Jadikan institusi masjid zon mentaliti kelas pertama – Raja Muda Perlis

30/03/2012

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah) bersama ahli Jam’iyah Pegawai-Pegawai Masjid Negeri Perlis di Masjid Muqarrabin, Behor Empiang, Kangar, baru-baru ini.

KANGAR 30 Mac – Institusi masjid perlu dijadikan zon mentaliti kelas pertama ke arah meletakkan institusi itu kembali hebat seperti zaman kegemilangan Islam terdahulu.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail percaya umat Islam boleh bersatu untuk merealisasikan impian itu sambil meletakkan kepentingan Islam sebagai hala tuju utama.

Titah baginda, selain menjadikan institusi masjid sebagai zon mentaliti kelas pertama, ia juga perlu dijadikan zon persaudaraan dan zon perpaduan umat Islam itu sendiri.

“Beta juga mahu agar masjid diletakkan sebagai zon hening, zon kasih sayang, zon akrab dan salah satu yang paling utama ialah masjid mesti berstatus zon bebas konflik,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Jam’iyah Pegawai-Pegawai Masjid Negeri Perlis kali ke-27 di Masjid Muqarrabin, Behor Empiang, Kangar di sini, kelmarin.

Keberangkatan baginda disambut oleh Yang Dipertua Jam’iyah itu, Dr. Mohd. Arshad Taib.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Hadhari dan Pembangunan As-Sunnah negeri, Jafperi Othman dan Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya hadir sama.

Raja Muda Perlis yakin, umat Islam tidak bermasalah mewujudkan zon sedemikian kerana masjid merupakan institusi yang begitu penting dalam meningkatkan kemajuan dari sudut agama dan pembangunan sosial.

“Sejarah membuktikan bahawa institusi masjid di zaman kegemilangan Islam terdahulu telah berjaya memainkan fungsinya yang cukup hebat.

“Sehubungan itu, masjid perlu diletakkan sebagai institusi penghayatan Islam yang membolehkan umat Islam dan manusia seluruhnya mengenali, menemui, memahami, meyakini, mencintai dan menghormati Islam dan segala peradabannya,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin juga mahu masjid dijadikan pusat perkembangan kebudayaan Islam yang berteraskan aqidah dan syariat.

“Beta yakin masyarakat Islam, terutama para petugas yang terlibat dengan pengurusan masjid sentiasa mengimarahkan masjid mengikut ajaran Islam dan bukti-bukti sejarah, serta mampu menjana pelbagai perubahan masyarakat melalui konsep Habluminallah (hubungan dengan Allah) dan Habluminannas (hubungan sesama manusia) dan mengerakkan asas-asas kecemerlangan konsep hayya ‘alal falah atau mari mencapai kejayaan,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin juga mahu masjid diletakkan sebagai pusat janakuasa umat yang mampu membekalkan berbagai kekuatan kepada penganut Islam dan bukan Islam, supaya umat Islam sentiasa mendapat taufiq dan hidayah dari Allah.

Sekolah Cina, Tamil tidak dipinggir

30/03/2012

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my

 

KUALA PILAH 30 Mac – Kementerian Pelajaran mengulangi ketegasan tidak pernah meminggirkan mana-mana Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) sebaliknya sentiasa berusaha untuk menangani segala isu yang timbul dengan cara terbaik.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi menjelaskan, pihak kementerian telah melaksanakan pelbagai cara termasuk menyediakan guru berkelayakan di kedua- dua sekolah berkenaan menerusi penyelesaian jangka pendek dan panjang.

‘‘Kita memanggil semua pihak untuk memberikan pandangan termasuk Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong), mereka tidak perlu mengadakan demonstrasi kerana kita telah mengemukakan penyelesaian.

‘‘Penyelesaian kita dari segi jangka masa pendek adalah dengan melantik guru interim mengisi kekurangan guru sama ada di SJKC atau SJKT, selain kita telah pun beritahu kita akan laksanakan Program Intervensi Tambah Opsyen (PITO).

‘‘Sementara jangka panjang pula, kita akan cuba mengatasi kekurangan guru di sekolah terbabit yang mana Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) bersetuju untuk terima guru sementara yang memegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), namun ia tidak mencukupi,” katanya.

Mohd. Puad berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Penutupan Perkhemahan Integrasi Pasukan Badan Beruniform Agensi Bukan Kerajaan Sekolah Menengah Peringkat Negeri dan Perasmian Surau Kem Rimba Ilmu di Kampung Terusan dekat sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Puad yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO meminta Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab tuduhan salah guna kuasa dan kronisme oleh pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin melalui sesi debat.

Tegas beliau, terlalu banyak isu dan tuduhan dilontarkan oleh Raja Petra dilaporkan dalam Malaysia Today yang memerlukan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menjelaskannya termasuk isu saman Bank Hong Leong melibatkan perjanjian kemudahan pinjaman bersindiket berjumlah RM445 juta, kira-kira 14 tahun lalu.

