Dex-Rac Racing julang nama negara

Reka bentuk kereta bersifat aerodenamik yang dibangunkan berjaya menempatkan pasukan negara sebaris peserta dari Eropah seperti United Kingdom dan Jerman

KUANTAN: Sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Hajjah Kalsom, di sini, berjaya mengharumkan nama negara apabila terpilih menerima Anugerah FIA Woman In Motorsport dalam pertandingan F1 In School World Finals 2018 yang diadakan di Singapura, baru-baru ini.

Guru pembimbing inovasi sekolah itu, Hasfasuriazal Hasman, berkata kejayaan berkenaan membolehkan pasukan yang dinamakan Dex-Rac Racing meraih satu daripada 22 anugerah berprestij pada pertandingan kejuruteraan automatif dunia.

Beliau berkata, persediaan awal dilakukan pelajarnya sejak awal Januari lalu iaitu bermula dengan proses mereka bentuk, penggunaan konsep dan hukum fizik sehinggalah kepada proses pengujian untuk memastikan kualiti produk dihasilkan berada pada tahap terbaik.

“Selepas mendapatkan reka bentuk terbaik, pelajar menggunakan mesin CNC dan pencetak 3D bagi menghasilkan model kereta dengan reka bentuk front wing yang sangat berkesan dalam mengubah aliran angin serta memberi tekanan kepada tayar ketika perlumbaan.

“Rupa bentuknya juga lebih aerodinamik dan berjaya mencatat masa kelajuan 0.962 saat semasa perlumbaan di atas trek sepanjang 20 meter ketika ujian kelajuan dijalankan,” katanya.

Rekaan pasukan Dex-Rac Racing

Hasfasuriazal berkata, Dex-Rac Racing juga berjaya mendapat tempat kesembilan secara keseluruhan daripada 50 pasukan terbabit, selain menjadi pasukan dari Asia yang berada sebaris dengan pasukan dari Eropah seperti United Kingdom serta Jerman.

“Menariknya, tayar kereta ini direka khas dengan menggunakan mesin MJP360 iaitu reka bentuk tayar menggunakan satu bearing berbanding dua bearing sebelum ini, sekali gus berupaya mengurangkan daya geseran.

“Platform seumpama ini dapat meningkatkan pengetahuan pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), menonjolkan bakat tersendiri serta menggalakkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang kejuruteraan kelak,” katanya.

INFO:

Pasukan Dex-Rac Racing SMK Sultanah Hajjah Kalsom

  • Mula ditubuhkan pada Februari 2017
  • Pasukan inovasi terdiri daripada pelajar Tingkatan Lima dan Empat iaitu Nur Sabrina Riduan, Ainul Jannah Hasim, Nur Alia Natasha Amizi dan Sofiyya Nabilah Azuddin Shah
  • Mendapat sokongan penuh dan bantuan dana daripada kerajaan negeri Pahang, Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Abdul Fahd Mu’adzam Shah dan Sultanah Pahang, Sultanah Hajjah Kalsom
  • Bekerjasama dengan banyak pihak termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Universiti Malaysia Pahang, Icreate Sdn Bhd dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah terutama membabitkan sumbangan dana, kepakaran serta khidmat nasihat

Sumber: Berita Harian

Advertisements