21 projek baru NKEA

28/05/2012

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR dan FAIRUS KASSIM
pengarang@utusan.com.my

NAJIB Tun Abdul Razak bersama sebahagian menteri Kabinet dan ketua wakil syarikat tempatan dan luar negara pada Majlis Pengumuman Pencapaian Program Transformasi Ekonomi di Akademi MAS di Kelana Jaya, semalam. – UTUSAN/MOHD AZIM ABD RAHMAN

PETALING JAYA 28 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan 21 projek baru di bawah tujuh Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang dijangka mampu melonjakkan Pendapatan Negara Kasar (GNI) sebanyak RM4.59 bilion menjelang 2020.

Menurut Perdana Menteri, kesemua projek melibatkan pelaburan RM20.46 bilion itu akan mewujudkan sebanyak 39,9218 peluang pekerjaan baru dalam tempoh tersebut selari dengan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Bagi NKEA Pertanian, katanya, ia melibatkan pelaburan bernilai RM456.69 juta dan RM367.58 juta GNI serta mewujudkan 2,539 peluang pekerjaan bagi menambah baik jaringan keselamatan makanan negara.

Katanya, NKEA Perkhidmatan Perniagaan pula menyaksikan pelaburan sebanyak RM2.4 bilion dan RM1.41 bilion GNI di samping mewujudkan 10,909 peluang pekerjaan dalam bidang pembuatan dan pembaikan kapal, kejuruteraan reka cipta, pusat maklumat serta pusat perkhidmatan global.

“Bagaimanapun, perjalanan yang masih jauh harus ditempuhi untuk kita nyatakan bahawa misi telah selesai dengan jayanya walaupun pelbagai usaha telah dijalankan oleh sektor swasta dan kerajaan dalam usaha mentransformasi negara,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap pada majlis pengumuman pencapaian ETP di sini hari ini.

Turut hadir, beberapa menteri kabinet, ketua serta wakil syarikat tempatan serta luar negara yang menjadi rakan kongsi pelaburan ETP negara.

Najib menambah, NKEA Pemborongan dan Peruncitan pula melibatkan pelaburan berjumlah RM466.8 juta yang menyumbang kepada RM1.1 bilion nilai GNI dan mencipta 16,363 peluang pekerjaan.

Menurut beliau, NKEA Penjagaan Kesihatan menyaksikan pelaburan RM107.14 juta dengan RM238.06 juta GNI dan menyediakan 3,735 peluang pekerjaan dalam tempoh lapan tahun akan datang.

Bagi NKEA Pendidikan, kata Perdana Menteri, ia melibatkan pelaburan RM535.58 juta dan menyumbang RM146.39 juta dalam GNI serta mewujudkan 660 peluang pekerjaan dalam tempoh itu.

Kata beliau, NKEA Elektrikal dan Elektronik pula menyaksikan pelaburan RM4 bilion dan 1,000 peluang pekerjaan dengan 400 daripadanya merupakan pekerjaan berkemahiran tinggi.

Menurut Najib, NKEA Greater KL pula melibatkan pelaburan RM12.5 bilion termasuk pembinaan Bandar Antarabangsa Sepang dengan RM1.34 bilion GNI dan menyediakan 4,712 peluang pekerjaan.

“Dengan keadaan ekonomi global yang masih tidak menentu, inilah masanya untuk kita mengorak langkah lebih pantas menuju destinasi impian dengan memberi fokus tidak berbelah bahagi terhadap enjin-enjin pertumbuhan ekonomi negara supaya kita dapat berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya.

http://www.utusan.com.my/info.asp?y=2012&dt=0529&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm

 

Terima kasih Kuala Kangsar

21/05/2012

Oleh WAHID HASHIM
pendidikan@utusan.com.my

Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan Kementerian Pelajaran, Rosnani Mohamed Ali menyerahkan cakera padat (CD) rakaman ceramah agama Festival Hari Guru kepada Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim di Kuala Kangsar, Perak, baru-baru ini.

FESTIVAL Hari Guru 2012 di padang Sekolah Menengah Clifford , Kuala Kangsar membuka mata kita tentang jenama Hari Guru yang begitu kuat dan meniti bibir masyarakat setempat – daripada pekerja am hotel, pengusaha gerai laksa Pak Yusuff, pemilik gerai sotong kangkung bersebelahan Arena Kuala Kangsar sehinggalah kepada mat motor dan peniaga batik di pekan kecil yang cantik molek itu.

