Senaman QiGong mampu cegah barah

21/04/21012
Oleh ADLINAHANI KHALIL
utusankota@utusan.com.my

SEBAHAGIAN daripada 1,500 peserta program Hari Kehidupan Sihat 2012 yang menyertai aktiviti senaman QiGong di halaman Dewan Besar UPM, Serdang, semalam.

KUALA LUMPUR 21 April – Senaman tradisional dari China yang dikenali sebagai ‘QiGong’ dikatakan mampu mencegah penyakit barah.

Menurut Pengarah Pusat Sumber dan Pendidikan Kanser (CaRe) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Mazanah Muhammad, senaman yang menggunakan teknik kawalan pernafasan itu dapat mengekalkan kesihatan pada tahap yang baik.

“Senaman ini kelihatan sama seperti ‘Tai Chi’ namun apa yang membezakannya adalah kawalan pernafasan dan menggunakan tenaga dalaman.

“Jika mempunyai pernafasan yang baik, badan juga turut berada dalam keadaan sihat, sekali gus mengurangkan risiko mendapat penyakit barah,” katanya kepada Mingguan Malaysiamengenai program Hari Kehidupan Sihat 2012 yang berlangsung di UPM di sini hari ini.

Program tersebut turut menyaksikan kira-kira 1,500 peserta terdiri daripada pelajar, kakitangan UPM, ahli Persatuan Guilin QiGong Malaysia, dan Persatuan Kanser Network Selangor dan Wilayah Persekutuan (KanWork) melakukan senaman QiGong untuk direkodkan dalam Malaysia Book of Record.

Mazanah berkata, program sehari yang bermula pukul 7.30 pagi hingga 10 malam itu dianjurkan untuk mengutip dana bagi pelaksanaan aktiviti pesakit kanser dan membudayakan amalan gaya hidup sihat.

“Program ini menyediakan pelbagai aktiviti seperti derma darah, ujian saringan kesihatan, pameran poster serta ceramah umum mengenai jenis-jenis barah, tanda-tanda awal dan cara pencegahan,” ujarnya.

Sementara itu, seorang bekas pesakit barah payu dara, Lai Sui Chin, 72, berkata, beliau mengamalkan senaman QiGong bagi mengekalkan tenaga dan tahap kesihatannya.

“Saya menjalani pembedahan buang payu dara pada usia 57 tahun dan lima bulan selepas itu, saya mula mengamalkan QiGong, ia mengembalikan tenaga dan membuat badan menjadi lebih sihat,” katanya.

Seorang lagi bekas pesakit barah payu dara, Sim Beng Tim, 65, berkata, beliau mengamalkan QiGong sebanyak lima kali seminggu selama satu hingga dua jam untuk mendapatkan kesegaran badan yang hilang akibat rawatan kimoterapi.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0422&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kota&pg=wk_01.htm

Mahasiswa perlu fikir secara positif

23/04/2012

KUALA LUMPUR 23 April – Golongan mahasiswa diminta berfikiran positif terhadap isu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan tidak mudah terpengaruh dengan agenda sempit pihak pembangkang.

Pengerusi Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), Datuk Sohaimi Shahadan berkata, PTPTN sebenarnya memberi peluang kepada ramai remaja untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Menurutnya, wang PTPTN tidak hanya digunakan untuk kegunaan akademik, tetapi bagi menampung kos sara hidup seseorang pelajar dalam meringankan beban ibu bapa mereka.

“Mahasiswa perlu berfikir secara positif dan jangan membiarkan diri diperalat oleh pihak pembangkang yang sebenarnya berjuang bukan untuk kepentingan mereka (pelajar) tetapi untuk kepentingan parti pihak pembangkang.

“Golongan mahasiswa ini mudah diprovokasi sebab itu pembangkang menggunakan mereka sebagai alat untuk menentang kerajaan,” katanya pada sidang akhbar selepas perasmian menutup Karnival Keusahawanan, Kerjaya dan Inovasi KPTM, di sini semalam.

Turut hadir, Presiden KPTM, Datuk Yusof Harun.

Mengulas mengenai karnival itu, menurut Sohaimi, ia bertujuan untuk memberi lebih pendedahan kepada pelajar dalam bidang keusahawanan.

“Program seperti ini sebenarnya memberi pelajar pendedahan dua perkara iaitu perniagaan dan kemahiran berkomunikasi supaya tidak kekok apabila berada dalam bidang kerjaya mereka.

“Mahasiswa juga perlu lebih peka terhadap apa yang diumumkan kerajaan terutamanya melibatkan peluang perniagaan yang banyak disediakan,” jelasnya.

Menurut beliau, karnival tersebut akan menjelajah ke cawangan KPTM seluruh negara untuk memberi peluang kepada semua pelajarnya terlibat dalam aktiviti yang bermanfaat.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kota&pg=wk_03.htm

Singapura berdepan masalah penurunan bilangan penduduk menjelang 2025

25/04/2012

SINGAPURA 25 April – Bilangan penduduk Singapura dijangka mula merosot menjelang 2025 sekiranya rakyat republik ini dibenarkan berhijrah dan kadar kelahiran masih kekal rendah.

Menurut laporan Divisyen Bakat dan Bilangan Penduduk Kebangsaan, kadar peratus kelahiran (FTR) Singapura berada di bawah paras 2.1 bayi per wanita dan jumlah itu perlu ditingkatkan lagi.

Masalah penurunan jumlah sekali gus bakal menjejaskan sumber tenaga kerja republik tersebut dalam tempoh 13 tahun akan datang. – AFP

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0425&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_07.htm