Sekolah vokasional akan dinaik taraf jadi kolej

11/05/2011


MALAYSIA akan merombak sistem pendidikan teknikal dan vokasional, sekali gus mengubah nama sekolah vokasional kepada kolej vokasional, yang akan menawarkan diploma atau diploma lanjutan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan akan melakukan sedikit pindaan kepada Akta Pendidikan negara tidak lama lagi.

“Ia bukan saja bagi menghapuskan stigma atau persepsi bahawa pendidikan teknikal dan vokasional sebagai pilihan kedua, selepas bidang akademik lain, malah akan memberi satu laluan kerjaya pendidikan yang lebih jelas.

“Ia tidak terbatas kepada Sijil Kemahiran Malaysia saja tapi sijil yang lebih tinggi setaraf diploma atau diploma lanjutan,” katanya pada sidang media sebelum menyampaikan ucaptama di Mesyuarat Mesyuarat Ketiga Menteri-Menteri Pelajaran Asia Eropah (ASEMME3) di Axelborg Hall di sini, petang semalam.

Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Duta Malaysia ke Sweden, Datuk Kamarudin Mustafa; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Dr Rujhan Mustafa dan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Datuk Syed Ahmad Hussein.

Timbalan Perdana Menteri berkata, rombakan kursus teknikal dan vokasional adalah untuk memastikan tidak ada lagi stigma kepada bidang berkaitan, seperti sebelum ini yang kebiasaannya menyaksikan pelajar disalur ke bidang berkenaan kalau mereka tidak cemerlang dalam akademik.

Muhyiddin berkata, pendekatan sebelum ini adalah tidak tepat kerana di negara maju aspek teknikal dan vokasional diletakkan sebagai pilihan sama dengan akademik.
“Jadi kita sedang melakukan transformasi ini. Kita nak lihat prestasi setiap pelajar kalau kecenderungan awal mereka pada bidang yang tidak terlalu akademik, kita akan salurkan mereka bidang teknikal dan vokasional, sama ada di sekolah menengah biasa yang menawarkan mata pelajaran vokasional atau di sekolah vokasional.

“Kita akan mengubah nama sekolah vokasional kepada kolej vokasional yang menawarkan diploma atau diploma lanjutan yang mana pelajarnya berpeluang melan-jutkan pengajian di universiti selepas itu,” katanya.

Beliau berkata, subjek teknikal dan vokasional juga akan ditawarkan di peringkat menengah rendah, supaya pelajar dapat mengambil bidang yang mereka minati lebih awal.

Pada masa sama katanya, Malaysia akan mengkaji program kerjasama dan bertukar pengalaman dengan institusi berkaitan di Eropah, seperti di Perancis, yang mana sasaran ditetapkan kerajaannya ialah 60 peratus pelajarnya mesti pergi ke sekolah vokasional, sekali gus mereka mengiktiraf vokasional lebih penting berbanding akademik.

“Namun kursus yang ditawarkan di Perancis jauh lebih canggih. Ini contoh di mana kita boleh berkongsi pengalaman, mungkin bertukar tenaga pengajar dan melihat kurikulum apa serta subjek yang mereka ajar. Mungkin kita boleh adakan program pertukaran pelajar untuk melihat apa yang telah dilakukan Eropah,” katanya.

Ditanya apakah Malaysia juga akan meletakkan sasaran 60 peratus seperti Perancis, Muhyiddin berkata Malaysia masih jauh terkebelakang iaitu baru 10 peratus dan akan di pertingkatkan kepada 20 peratus dalam tempoh lima tahun ini.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Sekolahvokasionalakandinaiktarafjadikolej/Article

Swasta boleh bantu pendidikan teknikal, vokasional

07/05/2011

MELAKA 6 Mei – Kerajaan menggesa pihak swasta berganding bahu dengan Kementerian Pelajaran untuk membangunkan bidang pendidikan teknikal serta vokasional bagi mengisi keperluan ekonomi negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, melalui kerjasama tersebut, kerajaan dapat menggunakan segala kemudahan yang terdapat di sekolah-sekolah swasta bagi melahirkan lebih ramai pelajar berkemahiran dalam bidang tersebut.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, tanpa kerjasama sektor swasta, hasrat kerajaan untuk meningkatkan jumlah pelajar dalam aliran tersebut daripada 10 peratus kepada 20 peratus dalam tempoh lima tahun tidak akan tercapai.

”Saya bercadang untuk mengajak bukan sahaja agensi kementerian yang ada di peringkat Persekutuan tetapi sektor swasta untuk terlibat sama bagi mengisi keperluan sekolah-sekolah vokasional dan teknikal yang dibangunkan oleh mereka.

”Sebab itu, saya umumkan kita perlu tingkatkan pendidikan teknikal dan vokasional dalam tempoh lima tahun dan bukannya 10 tahun, ini merupakan cabaran besar yang perlu diharungi,” katanya berucap merasmikan Karnival Pendidikan Melaka 2011 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Pengarah Pendidikan negeri, Juliah Leman.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pada masa ini pelajar aliran teknikal dan vokasional hanya berjumlah kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar.

Justeru katanya, jumlah itu jauh lebih rendah berbanding beberapa negara termasuk negara jiran Indonesia, Thailand dan Singapura yang mempunyai antara 40 hingga 60 peratus pelajar dalam aliran tersebut.

”Kesemua negara terbabit memberi tumpuan dalam bidang teknikal dan vokasional kerana pelajar yang mereka lahirkan dapat memenuhi tuntutan untuk memajukan ekonomi negara mereka,” katanya.

Beliau berkata, usaha yang dicadangkan bersama sektor swasta itu selaras dengan tumpuan oleh Kementerian Pelajaran bagi memastikan bidang teknikal dan vokasional terus dikembangkan.

Ujarnya, peranan yang boleh dimainkan oleh sektor awam dan swasta dilihat amat penting untuk membangunkan sektor pendidikan agar menjadi lebih maju selain mengisi keperluan ekonomi negara.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0507&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm

Teknik, vokasional bertaraf kolej

28/10/2010

MIRI 27 Okt. – Sekolah teknik dan vokasional di negara ini akan dinaik taraf menjadi kolej menjelang 2013 dengan menawarkan lebih banyak kursus yang diperlukan dalam sektor perindustrian.

Timbalan Pengarah (Operasi) Bahagian Sekolah Teknik dan Vokasional, Kementerian Pelajaran, Zakaria Mohd. Noor berkata, setakat ini pihaknya masih mengkaji jenis kursus yang sesuai dan tempohnya.

Beliau memberitahu, kursus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang ditawarkan di sekolah teknik antaranya penerbangan, pertanian, maritim dan automobil.

“Kursus ini mungkin mengambil masa dua atau tiga tahun bergantung pada jenis kursus yang ditawarkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Permata Cemerlang Graduan Projek Link dan SKM 2010 Sekolah Menengah (SM) Teknik Miri, di sini semalam.

Beliau turut melancarkan logo baru SM Teknik Miri yang kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Vokasional (SMV) Miri.

Hadir sama, Pengetua SM Teknik Miri, Saffiee Driss dan Pengurus Komunikasi Korporat Sarawak Shell Berhad (SSB), Peing Tajang.

Dalam pada itu, Zakaria berkata, penamaan semula SM Teknik Miri kepada SMV Miri adalah tepat pada masanya dan beliau berharap Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah dapat meningkatkan usaha mempromosikan sekolah itu bagi menarik lebih ramai pelajar.

Terdahulu Peing dalam ucapannya berkata, sehingga kini Bahagian Pendidikan Shell melahirkan 882 pekerja kimpalan yang mahir dengan 60 peratus daripadanya bekerja dalam industri minyak dan gas.

Katanya, 30 peratus lagi bekerja dengan sektor perkapalan dan selebihnya dalam bidang profesional selain membuka perniagaan sendiri berasaskan industri kimpalan.

“Projek Link melibatkan SSB, Sabah Petroleum Limited dan Jabatan Pelajaran Sarawak bersama SM Teknik Miri sejak 19 tahun lalu.

“Berikutan kejayaan projek itu, kita bercadang meneruskan usahasama dengan SM Teknik Bintulu pula,” katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1028&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_14.htm

Penjenamaan semula teknik, vokasional

30/08/2010


Pelajar teknik dan vokasional akan dibekalkan dengan pakaian seragam khas untuk mencerminkan identiti mereka.


PROGRAM pendidikan teknik dan vokasional perlu penjenamaan semula supaya ia kekal relevan dengan tuntutan semasa guna tenaga dan pendidikan arus perdana.

Penjenamaan mencakupi pelbagai aspek – daripada kos sehinggalah kepada pembentukan imej baru.

Pengarah, Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Kementerian Pelajaran Malaysia, Ahmad Tajudin Jab berkata, isu ketidaksesuaian kursus serta nisbah agihan komponen akademik dan kemahiran perlu disesuaikan semula.

Antaranya ialah pecahan komponen akademik berbanding kemahiran perlulah 30:70, akademik berbanding vokasional (40:60) dan akademik berbanding teknik (70:30) – disulam dengan tenaga pengajar yang bertauliah dan berkemahiran.

Tempoh pengajian juga perlu dikaji semula, iaitu antara dua hingga empat tahun, dengan memperkenalkan satu konsep terbuka bagi kemasukan (pengambilan) dan tamat pengajian (persekolahan).

Sistem pentaksiran dan penilaian terhadap kualiti lepasannya perlulah berasaskan artikulasi, persijilan dan piawaian, supaya lepasannya mempunyai kemahiran yang senang dipasarkan dan bernilai dalam pasaran guna tenaga.

Selain itu, satu konsep kursus kluster dan customized perlu diperkenalkan bagi menyerlahkan sifat fleksibel dalam pemilihan laluan kerjaya.

Konsep penilaian berasaskan sekolah perlu dilaksanakan.

Untuk perancangan masa depan, SMT dan SMV perlu menawarkan kursus peringkat sijil yang tidak lagi ditawarkan oleh kolej komuniti atau politeknik.

Sebagai nilai tambah, sepasang seragam khas pelajar teknik dan vokasional boleh diperkenalkan untuk mencerminkan identiti, kata Ahmad Tajudin.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0830&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm

Imej baru vokasional

23/07/2010


Oleh Adha Ghazali
adha@bharian.com.my

Kerajaan guna konsep ‘Voctech’ lonjakkan taraf SMV

KANGAR: Kerajaan akan menstruktur semula Sekolah Menengah Vokasional (SMV) di negara ini menggunakan konsep ‘Vokasional Teknikal’ atau ‘Voctech’ dengan sasaran melonjakkan bidang berkenaan sebagai aliran pendidikan arus perdana negara. Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata selain memberi imej baru kepada SMV, penstrukturan semula berkenaan penting, terutama dalam usaha merealisasikan impian melahirkan lebih ramai rakyat berkemahiran tinggi seperti disasar melalui Model Baru Ekonomi (MBE).Katanya, sebagai permulaan kerajaan akan menaik taraf 62 Sekolah Menengah Teknik (SMT) kepada SMV menjelang 2012, manakala baki 26 yang lain akan dikekalkan sebagai SMT.

Beliau berkata, kurikulum di semua SMV terbabit juga akan diubah dengan berkonsepkan Voctech, iaitu pendedahan secara berterusan diberikan kepada pelajar dengan 70 peratus pengisiannya berkisar kepada aspek vokasional, manakala selebihnya bidang akademik.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Imejbaruvokasional/Article