATU PAHAT 6 Jun – Langkah memberi ruang rehat kepada guru pada dua hari Sabtu dalam tempoh sebulan tidak akan menjejaskan aktiviti kelas tambahan dan kokurikulum pelajar.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, ini kerana perancangan jadual yang teliti membolehkan pelajar menjalani kedua-dua aktiviti itu dengan secukupnya tanpa perlu mengorbankan waktu rehat guru bersama keluarga masing-masing.

“Jika guru tidak dibebankan dengan kerja-kerja perkeranian, jadual juga dapat dipadatkan dan tidak perlu bekerja setiap Sabtu.

“Kajian juga sedang dijalankan bagi membolehkan kerja perkeranian ini dilakukan oleh penjawat awam lain,” katanya pada sidang akhbar di Sekolah Menengah Teknik Batu Pahat di sini hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom menyatakan pengetua dan guru besar wajib memberi ruang rehat kepada guru pada setiap dua hari Sabtu dalam tempoh sebulan untuk mengurangkan beban tugas mereka.

Alimuddin berkata, guru-guru tidak boleh dipaksa bertugas pada setiap Sabtu dengan aktiviti kokurikulum dan akademik.

Dalam pada itu, Ka Siong berkata, pihaknya sering menerima rungutan daripada guru yang menyatakan banyak waktu mereka terpaksa dihabiskan untuk kerja-kerja perkeranian.

Katanya, perkara itu perlu dipandang serius kerana masa tersebut lebih wajar dimanfaatkan untuk mendidik pelajar.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan, walaupun diberi amanah yang besar untuk mendidik anak bangsa, guru tetap manusia biasa yang memerlukan rehat dan waktu bersama keluarga.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0607&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_24.htm