Kebitaraan lahirkan usahawan tani

SUHAIMI SALLEH (depan, tiga dari kanan) memotong nanas sempena Program Kebitaraan Pertanian Sekolah-sekolah Daerah Kulai, Johor, kelmarin.

KULAI 30 Sept. – Program Kebitaraan Pertanian Sekolah mampu melahirkan genarasi petani muda yang mengapikasikan penemuan penyelidikan dengan melaksanakan amalan pertanian baik serta mengurus sumber semula jadi secara mapan.

Dalam program tersebut, pelajar terpilih diberikan suntikan minat dalam bidang pertanian yang melibatkan tiga komponen, iaitu bercucuk tanam, ternakan dan akuakultur yang boleh dilaksanakan bersama keluarga mereka di kawasan sekeliling rumah.

Sebanyak enam sekolah di daerah ini dipilih oleh Jabatan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri menyertai program tersebut, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Rahman Putra, Sekolah Menengah (SM) Pendidikan Khas Vokasional Indah Pura, SMK Kelapa Sawit, SMK Bandar Putra, SM Agama Bandar Tenggara dan Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Bukit Permai.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed berkata, Program Kebitaraan Pertanian amat pen­ting dilaksanakan supaya proses transformasi dalam sektor agro makanan melibatkan golongan muda.

“Pelajar yang terlibat akan menerima tunjuk ajar, pengkongsian ilmu dan pengalaman pertanian daripada pegawai dan kakitangan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta usahawan muda yang telah berjaya dalam bidang ini,” katanya semasa melancarkan Program Kebitaraan Pertanian Sekolah-sekolah Daerah Kulai, di SMK Tunku Abdul Rahman Putra, di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Suhaimi Salleh. Yang turut hadir, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kulai, Saliman Selamat.

Ismail berharap program itu akan diperluaskan ke semua sekolah supaya dapat menyemai minat pelajar menceburi bidang pertanian, sekali gus menjadi usahawan tani pada masa akan datang.

“Semua pihak sewajarnya melaksanakan program ini secara serius supaya genarasi muda dapat menggalas tugas menghasilkan lebih banyak bekalan makanan negara, khususnya bagi mendepani krisis makanan yang berlaku,” katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA