Adi Putra ‘pukau’ pengunjung pesta buku

29/04/2011

Adi Putra Abdul Ghani menunjukkan buku yang dihasilnya, Seni Matematik Islam di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 28 April – Pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini terpukau dengan kehebatan kanak-kanak genius matematik, Adi Putra Abdul Ghani.

Kemunculan kanak-kanak berusia 12 tahun yang pernah menggemparkan negara itu hadir untuk berkongsi formula matematik ciptaannya kepada orang ramai di pameran buku terbesar itu terutama pelajar.

Ternyata perhatian ribuan pengunjung tidak beralih apabila Adi Putra petah berbicara dan menyelesaikan masalah matematik dengan sangat mudah tidak sampai 10 saat.

Bagi mereka yang tidak sempat mengetahui formula ‘Al-khawarizmi junior’ itu tidak perlu kecewa kerana Adi Putra kini membukukan 12 daripada 235 formula menerusi buku berjudul Seni Matematik Islam.

Biarpun buku itu belum dilancarkan, namun sambutannya sangat luar biasa apabila sebanyak 3,000 naskhah sudah terjual.

Buku berhalaman 200 muka surat itu turut memuatkan kaedah dan cara bagaimana Adi Putra menggunakan konsep alam dan ilmu al-Quran dalam formula matematiknya.

Adi Putra ketika ditemui Utusan Malaysia memberitahu, beliau sangat teruja bertemu pengunjung dan berkongsi rahsia matematik agar mereka tidak lagi berasa sukar untuk mempelajarinya.

“Saya sangat gembira dapat berinteraksi dengan pengunjung biarpun dapat meluangkan masa sejam dan tentunya masa itu tidak cukup untuk menceritakan semua,” katanya.

Ditemani bapanya, Abdul Ghani Abdul Wahid, 52, dan ibunya, Serihana Elias, 36, Adi Putra berkata, buku berharga RM40.20 itu akan dipasarkan di negara luar dan dialih bahasa mengikut bahasa negara masing-masing.

Mendapat gelaran Tokoh Profesor Matematik Islam abad ini dari Universiti Riyau Indonesia baru-baru ini, Adi Putra berkata, sudah sampai masanya masyarakat Islam disanjung akan kehebatan ilmunya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_13.htm