21 peserta bawa cabaran negara ke WSC 2017

DATUK Seri Richard Riot (tengah) bergambar bersama peserta negara ke Pertandingan Kemahiran Dunia (WSC) 2017 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur (KLIA).- Foto Samadi Ahmad

SEPANG: Pertandingan Kemahiran Dunia (WSC) 2017 yang disertai 21 peserta negara menjadi agenda penting ke arah transformasi latihan kemahiran negara bagi menghasilkan modal insan berkepakaran tinggi.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot, berkata pembabitan kontinjen negara dapat mengetengahkan keupayaan tenaga mahir tempatan pada peringkat antarabangsa, selaras dengan hasrat kerajaan bagi melahirkan tenaga kerja yang cekap, bermutu serta berkemahiran tinggi menjelang 2050.

“Penyertaan dan pencapaian negara dalam pertandingan ini dapat menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia juga mempunyai kepakaran selain kemudahan pendidikan teknikal serta latihan vokasional bermutu.

“Ini peluang bagi kita membuktikan Malaysia juga mampu melahirkan tenaga kerja bertaraf dunia,” katanya pada Majlis Pelepasan Kontinjen Negara ke WSC 2017 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Yang turut hadir, timbalannya merangkap Ketua Kontinjen WSC 2017, Datuk Seri Ismail Abd Mutalib dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Sumber Manusia, Amir Omar.

WSC adalah pertandingan peringkat antarabangsa yang disertai belia untuk mencari peserta terbaik berasaskan kemahiran dalam bidang masing-masing.

Pertandingan antara 14 sehingga 19 Oktober ini diwakili peserta negara yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam Pertandingan Kemahiran ASEAN 2016, membabitkan 20 daripada 51 bidang kemahiran.

Pada April lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan kerajaan akan menganugerahkan insentif RM100,000 kepada mana-mana peserta yang berjaya merangkul pingat emas.

Kata Richard, ini adalah penyertaan kali ke 13 negara dan pada 2015 di Sao Paulo, Brazil negara berjaya meraih satu pingat gangsa, yang juga pingat pertama negara dalam pertandingan antarabangsa terbabit.

“Kali ini, kita mensasarkan lima pingat dan sekurang-kurangnya mahu membawa pulang satu pingat emas, melalui pencapaian menjuarai Pertandingan Kemahiran Asean 2016, kita yakin akan dapat meraih pingat dalam WSC 2017,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Advertisements

Tubuh pasukan khas – Canselor UMK

Pemangku Raja Kelantan yang juga Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Tengku Muhammad Faiz Petra menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah bagi Sains Kelestarian kepada Pengerusi Landskap Malaysia, Tun Jeanne Abdullah (isteri kepada mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi) sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam bidang terbabit di Istiadat Konvokesyen UMK Kali Ke-7 di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kota Bharu. – Foto NSTP/Syamsi Suhaimi

KOTA BHARU: Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra, menyarankan penubuhan pasukan khas untuk merancang strategi baharu bagi membawa perubahan kepada Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Baginda yang juga Canselor UMK, bertitah pasukan itu bertanggungjawab menentukan perubahan dalam aspek pendidikan, penyelidikan, tadbir urus, hal ehwal akademik dan kurikulum pembangunan pelajar serta keusahawanan.

“Dalam usia UMK menjangkau 10 tahun, beta menyedari pelbagai kejayaan yang membanggakan sudah dicapai, namun perjalanan universiti ini masih jauh dan akan melalui zaman berbeza serta mencabar.

“Negara kita sudah melangkah ke zaman dan era industri 4.0 yang dipenuhi teknologi baharu sekali gus mengubah norma lazim, mencabar kebijaksanaan ilmu tradisi dan menukar landskap kehidupan secara drastik.

“UMK perlu memikirkan strategi baharu yang lebih berfokus, berstruktur dan berimpak bagi membantu membangunkan negeri ini dalam pelbagai sektor seperti ekonomi, pelancongan, perhutanan, pemeliharaan alam sekitar, pelaburan, kesejahteraan bandar dan pembasmian kemiskinan di luar bandar,” titahnya.

Baginda menyampaikan titah di Istiadat Konvokesyen UMK Ke-7 di Kampus Kota UMK, di sini hari ini.

Seramai 2,461 graduan UMK bakal menerima ijazah doktor falsafah (PhD), sarjana dan sarjana muda pada Istiadat Konvokesyen itu yang diadakan selama empat hari bermula hari ini hingga Khamis ini.

Baginda berharap kerajaan negeri dapat mempertingkatkan kerjasama untuk mengoptimumkan segala kepakaran di UMK sekali gus memperkukuhkan perancangan dan pelaksanaan program.

“Kehidupan manusia akan berubah menyebabkan bidang pekerjaan lazim hilang dan pekerjaan baharu akan muncul yang memerlukan kita merebut peluang itu pada masa depan.

“Tenaga buruh akan digantikan dengan robot dan automasi; perundangan, pentadbiran dan pengurusan akan diambil alih ‘artificial intelligent’ manakala industri perniagaan akan dipandu ‘big data’,” titahnya.

Sumber: Berita Harian

Sekolah tahfiz: Selesaikan isu keselamatan dulu

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid semasa berucap pada majlis Pelancaran PEERS Sehari @ Prasekolah di SK Putrajaya Presint 17 (1). – Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Pendaftaran sekolah tahfiz swasta untuk diselaraskan oleh Kerajaan Persekutuan akan ditentukan selepas isu keselamatan selesai sepenuhnya.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata sehingga minggu lalu, sebanyak 932 daripada 941 sekolah tahfiz sudah diperiksa oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), sebelum laporan penuh mengenainya diserahkan kepada kementerian berkaitan.

“Untuk peringkat pertama, kita mahu siapkan aspek keselamatan dulu. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar sudah meminta JPBM pergi ke semua sekolah tahfiz.

“Jadi, laporan mengenai kedudukan keselamatan sekolah itu akan datang dulu dan kita akan lihat apa yang perlu diperbaiki dari aspek keselamatan yang membabitkan pihak bomba seperti pendawaian. Kemudian barulah kita menumpukan kepada perkara lain seperti berkaitan kurikulum dan sebagainya.

“Isu (pendaftaran) itu kita belum bincang lagi kerana kita mahu selesaikan dulu (aspek keselamatan). Perdana Menteri sudah memaklumkan bahawa tidak guna kita berbincang mengenai kurikulum kalau keselamatan murid ada masalah,” katanya pada sidang media selepas melancarkan program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 17 (1) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai status pendaftaran sekolah tahfiz dan maklum balas kerajaan negeri mengenainya.

Sementara itu, berhubung hasrat DAP untuk mengadakan acara ‘Pulau Pinang dan DAP’ di sekolah di negeri itu, Mahdzir berkata, acara yang dilihat bermotifkan politik seperti itu tidak akan dibenarkan di sekolah.

“Kalau apa yang berlaku di SK Presint 14 (nyanyian lagu UMNO di sekolah), ia lebih kepada satu program (berkaitan kemerdekaan). Jadi, DAP pun hendak buat satu program, tidak bolehlah.

“DAP sebuah parti politik yang tidak ada kena mengena dengan kemerdekaan. Sekurang-kurangnya UMNO ada kaitan dengan awal kemerdekaan. Jadi kalau (DAP) hendak buat sebab sengaja mahu mengejek-ngejek, tidak bolehlah,” katanya.

INFO

  • PEERS (Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial)
  • Disertai lebih 200,000 murid prasekolah (Kementerian Pendidikan, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta Jabatan Kemajuan Masyarakat)
  • Pembelajaran empat jam
  • Bertumpu kepada aspek penjagaan kebersihan diri, pencegahan penyakit dankeselamatan diri.

Sumber: Berita Harian

Konvokesyen UMK di kampus sendiri

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed bergambar bersama orang ramai pada majlis perasmian Pesta Konvokesyen dan Kerjaya (PESKOJAYA) 2017 sempena Majlis Konvokesyen UMK di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, hari ini. – Foto Faris Zainuldin

KOTA BHARU: Seramai 2,461 graduan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bakal menerima ijazah doktor falsafah (PhD), sarjana dan sarjana muda pada Majlis Istiadat Konvokesyen kali ke-7 universiti itu esok.

Majlis itu yang diadakan selama empat hari sehingga Khamis ini, buat pertama kalinya diadakan di kampus UMK sendiri di Pengkalan Chepa.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata lebih membanggakan jumlah graduan tahun ini adalah yang tertinggi sejak penubuhan UMK, 11 tahun lalu.

Katanya, ia menunjukkan kemampuan UMK sebagai institusi pengajian tinggi yang semakin menjadi pilihan masyarakat.

“Apatah lagi konsep universiti keusahawanan yang dibawa UMK bukan saja memberi peluang pendidikan tetapi juga kemahiran serta kerjaya yang berterusan kepada pelajar,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Pesta Konvokesyen dan Kerjaya (PESKOJAYA) 2017 sempena Majlis Konvokesyen UMK di Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor UMK, Datuk Dr Mortaza Mohamed.

Sementara itu, seramai 50,000 pengunjung dijangka memeriahkan PESKOJAYA yang disertai lebih 100 gerai jualan dibuka pelajar dan pempamer.

Sumber: Berita Harian

Tiada halangan guru aktif politik

MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid (tengah) diiringi Pengarah Pendidikan negeri Kedah, Datuk Azuyah Hassan (dua dari kiri) beramah mesra bersama ahli kesatuan guru yang hadir di Majlis Perasmian Penutupan Persidangan Perwakilan Tri Tahunan Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) Kali ke-25 di Hotel Grand Alora. – Foto Sharul Hafiz Zam

ALOR SETAR: Setiap guru yang ingin menyertai parti politik harus mengikut peraturan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan termasuk meminta kebenaran bertulis.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihak kementerian tidak menghalang guru yang ingin menyertai politik, namun ia harus mengikut saluran yang betul.

“Peraturan untuk aktif dalam bidang politik itu ada, yang tinggal sama ada individu itu ikut ataupun tidak.

“Mereka nak aktif dalam politik itu boleh. Dalam peraturan guru boleh pegang jawatan (dalam politik) sehingga DG48. Pegang jawatan (dalam politik) tak salah.

“Namun, untuk yang berjawatan tinggi daripada DG48, iaitu DG52 atau DG54 kena minta kebenaran daripada ketua jabatan masing,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tritahunan Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) kali ke-25, di sini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan dibuat Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melalui ucapan majlis penutup Hari Kemerdekaan di Sekolah Rendah Putrajaya Presint 14 (1) sebelum ini yang menggesa guru untuk menyertai UMNO.

Kenyataan itu bagaimanapun mendapat kritikan daripada pembangkang.

Sementara itu, Mahdzir berkata pihaknya akan memuktamadkan cadangan cuti sebanyak 50 hari kepada guru yang menunaikan ibadat haji.

Beliau berkata, pada dasarnya pihaknya bersetuju dengan cadangan diminta oleh KGMMB itu, namun ia harus dimuktamadkan melalui mesyuarat kelak.

“Menteri (saya) bersetuju dah, tetapi kita akan muktamadkanlah. Pemberian cuti 50 hari ini untuk guru yang pertama kali menunaikan haji,” katanya.

Sebelum ini, guru yang pergi menunaikan ibadat haji diberi cuti selama 40 hari.

Sumber: Berita Harian

Kegagalan memberikan iktibar untuk kembali bangkit

KUALA LUMPUR: Peristiwa pejabat operasi syarikat di Shah Alam terpaksa ditutup gara-gara kegagalan pengurusan, memberi iktibar yang mematangkan lagi Mohamad Amirul Mustaqim Mazzlan, 23, dalam melayari dunia keusahawanan.

Biarpun pahit, pengalaman getir ketika berada dalam tahun dua pengajian Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (al-Quran dan Hadis) itu tidak sekali-kali memadamkan tekadnya untuk terus membina syarikat yang dibuka pada Mac 2013.

Mahasiswa Universiti Malaya (UM) yang juga pemilik CITC Resources atau dikenali sebagai Cinta Ilahi Training & Consultancy itu akur bahawa soal untung rugi dan rintangan adalah lumrah berniaga yang harus dihadapi secara positif.

“Ketika itu, perniagaan yang dijalankan hanya mampu bertahan setengah tahun akibat kekangan masa dan kurang pengalaman dalam pengurusan.

“Kegagalan itu tidak mematahkan semangat saya, bahkan menjadi pengajaran untuk lebih berjaya pada masa depan. Saya yakin cabaran dalam perniagaan ialah kesanggupan menempuh dan menerima risiko untuk jatuh.

“Tiada orang yang terus berjaya tanpa melalui proses kegagalan terlebih dahulu kerana pengalaman itu menjadi iktibar. Saya yakin bahawa perniagaan adalah suatu sumber rezeki kurniaan Allah SWT. Sepatutnya, bidang ini lebih mendorong kita untuk bergantung kepada Allah SWT,” katanya.