‘‘Beliau seringkali menuduh kerajaan mengamalkan kronisme dan ketelusan. Jadi apabila tuduhan ini dikeluarkan oleh Raja Petra, Anwar perlu menjawabnya dengan cara gentlemen dan tidak perlulah hendak berdebat dengan Perdana Menteri sedangkan banyak lagi isu yang beliau perlu jawab.

‘‘Pada saya ia jelas membuktikan kronisme dan salah guna kuasa berlaku semasa Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Dan ini amat serius kerana melibatkan kepentingan peribadi dan keselamatan negara,” katanya.

 

RM43.6 bilion pinjaman PTPTN diluluskan sejak ditubuh

30/03/2012

TEMERLOH 30 Mac – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meluluskan pinjaman pendidikan berjumlah RM43.6 bilion kepada seramai 1.95 juta peminjam sejak ia mula ditubuhkan sehingga akhir Februari lalu.

Pengerusinya, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, peruntukan untuk tahun ini sahaja dijangka mencecah RM5 bilion lagi iaitu membabitkan RM3.37 bilion diberikan kepada peminjam atau penerima sedia ada dan sebanyak RM1.68 bilion lagi kepada peminjam baru.

Katanya, pinjaman itu bagi membolehkan para pelajar membiayai pelajaran masing-masing tanpa menghadapi sebarang masalah dan ia merupakan agenda utama kerajaan dalam memperkasakan pendidikan negara.

‘‘Deposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sehingga 29 Februari lalu pula berjumlah RM598.22 juta membabitkan 1.2 juta pemegang akaun tersebut dan jumlah itu tidak termasuk pengeluaran simpanan sebanyak RM38.44 juta.

‘‘Kadar dividen SSPN bagi 2011 adalah sebanyak 3.75 peratus membabitkan jumlah RM16.4 juta telah dikreditkan ke dalam 1.08 juta akaun pendeposit pada 14 Januari tahun ini,” kata Ismail.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis permuafakatan Persatuan Ibu Bapa, Guru dan Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Krau, dekat sini hari ini.

IPT disaran wujud program khusus seni bina Islam

30/03/2012

Rais Yatim berbincang sesuatu dengan Aga Khan selepas merasmikan pameran Khazanah Muzium Aga Khan: Seni Bina Dalam Kesenian Islam di Muzium Kesenian Islam, Kuala Lumpur, semalam. – BERNAMA

 

KUALA LUMPUR 30 Mac – Institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini disaran supaya mewujudkan program seni bina Islam yang khusus agar dapat mengembalikan kegemilangannya.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, ekoran daripada itu, kementeriannya dan Jaringan Pembangunan Aga Khan akan bekerjasama bagi membantu dalam mempromosikan kurikulum seni bina yang diperlukan.

‘‘Kurikulum seni bina Islam ini mesti ada dalam sistem pendidikan di universiti agar tidak tercicir kerana kita mahu elemen-elemen kesenian Islam sama ada yang lama atau ada sekarang dapat didedahkan kepada semua masyarakat,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan pameran Khazanah Muzium Aga Khan: Seni Bina Dalam Kesenian Islam di Muzium Kesenian Islam di sini hari ini. Pameran berlangsung hingga 29 Jun ini.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengasas dan Pengerusi Jaringan Pembangunan Aga Khan, Aga Khan; Pengerusi Yayasan Albukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary dan isteri, Puan Sri Sharifah Zarah Albukhary dan Pengarah Muzium Kesenian Islam, Syed Mohamad Albukhary.

Turut sama Pengurus Besar Amanah Kebudayaan Aga Khan, Luis Monreal; Ketua Kurator Pameran Aga Khan, Benoit Junod dan Ketua Kurator Muzium Kesenian Islam, Dr. Heba Nayel Barakat.

Menurut Rais, Muzium Kesenian Islam di negara ini akan menjadi teraju utama dalam kerjasama tersebut.

‘‘Walaupun kita mempunyai latar belakang pendidikan seni bina yang pelbagai sama ada berkonsepkan tempatan atau Barat tetapi setakat ini kebanyakan bangunan tidak mengira langsung tentang nilai seni Islam atau seni yang telah mengharumkan nama Islam di serata dunia,’’ katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementeriannya, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kerja Raya telah bekerjasama memastikan seni bina Islam diterapkan dalam pembinaan tertentu, selain memastikan jumlah arkitek Islam mencukupi.

‘‘Kita juga mahu setiap bangunan di pekan-pekan di negara ini mempunyai ciri-ciri Islam dan Melayu atau warisan tradisi masyarakat di kawasan masing-masing,’’ katanya.

Menurut beliau, Jabatan Warisan kini sedang melaksanakan program promosi tersebut termasuk di Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur.

Sementara itu Aga berkata, amat penting seni bina Islam disebar luas ke seluruh dunia kerana banyak seni bina bercirikan Islam telah hilang.

‘‘Seni bina Islam bukan sahaja tertumpu kepada kegemilangan tamadun pada masa lampau tetapi juga mencipta inspirasi baru ke arah seni bina yang hebat,’’ katanya

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0331&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm