Pelajar buktikan cacat, miskin bukan penghalang kejayaan

22/02/2011

KUALA LUMPUR 21 Feb. – Walaupun tergolong dalam kumpulan orang kurang upaya (OKU), dua pelajar ini membuktikan bahawa kecacatan bukanlah penghalang untuk mencipta kejayaan.

Atas semangat dan daya juang yang tinggi, Low Hong Ping, 21, serta Mohd. Rifaat Hussin, 19, kedua-duanya dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. John, Kuala Lumpur tidak pernah mengeluh atau merasakan kekurangan yang ada sebagai ‘jalan mati’ untuk menempuh hidup.

Untuk itu, mereka harus berbangga apabila penat lelah menjalani alam persekolahan akhirnya berbayar setelah diumumkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Istimewa Cemerlang bagi kategori masing-masing untuk keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2010.

Hong Ping menerima anugerah tersebut bagi kategori spastik manakala Mohd. Rifaat pula untuk kategori buta.

Bagi Mohd. Rifaat, formula kejayaannya cuma satu iaitu melipatgandakan usaha dan ulang kaji berbanding apa yang dilakukan oleh rakan seperjuangan yang bukan senasib dengannya.

“Hidup sebagai OKU tidak boleh dijadikan halangan untuk berjaya. Syukur kerana keluarga dan rakan-rakan sekelas banyak membantu.

“Saya menetap di asrama dan rakan-rakanlah yang menjadi ‘mata’ saya untuk membantu dalam pembelajaran. Dalam kelas pula, kita kena memberikan fokus yang lebih,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman STPM di Majlis Peperiksaan Malaysia, Bandar Baru Selayang dekat sini hari ini.

Mohd. Rifaat yang berasal dari Seremban memperoleh dua A bagi mata pelajaran Pengajian Am dan Kesusasteraan Melayu manakala Bahasa Malaysia (A-); Pengajian Perniagaan (A-) dan Syariah (B-).

Selepas ini beliau merancang untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya (UM) atau Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) demi mengejar cita-cita menjadi seorang pendidik.

Bagi Hong Ping pula, meski serba kekurangan dan terpaksa ditemani ibu, Cheong Yee Yee, 50, untuk melakukan apa jua kerja, kejayaan bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dikecapi.

“Selepas ini saya mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang ekonomi di mana-mana universiti tempatan. Tetapi kalau boleh, saya mahu belajar di UM kerana dekat dengan rumah,” katanya.

Beliau memperoleh dua A dalam mata pelajaran Ekonomi dan Pengajian Perniagaan manakala dua A- iaitu Pengajian Am serta Matematik S.

Sementara itu, Syivero Patrick, 19, yang diumum sebagai pelajar cemerlang bagi kategori luar bandar berkata, di sebalik kehidupan keluarga yang serba kekurangan, pelajaran baginya perlu menjadi keutamaan untuk membawa keluarganya keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Semasa menduduki STPM, memang banyak dugaannya. Selain bersekolah, saya terpaksa mencari kerja untuk menampung perbelanjaan.

“Sebahagian upah kerja sampingan yang saya perolehi, dapat juga saya gunakan untuk beli buku dan membayar yuran peperiksaan.

“Saya pun tidak menyangka diumum sebagai pelajar cemerlang. Sudah tentu saya mahu teruskan pengajian ke universiti selepas ini,” ujar bekas pelajar SMK Kota Marudu, Kota Marudu, Sabah itu.

Berlainan pula bagi pasangan kembar Charlotte Teong Chuin Yi dan Aimee Teong Chuin Ai, 20, dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Katholik, Petaling Jaya.

Bagi mereka, diumum sebagai pelajar cemerlang STPM 2010 merupakan saat paling manis dalam hidup dan ia sudah tentu atas disiplin yang ditekankan oleh keluarganya ketika belajar.

“Walaupun kembar, kami memiliki cita-cita yang berlainan. Saya sendiri mahu melanjutkan pengajian dalam bidang perundangan manakala kakak, Aimee, pula lebih meminati bidang perubatan,” kata Charlotte yang menjadikan Aimee sebagai ‘rakan kongsi’ untuk bersama mencipta kejayaan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_09.htm