Mahasiswa perlu fikir secara positif

23/04/2012

KUALA LUMPUR 23 April – Golongan mahasiswa diminta berfikiran positif terhadap isu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan tidak mudah terpengaruh dengan agenda sempit pihak pembangkang.

Pengerusi Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), Datuk Sohaimi Shahadan berkata, PTPTN sebenarnya memberi peluang kepada ramai remaja untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Menurutnya, wang PTPTN tidak hanya digunakan untuk kegunaan akademik, tetapi bagi menampung kos sara hidup seseorang pelajar dalam meringankan beban ibu bapa mereka.

“Mahasiswa perlu berfikir secara positif dan jangan membiarkan diri diperalat oleh pihak pembangkang yang sebenarnya berjuang bukan untuk kepentingan mereka (pelajar) tetapi untuk kepentingan parti pihak pembangkang.

“Golongan mahasiswa ini mudah diprovokasi sebab itu pembangkang menggunakan mereka sebagai alat untuk menentang kerajaan,” katanya pada sidang akhbar selepas perasmian menutup Karnival Keusahawanan, Kerjaya dan Inovasi KPTM, di sini semalam.

Turut hadir, Presiden KPTM, Datuk Yusof Harun.

Mengulas mengenai karnival itu, menurut Sohaimi, ia bertujuan untuk memberi lebih pendedahan kepada pelajar dalam bidang keusahawanan.

“Program seperti ini sebenarnya memberi pelajar pendedahan dua perkara iaitu perniagaan dan kemahiran berkomunikasi supaya tidak kekok apabila berada dalam bidang kerjaya mereka.

“Mahasiswa juga perlu lebih peka terhadap apa yang diumumkan kerajaan terutamanya melibatkan peluang perniagaan yang banyak disediakan,” jelasnya.

Menurut beliau, karnival tersebut akan menjelajah ke cawangan KPTM seluruh negara untuk memberi peluang kepada semua pelajarnya terlibat dalam aktiviti yang bermanfaat.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kota&pg=wk_03.htm