Soya galakkan pembesaran tumor

03/04/2012

CHICAGO 3 April – Pengambilan makanan atau minuman berasaskan kacang soya boleh menjejaskan rawatan kanser dan menggalakkan tumbesaran tumor di kalangan pesakit kanser payudara, menurut sekumpulan saintis.

Penyelidik dari Universiti Georgetown yang membentangkan kajian mereka dalam satu persidangan perubatan di sini semalam berkata, terdapat kemungkinan kaitan antara pengambilan kacang soya dan tindak balas ubat kanser payudara yang biasa diambil iaitu tamoxifen.

Menurut mereka, kajian yang dilakukan terhadap tikus makmal menunjukkan, tikus yang diberi makanan atau minuman berasaskan kacang soya dari kecil bertindak balas sempurna dengan tamoxifen.

Sebaliknya, tikus yang mula diberi makan bahan itu ketika dewasa dan selepas diserang kanser payudara, didapati kebal dengan rawatan yang diberikan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_04.htm

KYS tubuh makmal animasi

03/04/2012

Oleh SITTI NOR AZIZAH TALATA
utusansabah@utusan.com.my

 

KOTA KINABALU 3 April – Bagi memberi peluang kepada belia mengembangkan bakat dalam bidang seni, Kolej Yayasan Sabah (KYS) telah menubuh sebuah pusat pembikinan rekaan animasi dan perfileman yang akan beroperasi pada pertengahan tahun ini.

Pengerusi Eksekutif KYS, Dr. Dayang Aminah Ali berkata, ia dikenali sebagai Pusat Inkubator dan bakal memberi latihan intensif kepada pelajar KYS yang mengambil pengajian dalam program berkenaan.

“Kami berharap dapat melatih kira-kira 200 hingga 300 penuntut di pusat inkubator ini apabila ia beroperasi nanti,” katanya di sini baru-baru ini.

Dayang Aminah berkata, setakat ini pihaknya telah memilih 100 pelajar bagi mengikuti program animasi manakala 80 pelajar dalam program dokumentari.

Katanya, pemilihan pelajar itu dibuat bukan berdasarkan kelayakan akademik semata-mata sebaliknya bakat mereka dalam bidang yang ditawarkan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sabah_%26_Sarawak&pg=wb_01.htm

IASC tawar kursus kemahiran lepasan sekolah

03/04/2012

KUANTAN 3 April – Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang gagal melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) tidak perlu berputus asa kerana Pusat Kemahiran Tinggi IKIP (IASC) di sini menawarkan bidang pengajian dalam bidang kemahiran.

Menurut Penolong Pengurus Pemasaran IASC, Rosmawati Abdullah, institusi itu menyediakan pendidikan dalam bidang teknikal dan vokasional menerusi tujuh kursus kemahiran.

Katanya, kursus yang ditawarkan pada peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap satu hingga tiga dan Diploma Kemahiran Malaysia serta Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia ialah perhotelan, rekaan fesyen, automotif, perladangan, teknologi maklumat, elektrik dan kimpalan.

Tambahnya, syarat kemasukan ke IASC amat mudah iaitu terbuka kepada semua lepasan SPM dan warganegara Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pahang&pg=wp_03.htm

Jom Masuk U’ UiTM dapat sambutan

03/04/2012

LEPASAN sekolah membuat permohonan aplikasi sambil mendengar penerangan daripada pensyarah dan kakitangan UiTM Cawangan Pahang sempena Ekspo ‘Jom Masuk U’ di institusi itu di Jengka, baru-baru ini.

 

MARAN 3 April – Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang di sini menganjurkan Ekspo ‘Jom Masuk U’ selama dua hari baru-baru ini bagi membolehkan pelajar lepasan sekolah meninjau peluang pendidikan di institusi pengajian itu.

Rektornya, Prof. Madya Datuk Dr. Hilmi Ab. Samad berkata, ekspo berkenaan diadakan sebagai susulan daripada Karnival Pengajian Tinggi Negara yang diadakan mengikut zon-zon seluruh negara bermula Januari hingga Mac lalu.

Menurutnya, ia merupakan inisiatif pihaknya bagi memberi peluang kepada ibu bapa dan pelajar di luar bandar serta tanah rancangan Felda melihat program pengajian yang ditawarkan oleh universiti tersebut.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pahang&pg=wp_01.htm

10 pelajar berentap pada Brain Bee Championship

03/04/2012

Kesemua 10 pelajar dari Kelab Neurosains SMSTMFP yang akan menyertai pertandingan ‘Brain Bee Championship’ di Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian, baru-baru ini.

 

KOTA BHARU 3 April – Seramai 10 pelajar akan berentap pada pertandingan “International Brain Bee Championship 2012” peringkat kebangsaan yang akan berlangsung di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hujung bulan ini.

Pemenang akan mewakili negara ke ‘International Brain Bee Championship 2012’ yang akan diadakan di Cape Town, Afrika Selatan pada Julai depan.

Pelajar berkenaan ialah Ahmad Mustaqim Mohd., Haziqah Mohd. Hanapiah, Amar Ahmad Mokhtar, Lutfil Hadi Ahamad Nordin, Hazimi Ismail, Nurul Ain Che Din, Nor Hasnita Mohd. Shukri, Harif Hafizi Noh, Mohd. Afiq Sharif dan Nik Ahmad Danial yang kesemuanya berusia 17 tahun.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_02.htm