Belajar santai resipi kejayaan

KLANG: Belajar secara santai menjadi resipi kejayaan seorang bekas pelajar Tingkatan Enam di Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT) Sultan Hisamuddin, di sini.

Fatin Nabila Muhamad Fuzi, 19, yang memperoleh pangkat Mumtaz Sofi dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), berkata ia berikutan belajar dalam keadaan tertekan akan hanya menyebabkan apa yang dipelajari mudah lupa.

“Oleh itu, saya hanya memperuntukkan selama tiga jam setiap Isnin hingga Khamis untuk membuat ulang kaji pelajaran. Saya percaya perkara ini akan membantu untuk kita lebih mudah menerima ilmu berkenaan.

“Selebihnya, saya akan melakukan aktiviti riadah bersama kawan dan keluarga. Insya-Allah, di situ ada keberkatan.

“Selain itu, solat jangan tinggal dan saya akan cuba sedaya upaya tidak melengahkan solat serta sentiasa berdoa kepada Allah SWT,” kata anak ketiga daripada lima beradik.

Fatin Nabila mengakui pernah tertekan apabila ada yang mempertikaikan mengapa beliau memilih untuk menduduki peperiksaan STAM.

“Pada peringkat awal mahu menduduki STAM, saya memang sedikit tertekan apabila kerap ditanya serta diperlekehkan berikutan mengambil peperiksaan ini.

“Alhamdulillah, kejayaan ini diharap dapat membuktikan kepada mereka yang kita boleh berjaya dalam apa sahaja sijil persekolahan jika ada kesungguhan,” katanya yang mengambil 10 subjek dalam sijil berkenaan.

Fatin berkata, beliau juga berterima kasih kepada kedua-dua ibu bapanya yang sentiasa memberi dorongan sehingga ke tahap itu.

Katanya, beliau bercadang menyambung pelajarannya di universiti tempatan dalam bidang Pengajian Islam atau Bahasa.

Sumber: Berita Harian