‘Jangan jejas pencapaian, emosi pelajar’

KAMAROZAMAN Abd Razak. – Foto Muhammad Asyraf Sawal

KUALA LUMPUR: Pemansuhan Gred Purata Sekolah (GPS) memberi peluang kepada semua pelajar untuk mencapai kecemerlangan dan tidak tertumpu kepada pelajar tertentu semata-mata.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Kamarozaman Abd Razak, berkata sejak GPS dilaksanakan, ia hanya memberi impak kepada pelajar cemerlang, manakala murid yang lemah dan sederhana akan tercicir.

“Dasar pendidikan adalah untuk semua dan bukan untuk dinikmati oleh sesetengah pelajar saja. Kemahiran pelajar adalah berbeza tetapi suasana persekolahan sekarang lebih kepada peperiksaan.

“Pihak kami beranggapan GPS memang tidak berkesan. Lebih baik kita buat ketetapan Mencapai Tahap Minimum (MTM), yang mana semua pelajar boleh berusaha ke arah kecemerlangan. Oleh itu, saya sangat bersetuju GPS dimansuhkan,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan mengumumkan tidak lagi menjadikan GPS sebagai asas penilaian petunjuk prestasi utama (KPI) sekolah rendah, mulai tahun ini kerana ia tidak menjurus kepada pembangunan murid secara keseluruhan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin, berkata langkah itu juga bertujuan memastikan pelaksanaan Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) diberikan penekanan sepatutnya untuk menentukan kemenjadian murid secara holistik.

Beliau berkata, GPS yang dijadikan amalan sejak dulu, tidak boleh dijadikan kayu pengukur kecemerlangan sekolah atau muridnya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Guru Besar Selangor, Sukimin Juki, juga menyifatkan keputusan kementerian itu bertepatan bagi mengseimbangkan pencapaian akademik dan pembangunan sahsiah pelajar.

“Jaminan masa depan pelajar tidak terletak pada akademik semata-mata. Kita kena bangunkan sahsiah diri pelajar supaya mereka boleh berfikir dan menguruskan diri sendiri.

“GPS lebih berorientasikan akademik. Ia hanya mampu mengeluarkan pelajar yang pintar tetapi gagal mengawal emosi dan perasaan,” katanya.

Beliau berkata, ciri intelek, rohani, emosi dan jasmani, yang termaktub dalam falsafah pendidikan perlu diterapkan kepada semua pelajar supaya mereka menjadi insan yang cemerlang dalam pelajaran dan berperibadi tinggi.

Beliau berkata, sekolah rendah tidak lagi perlu mengejar GPS kerana penilaian murid sekarang membabitkan akademik, Pentaksiran Psikometrik (PPsi), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

Presiden Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia, Datuk Dr Aziz Ujang, kementerian perlu membuat kajian secara terperinci sebelum menetapkan sebarang dasar berkaitan pendidikan.

“Kita boleh ambil contoh sistem pendidikan negara maju tetapi kita kena sesuaikan dengan masyarakat negara kita, ada orang bandar, orang kampung dan tinggal di kawasan pendalaman.

“Jangan jejaskan pencapaian dan emosi anak-anak dengan pelbagai dasar. Emosi ibu bapa juga akan turut terjejas kerana tahap pemikiran anak juga berbeza.

“Guru juga kena bersedia untuk menerima perubahan. Mereka turut tertekan apabila terpaksa mengajar perkara baharu,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Advertisements