Maggi lancar portal nutrisi

PUTRAJAYA: Nestle Malaysia Berhad (Nestle) menerusi segmen perniagaan makanan segera, Maggi, melancarkan portal pendidikan memasak dan nutrisi bagi menyemai tabiat pemakanan dan memasak yang sihat dalam kalangan pelajar.

Pengurus Pemasaran Maggi, Liew Pooi Wan, berkata portal Memupuk Masa Depan Lebih Sihat itu antara inisiatif digital syarikat dalam meningkatkan lagi kesedaran terhadap tabiat pemakanan yang sihat terutama dalam kalangan pelajar.

“Melalui portal ini, pelajar boleh mengakses kepada modul pendidikan mengenai pemakanan, cara memasak yang sihat, resipi untuk sajian makanan lazat dan seimbang serta pelbagai panduan berguna.

“Malah, portal ini menandakan tahun pertama Maggi menggunakan platform digital untuk Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI (MSSCC) ke-22,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran MSSCC 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 5(1), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan, Rozainum Ahmad dan Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Roaini Jaafar.

Pooi Wan berkata, portal dalam talian itu juga menjadi saluran kepada pelajar untuk menghantar penyertaan mereka bagi fasa pertama pertandingan berkenaan.

“Kami yakin platform ini mampu meningkatkan usaha Maggi untuk membina generasi yang lebih sihat, selain menyokong usaha yang disyorkan Kementerian Kesihatan mengenai kawalan saiz hidangan sewajarnya.

“Pelajar yang berminat boleh melayari laman web www.maggi.com.my dan pergi ke bahagian Memupuk Pemakanan untuk menyertai pertandingan ini,” katanya.

Sementara itu, Rozainum berkata, pertandingan berkenaan dapat membantu pelajar menimba pengalaman menyediakan makanan yang sihat.

“MSSCC juga menggalakkan kreativiti dan inovasi pelajar kerana mereka dikehendaki menjalankan penyelidikan mengenai pelbagai sajian dan teknik memasak,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Advertisements