Karnival Sukan Rakyat tarik ramai peserta

17/02/2010

Hasni Mohammad ( tengah ) melepaskan acara tarik tali pada Karnival Sukan Rakyat anjuran Pemuda UMNO Bahagian Pontian, di SK Parit Markom, Benut, Pontian, disini, semalam.


PONTIAN 16 Feb. – Karnival Sukan Rakyat anjuran Pemuda UMNO Bahagian Pontian yang diadakan di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Markom, Benut di sini semalam, berjaya menarik ramai penyertaan termasuk dari luar daerah itu.

Kejayaan penganjuran karnival tersebut akan menjadi galakan dan dorongan kepada penganjur untuk mengadakan lagi program seumpama itu sebagai salah satu cara UMNO mendekati golongan muda.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pontian, Nasrihat Turiman berkata, pihaknya memilih cuti panjang sempena sambutan Tahun Baru Cina bagi menarik lebih ramai penyertaan termasuk dari luar daerah Pontian.

Katanya, bagi acara bola sepak tujuh sebelah, sebanyak 38 pasukan telah mengambil bahagian, bola jaring pula 14 pasukan, manakala tarik tali sebanyak enam pasukan termasuk dari luar daerah Pontian.

”Selain acara sukan, kami juga mengadakan program berbentuk ilmiah dan wacana bagi memberikan kefahaman kepada ahli-ahli Pemuda mengenai isu semasa.

“Selain itu, program berbentuk ekonomi, keagamaan, kemasyarakatan, belia dan sebagainya bagi memastikan ahli-ahli kami dekat dengan suasana di sekeliling mereka,” katanya selepas penutupan majlis tersebut di sini, semalam.

Sementara itu, majlis penutupan dan penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Ir. Hasni Mohammad yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian.

Turut hadir Naib Ketua Bahagian, Mohd. Jahis Othman; Ketua Penerangan Bahagian, Muhammaddan Ahmad dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian, Mohd. Fadir Salleh.

Dalam pertandingan akhir bola sepak tujuh sebelah, Pasukan Masta FC berjaya menewaskan Kulai FC dengan keputusan 1-0 sekali gus membawa pulang wang tunai RM1,000.

Acara bola jaring dimenangi oleh Pasukan Sergep dari Kampung Permatang Duku, manakala acara tarik tali dimenangi oleh pasukan 8 Tan yang menewaskan Kampung Parit Madirono.

Tambah Nasrihat, sejajar dengan konsep mendekati rakyat, pihaknya akan terus menyusun program dalam tempoh dua tahun ini bagi memastikan UMNO dan BN terus diterima rakyat.

“Program ini juga termasuk dalam Satu Program Satu Bahagian (SPSB) dan Program Juara Rakyat dengan pembukaan kaunter penambahan ahli-ahli UMNO dan pendaftar pemilih baru,” jelas beliau.

Sehubungan itu, beliau berharap, ahli-ahli Pemuda UMNO dalam Bahagian Pontian terus menjadi aset yang berharga bagi merealisasikan impian mengangkat martabat agama, bangsa dan negara.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Johor&pg=wj_04.htm

Advertisements