Warga pendidik perlu jaga etika

MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid. – Foto Yazit Razali

PUTRAJAYA: Warga Kementerian Pendidikan perlu menjaga etika sebagai penjawat awam dan tidak menunjukkan secara terbuka sikap menentang kerajaan atau menyokong parti pembangkang.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata beliau tahu ada dalam kalangan pendidik termasuk guru besar dan guru yang menyokong pakatan pembangkang sehingga menjawat jawatan penting dalam parti berkaitan, yang disifatkan beliau tidak harus berlaku.

“Jumlahnya tidak ramai tapi mereka menunjuk-nunjuk. Kalau jadi guru besar tapi ada jawatan politik dalam pembangkang, itu terlalu ketara. Tidak bolehlah menunjuk.

“Jangan terikut-ikut watak yang membenci ini. Kita tidak suka pada suatu perkara tapi kena simpan sebagai pegawai kerajaan.

“Jangan susahkan diri dan pentadbiran. Ikut peraturan sedia ada,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Perutusan Tahun Baharu 2018, Kementerian Pendidikan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk P Kamalanathan; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Alias Ahmad dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin.

Berhubung isu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan untuk bersekolah, Mahdzir berkata, golongan itu dibenarkan bersekolah dalam tempoh dua tahun, sementara proses dokumentasi dengan pihak berwajib selesai.

“Jika tidak dapat (selesai), kita bagi peluang untuk melanjutkan tempoh persekolahan. Maknanya mereka tetap bersekolah,” katanya.

Sumber: Berita Harian