Ada peniaga yang menambah jualan sepanjang tarikh festival kerana ramai orang luar bertandang ke Kuala Kangsar, tidak kira apa tujuan mereka sepanjang lima hari itu.

Bila tiba waktunya – 12 Mei hingga 16 Mei lalu – kita telah sama-sama menyaksikan di atas padang SMK Clifford, lautan warga Kuala Kangsar datang membawa keluarga.

Ada yang membawa tikar bersila di padang mendengar ceramah agama atau berhibur bersama artis jemputan.

Kepelbagaian jualan dan juadah mewarna-warnikan padang SMK Clifford, sekali gus menghidupkan pekan Kuala kangsar yang cukup bercahaya itu.

Sesungguhnya, hal ini bertepatan dengan tema Tahun Melawat Perak pada tahun 2012.

Sesungguhnya usaha penganjur untuk memasyarakatkan Hari Guru, menambah rezeki peniaga dan memperkasa jenama korporat telah berjaya di Kuala Kangsar.

Hujan pada sebelah malam, kadang kala renyai pada siang merupakan rahmat kerana sebelum ini cuaca dikatakan panas sepanjang minggu, menimbulkan kebimbangan akan mewujudkan suhu ketuhar di dalam khemah utama, selain ketidakselesaan di khemah Arabik di luar khemah pempamer yang menempatkan peniaga berkonsep gerai usahawan setempat.

Para usahawan sejauh Kelantan, Sungai Besar di Selangor berkampung di padang Kuala Kangsar untuk menjual produk masing-masing. Sudah tentulah adat berniaga ialah untung dan ruginya.

Bagi Kumpulan Utusan yang pada tahun ini menjadi penganjur buat kali keempat berturut-turut setelah mendapat mandat Kementerian Pelajaran Malaysia, cukup berasa bangga, dan dengan pengaruh yang ada, turut mengundang pihak korporat untuk bersama-sama meraikan guru.

Tidak mudah menganjurkan festival tahunan yang besar ini kerana ia melibatkan segenap lapisan peserta dengan 360 darjah keperluan tersendiri.

Berkat pengalaman empat penganjuran Festival Hari Guru sebelum ini, maka sebahagian besar dapat ditangani oleh sekretariat yang sentiasa bekerja keras.

Tahniah kepada penaja utama KPerak yang telah menunaikan tanggungjawab sosial mereka dengan ikhlas tanpa berbelah bahagi.

Sumbangan itu telah memeriahkan pelbagai akiviti sepanjang sambutan tersebut diadakan selain menggalakkan kreativiti pendidikan menerusi penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Selain gerai pameran dan jualan, festival dimeriahkan dengan kehadiran maskot Upin dan Ipin, persembahan kebudayaan oleh pelajar-pelajar Sekolah Seni Johor Bahru dan lukisan karikatur bersama pelukis akhbar Utusan Malaysia.

Malah, syarikat MBSB menyediakan pakej penghargaan kepada guru iaitu sebuah Toyota Prius bernilai RM130,000 serta pakej umrah bernilai RM30,000 di samping barangan berjenama Apple seperti iPhone 4S, iPad dan MacBook untuk dimenangi.

Penajaan turut diterima daripada MBSB, Celcom, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Bank Pembangunan dan Yayasan Guru Malaysia Berhad.

Murid sekolah dan pengunjung tertarik melihat hasil inovasi guru yang dipamerkan di Festival Hari Guru 2012 di Kuala Kangsar, baru-baru ini.

Antara syarikat yang turut sama memeriahkan festival kali ini termasuk Proton, Bank Simpanan Nasional, Sasbadi, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. dan Suruhanjaya Sekuriti.

Institusi pengajian tinggi turut tidak ketinggalan menyertai festival ini termasuk Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) dan Kolej Antarabangsa Kirkby Cyberjaya.

Kepada Kementerian Pelajaran Malaysia khususnya warga Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Perak, tahniah kepada semua sektor dan bahagian, khususnya beberapa orang kuatnya yang bekerja di belakang tabir, yang banyak memberi nasihat dan teguran bagi tujuan penambahbaikan.

Namun yang paling penting ialah warga Kuala Kangsar, khususnya pengetua SMK Clifford yang bersabar meminjamkan padang sekolah, anda memang pengetua terhebat!

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0521&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm

Remaja genius rungkai teori fizik sukar

27/05/2012

DRESDEN, Jerman 27 Mei – Seorang pelajar sekolah berusia 16 tahun berjaya merungkai pengiraan sukar yang dicipta oleh saintis terulung, Isaac Newton, setelah ia gagal diselesaikan pakar selama lebih 350 tahun.

Shouryya Ray (gambar), dari sebuah sekolah di sini, berjaya menemui dua teori asas dinamik partikel yang hanya boleh dihitung ahli fizik sebelum ini menggunakan komputer berkeupayaan tinggi.

Penyelesaiannya itu bermakna, para saintis kini boleh mengira arah laluan bola yang sedang dilempar dan meramal bagaimana ia akan menghentam dinding serta melantun kembali.

Remaja itu menyelesaikan masalah rumit berkenaan semasa dia menyertai lawatan sekolahnya ke Universiti Dresden apabila para profesor di situ mendakwa mereka berdepan jalan buntu.

“Saya bertanya kepada diri sendiri, mengapa tidak boleh. Saya percaya ia mesti ada penyelesaian,” katanya yang berasal dari Kolkata, India.

Pelajar pintar yang merendah diri itu dikatakan mula menyelesaikan soalan pengiraan sukar ketika berusia enam tahun, namun enggan mengaku dia seorang yang genius.

Ketika kecil, bapa Ray, seorang jurutera mula menguji kepintarannya dengan memberinya menyelesaikan masalah aritmetik.

“Masih terdapat banyak perkara yang saya tidak mampu lakukan. Contohnya bermain bola sepak dan aktif dalam sukan,” katanya.

Ray tiba di Jerman empat tahun lalu dan pelajar tersebut langsung tidak boleh berbahasa tempatan, namun kini dia sudah menguasainya.

Kebijaksanaannya terserlah dalam kelas dan dengan pencapaiannya itu, dia ‘melompat’ dua kelas berbanding yang sepatutnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0528&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_06.htm

Daun getah hasilkan produk komersial

23/05/2012

Oleh M.RIZAL NOR
utusanktn@gmail.com

SEBAHAGIAN daripada gubahan bunga daun getah yang dihasilkan peserta program Perkumpulan Wanita Pekebun Kecil, Kuala Tembeling, Pahang, semalam.

JERANTUT 23 Mei – Kenaikan harga getah di negara ini memberi manfaat kepada pengusaha ladang dan kebun tersebut kerana sebelum ini harga yang dijual agak rendah sehingga menyukarkan mereka menguruskan kewangan.

Bukan setakat itu sahaja, pokok getah itu turut mendatangkan faedah sama ada kayu dan daunnya berikutan ia boleh dipelbagaikan bagi tujuan tertentu termasuk perabot.

Bagaimanapun, bagi sekumpulan kaum hawa di Kuala Tembeling di sini, mereka memilih daun getah untuk dijadikan bunga sebagai salah satu cabang keusahawanan dalam mencari sumber pendapatan.

Projek bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di bawah program Perkumpulan Wanita Pekebun Kecil (PWPK) itu diusahakan oleh 10 orang suri rumah.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0524&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pahang&pg=wp_04.htm

Litar motosikal lasak Sg. Rasau

23/05/2012

Oleh TOREK SULONG
utusankelantan@utusan.com.my

AKSI terbang di udara sentiasa menjadi tumpuan penonton dan tidak terkecuali di litar Sungai Rasau, Pasir Puteh, baru-baru ini.

PASIR PUTEH 23 Mei – Sukan bermotor sememangnya semakin digemari di negara ini. Kehadiran pelumba negara seperti Azlan Shah Kamaruzaman, Zulfahmi Khairuddin dan Fakhrusy Syakirin Rostam sememangnya menjadi sebutan peminat sukan berkenaan.

Bagaimanapun, bilangan litar terhad menyaksikan anak muda yang meminati sukan bermotor sering menjadikan jalan raya lokasi untuk melepaskan ‘gian’ dan tempat menunjukkan bakat mereka.

Menyedari minat mendalam anak-anak muda tempatan dalam sukan bermotor, Kelab Motocross Pasir Puteh mengambil inisiatif mewujudkan litar di Sungai Rasau di sini bagi memberi ruang kepada mereka menunjukkan bakat terpendam.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0524&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_03.htm