Berpegang kepada kesedaran itu, Mohamad Amirul Mustaqim bangkit dan bekerja keras berbekalkan sokongan bapa dan ibunya iaitu Mazzlan Mohamed dan Mislia Mohamed Yunus.

Cetus inspirasi

Jejaka kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu mengendalikan perniagaan dari rumah sewa tetapi bercadang membuka kembali pejabat syarikat yang akan dijalankan sepenuh tumpuan selepas tamat pengajiannya.

“Kini, saya mampu meraih pendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan,” katanya yang bercita-cita melebarkan sayap perniagaan hingga ke luar negara.

Sebagai mahasiswa pula, Mohamad Amirul Mustaqim pernah mewakili UM ke pertandingan Motivator Muda Varsiti peringkat kebangsaan, selain menjadi penceramah jemputan pada pelbagai program dan di sekolah seluruh negara.

Bukan itu sahaja, pasukannya juga berpengalaman mengendalikan acara besar seperti majlis jamuan Malam Anugerah 2017 Kolej Kediaman Nilam Puri UM.

“Saya berpengalaman menjadi mentor di bawah Johor Corporation untuk membantu usahawan siswa yang baru berjinak-jinak dengan dunia bisnes.

“Semua pencapaian ini mendekatkan saya dengan impian membuka cawangan perniagaan di beberapa negeri dan pusat latihan sendiri berkonsepkan resort moden berlatarbelakangkan alam semula jadi,” katanya.

Sumber: Berita Harian

UIAM lancar kad kredit khas bantu pelajar miskin

(Dari kiri) EQHWAN, Sulaiman dan Zaleha ketika perlancaran Kad kredit khas AmBank Islamic-UIAM, di Dewan Zabedah, Azman Hashim Kompleks UIAM. – Foto Zunnur Al Shafiq

GOMBAK: Menggunakan konsep ‘Guna Sambil Menderma’, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bekerjasama dengan Ambank Islamic melancarkan kad kredit khas, bagi memudahkan orang ramai yang ingin memberi sumbangan kepada Tabung Wakaf (IEF) UIAM, di sini sebentar tadi.

Kad kredit khas AmBank Islamic- UIAM yang julung kali dilancarkan di Universiti Awam (UA) itu turut bekerjasama dengan JomPAY bagi memberi kemudahan pembayaran antaranya melalui internet atau menerusi pengeluaran wang automatik (ATM) di mana-mana bank pada bila-bila masa.

Rektor UIAM, Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamarudin, berkata pihaknya menyasarkan kira-kira 5,000 penyertaan kad kredit khas untuk semua kakitangan, alumni dan pelajar di UIAM membabitkan jumlah sumbangan RM250,000 dalam tempoh setahun.

Beliau berkata, IEF UIAM bertanggungjawab untuk memberi bantuan kewangan kepada pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik namun mengalami masalah kewangan.

“Perkara ini (masalah kewangan) berkemungkinan akan mempengaruhi prestasi akademik mereka dan dengan itu, bantuan kewangan adalah penting untuk menyokong pengajian mereka.

“Kita akan berkempen bermula hari ini untuk menguar-uarkan kepada semua bagi mengambil bahagian dalam program ini,” katanya pada sidang media Kad kredit khas AmBank Islamic-UIAM, di Dewan Zabedah, Azman Hashim Kompleks UIAM, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir, Ketua Pegawai Eksekutif AmBank Islamic, Eqhwan Mokhzanee dan Pengarah Eksekutif Kewangan UIAM, Datuk Ahmad Zailan Shaari.

Sementara itu, Sulaiman berkata, orang ramai yang menggunakan kad kredit khas AmBank Islamic-UIAM untuk semua pembelian akan memperoleh mata ganjaran yang boleh ditukar kepada wang.

“Setiap 3,000 mata ganjaran bersamaan RM10 dan wang ini boleh disumbangkan kepada IEF UIAM. Selain membeli, mereka juga boleh menderma untuk membantu pelajar yang kurang mampu,” katanya.

Selain itu, katanya, pengguna kad kredit mana-mana bank yang ingin memberi sumbangan dalam bentuk wang kepada IEF UIAM boleh membuat bayaran menerusi JomPAY.

“Kad kredit ini sama seperti yang lain, namun ia mempunyai fungsi mata ganjaran yang boleh didermakan kepada IEF UIAM,” katanya.

INFO

*Lebih 100,000 pemegang kad kredit AmBank di seluruh negara

Sumber: Berita Harian