57 pelajar pendidikan khas sertai Eksplorasi Flora dan Fauna

MURID pendidikan khas pendidikan khas dibawa menaiki kayak bersama pelajar pengurusan sukan UiTM. – Foto Norzamira Che Noh

SHAH ALAM: Seramai 57 pelajar pendidikan khas dari dua sekolah di Klang, mengikuti Program Eksplorasi Flora dan Fauna Pendidikan Khas di Taman Botani Negara Shah Alam, di sini, hari ini.

Program yang disertai pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Klang Utama itu dianjurkan oleh pelajar Sarjana Muda Pengurusan Sukan, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Pengarah program yang juga pelajar, Adib Asyraf Abd Aziz, 22, berkata pihaknya mengambil masa sebulan untuk merangka projek wajib bagi pelajar semester empat kursus berkenaan.

Katanya, ini termasuk memohon kebenaran pengurusan sekolah untuk membawa pelajar pendidikan khas menjalani aktiviti luar.

“Pelbagai aktiviti bersesuaian dirangka untuk pelajar istimewa ini, antaranya menangkap ikan di sawah, melalui jambatan gantung dan memasak (survival).

MURID diajar cara memasak survival pada program Eksplorasi Flora dan Fauna Pendidikan Khas. – Foto Norzamira Che Noh

“Taman Botani Negara Shah Alam dipilih bagi memberi pendedahan kepada pelajar istimewa ini mengenai alam semula jadi kerana sebahagian mereka tidak pernah melakukan aktiviti fizikal di kawasan seperti ini.

“Menerusi aktiviti ini, kami cuba bina hubungan baik bersama pelajar dengan memberi mereka peluang, selain menambah keyakinan dalam diri mereka,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, pelajar berusia sembilan hingga 19 tahun itu terdiri daripada pelajar autism, lemah dalam pembelajaran, hiperaktif dan beberapa keistimewaan lain.

Sementara itu, guru pendidikan khas SK Taman Klang Utama, Tuan Mohd Faris Tuan Zainal Abidin, 38, berkata pelajar yang dipilih menyertai program adalah mereka yang pandai menguruskan diri.

“Kami perlu pilih pelajar sedemikian berikutan lokasi ini agak luas dan bahaya untuk pelajar yang sukar dikawal. Kami sebagai guru juga perlu faham bahawa pelajar istimewa ini ada dunia mereka sendiri dan kami perlu sentiasa berwaspada agar keselamatan mereka terjamin,” katanya.

Seramai 64 pelajar semester empat kursus pengurusan sukan UiTM dan 23 guru dari kedua-dua sekolah terbabit dalam program berkenaan.

Sumber: Berita Harian

Advertisements