Sasar satu Parlimen, satu perpustakaan

KUALA LUMPUR 13 Jan. – Kementerian Wilayah Persekutuan menyasarkan setiap Parlimen di Wilayah Persekutuan mempunyai sebuah perpustakaan bagi memberi manfaat dan melaksanakan pelbagai aktiviti kepada warganya.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, setakat ini dua perpustakaan dibina, antaranya di Parlimen Wangsa Maju dan Lembah Pantai dan selepas ini di Kampung Pandan.

“Saya berharap usaha ini dapat dijadikan contoh kepada syarikat swasta lain mengenai inisiatif CSR yang dapat menyediakan kemudahan kepada masyarakat setempat. Saya juga menyeru kepada penduduk agar perpustakaan ini dijaga dan digunakan dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perpustakaan 1Wilayah Persekutuan Medan Idaman, Taman Danau Kota, Setapak di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Adnan Md. Ikshan; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz; Pengerusi MyPPP, Tan Sri M. Kayveas; Naib Presiden Eksekutif MRCB, Datuk Ishak Mohamed dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Hamdan Mohd. Yusoff.

Tengku Adnan berkata, perpustakaan berkeluasan 13,000 kaki persegi itu dibina dengan kos sebanyak RM5 juta, dilengkapi dengan 13,231 naskhah buku dan bacaan elektronik.

Advertisements
%d bloggers like this: