PB_A21 bantu pelajar pantas kuasai asas matematik

Menyedari kepenting­an anak nusa untuk menguasai elemen asas pembelajaran matematik, Nor Aziah Abu Bakar, 41, menghasilkan inovasi bahan bantu belajar, Penanda Buku Abad 21 (PB_A21) yang boleh digunakan tanpa mengambil kira jurang di­gi­tal bandar dan luar bandar.

Menurut guru pemulihan di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Selamat ini, penanda buku berke­naan merupakan satu cara me­ngatasi masalah penyelesaian operasi asas matematik dengan cepat, tepat dan praktik.

“Golongan sasaran bukan sahaja kelas pemulihan malah memudahkan murid tahun satu, Linus, tadika atau prasekolah, pendidikan khas bahkan kanak-kanak dua tahun ke atas sehingga murid tahap dua yang tidak me­nguasai konsep asas,” katanya.

Mengikuti sendiri sesi di kelas kendalian Nor Aziah, enam muridnya dapat menulis dan mengira angka sama ada tertib menaik atau menurun serta menjawab sifir secara spontan selain membaca masa dan waktu.

Katanya lagi, penggunaan PB_A21 memudahkan penulisan ayat matematik dan penyelesaian masalah lazim melibatkan dua nombor bahkan pada masa sama melatih psikomotor halus murid.

Dia yang nyata bangga de­ngan ciptaannya itu menerangkan, ter­dapat 14 fungsi dengan enam daripada sembilan kemahiran pemulihan khas dan lapan daripada 12 konstruk numerasi de­­ngan kelebihan penggunaan berulang dan ‘mobile’.

“Sebagai penanda buku, ruang mengira juga menjadi kemas dan tidak mengelirukan malah dapat melibatkan semua murid terma­suk sebagai bahan bantu belajar dalam kelas ganti.

“Harga PB_A21 adalah murah dengan potensi pasaran me­rangkumi guru, ibu bapa bahkan pusat-pusat tuisyen,” ujar pemenang Anugerah Guru Inovasi Daerah Manjung sempena sam­butan Hari Guru peringkat daerah pada tahun lalu.

Ibu kepada dua cahaya mata kelahiran Pengkalan Baharu, Pantai Remis ini asalnya menje­jakkan kaki ke dalam dunia pekerjaan dalam bahagian pentadbiran di sebuah universiti berhampiran namun tidak pernah berhenti memburu peluang menjadi guru.

Menceritakan saat manis bergelar guru pada usia 30 tahun, dia sebenarnya memohon di merata tempat namun tiada kekosongan untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI).

“Namun peluang muncul apabila kerani tempat saya dan suami bekerja ketika itu memberitahu anaknya tidak berminat untuk mengikut KPLI – KDC (Kursus Dalam Cuti).

“Mujur suami membantu saya ber­gegas menyiapkan dokumen diperlukan memandangkan itu hari terakhir permohonan dan dia dapat menghantarnya pada minit-minit akhir sebelum Pejabat Pendidikan Daerah Manjung menamatkan operasi harian ketika itu,” tambahnya.

Tujuh tahun pertama Nor Aziah sebagai guru adalah di SK Segari dari 2007 sebelum bertukar ke SK Seri Selamat pada peng­hujung 2014 dengan membawa prototaip PB_A21 yang disedari bekas guru besar ketika itu, Noh Ahmad yang mencadangkan inovasi tersebut dipertandingkan.

Namun dia terpaksa menolaknya dua kali kerana merasakan PB_A21 masih belum sempurna sebelum pujukan ketiga dan keempat oleh Rahimah Banun Mohd. Saaid sebagai peneraju baharu sekolah itu pada 2016.

Bermula dengan perkongsian dengan beberapa sekolah sekitar, menyertai pameran ino­vasi sempena program guru ber­sama masyarakat peringkat negeri dan menjadi tenaga pengajar pembe­lajaran abad ke-21 (PAK-21) daerah Manjung, emas sulung diterima dalam Pertandingan Pembinaan Bahan Inovasi Linus Peringkat Daerah Manjung 2016.

Seterusnya, menang pingat emas dan ke­se­luruhan terbaik dalam Pertandingan Inovasi Ai­rex Peringkat Komuniti 2016 anjuran Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Marine Engineering Techonolgy (UniKL MIMET), Lumut.

Nor Aziah kemudian merangkul tiga anugerah dalam Pertan­dingan Guru Inovatif Negeri Perak 2017 iaitu Emas Individu, Anugerah Khas Inovasi Terbaik Kategori Individu Rendah serta Anugerah Khas ‘Best Of The Best’ Exco Pendidikan Negeri Perak.

Advertisements
%d bloggers like this: