Guna komputer riba 1Malaysia didik anak celik ICT

02/05/2012

Sebahagian penerima komputer riba 1Malaysia, (dari kiri) Jaafar Masom, Norhayati Yaakop, Lee Lay Wah, dan T. Chandru Shekar menunjukkan komputer riba masing-masing selepas majlis penyerahannya di Bukit Katil, Melaka, semalam.

MELAKA 2 Mei – Ibu bapa disaran menggunakan sumbangan komputer riba 1Malaysia untuk mendidik anak-anak mereka membudayakan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, pemberian komputer riba secara percuma oleh Kerajaan Pusat itu bertujuan mengubah budaya hidup masyarakat bandar dan luar bandar agar menjadi celik ICT.

Menurutnya, kemudahan tersebut juga harus digunakan pelajar bagi memudahkan mereka untuk mengakses internet bagi tujuan pembelajaran.

”Dengan kemudahan ini, ibubapa harus bijak mengajar anak-anak mereka menggunakan komputer bagi mencari maklumat bagi meningkatkan pengetahuan dan sumber pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri penyerahan komputer riba 1Malaysia peringkat Dewan Undangan negeri (DUN) Bukit Baru di Dewan Demang Husin, Bukit Katil di sini hari ini.

Seramai 750 orang yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan menerima sumbangan tersebut.

Tiga lagi DUN di bawah Parlimen Bukit Katil akan menerima komputer riba 1Malaysia iaitu Bachang (9 Mei), Ayer Molek (10 Mei) dan Ayer Keroh (14 Mei).

Sementara itu, beberapa penerima melahirkan rasa gembira apabila terpilih untuk menerima komputer riba 1Malaysia.

Seorang juruteknik, Norhayati Yaakop, 33, berkata, komputer itu akan digunakan untuk tiga anaknya berusia dari empat hingga lapan tahun.

”Saya terkejut apabila dimaklumkan menerima sumbangan ini dan saya ucap terima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri,” katanya.

Seorang lagi penerima, Jaafar Masom, 77, bekas pesara Pos Malaysia berkata, komputer yang diterimanya itu akan diberikan kepada cucunya untuk tujuan pembelajaran.

”Saya ucap terima kasih kepada kerajaan yang begitu prihatin terhadap keluarga yang berpendapatan rendah seperti saya,” katanya

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0503&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_06.htm