Parlimen Mahasiswa suara pelajar

19/04/2010

APABILA hasrat Parlimen Mahasiswa ingin dilaksanakan baru-baru ini, ia bakal mencetuskan fenomena dan impak besar kepada mahasiswa di seluruh negara dalam menyuarakan pendapat mereka. Ini secara tidak langsung sebenarnya menjadi satu saluran suara rakyat yang ingin perubahan positif dalam penambahbaikan urusan pemerintahan dan pentadbiran negara.

Ia seakan-akan mengiktiraf golongan mahasiswa untuk menjadi ajen semak dan imbang kepada kerajaan atas kapasiti mereka sebagai golongan berpelajaran dan berpendidikan tinggi. Selayaknya, mereka juga mempunyai hak dan ruang untuk memberi sumbangan kepada masyarakat akan tetapi melalui cara dan wadah berbeza. Dengan jumlah bilangan anak muda dan belia semakin bertambah, Parlimen Mahasiswa diharap menjadi wadah wakil pimpinan mahasiswa untuk menyatakan pandangan, memberikan kritikan membina dan melontarkan idea segar mereka, demi memperjuangkan agenda rakyat terutama golongan muda seperti mereka yang akan menjadi pimpinan negara juga pada suatu hari nanti. Namun, pembentukan Parlimen Mahasiswa hanya akan dapat dilaksanakan selepas kerajaan mewartakan pindaan perlembagaan universiti awam tidak lama lagi. Ia perlu menunggu pewartaan pindaan perlembagaan universiti, dan kini ia berada pada peringkat Peguam Negara.

Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dipetik dalam Bernama kelmarin mengatakan proses pindaan perlembagaan universiti yang membabitkan 18 universiti itu kini berada pada peringkat terakhir.

Beliau juga berkata kerajaan dalam proses meminda perlembagaan universiti awam supaya ia selaras dengan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU).

Diharapkan Parlimen Mahasiswa ini dapat dijadikan wadah terbaik untuk pimpinan mahasiswa memberikan buah fikiran dan menyatakan idealisme mereka, untuk membanteras kebejatan sosial yang melanda golongan belia dan anak muda seangkatan dengan mereka di negara ini.
Banyak masalah perlu dibendung kini, memerlukan idea dan tindakan yang progresif daripada pimpinan mahasiswa yang menganggotai Parlimen Mahasiswa kelak.

Tanpa diragukan, jika Parlimen Mahasiswa yang akan dilaksanakan kelak tidak dieksploitasi oleh mana-mana pihak, ia bukan saja dapat dijadikan sandaran penting dan dapat dijadikan satu kayu ukur terbaik, malah menjadi ajen semak dan imbang terpenting dalam memperjuangkan isu belia dan anak muda khususnya, tidak terkecuali juga isu-isu rakyat dan masyarakat.

Tidak cukup dengan itu, ia diharap memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju negara, untuk kepentingan dan kebaikan kita bersama.

MUHAMAD FARIS MOHD ZAINI,
Persatuan Mahasiswa Darul Aman (Persada).