PPSR untuk kenali kecenderungan murid

DATUK Chong Sin Woon. – Foto Salhani Ibrahim

NILAI: Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) membabitkan empat komponen termasuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang akan dimumkan esok bukan perkara baharu.

Sebaliknya, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon, berkata ia sudah dimulakan tahun lalu tetapi banyak pihak tidak memberi perhatian serius terhadap perubahan terbabit.

Selain keputusan UPSR, PPSR turut mengandungi laporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Psikometrik serta Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

“Kementerian sudah lama memperkenalkan format PPSR sebelum digunakan dalam UPSR tahun lalu. Ketika pengumuman keputusan, calon diberi dua kertas (slip) iaitu keputusan peperiksaan dan pentaksiran, tetapi orang hanya lihat keputusan peperiksaan sahaja.

“Kita banyak kali bercakap mengenai PPSR, tapi media serta ibu bapa masih memberi fokus kepada keputusan UPSR.

“Mungkin kini ramai orang mulai sedar UPSR hanya sebahagian daripada PPSR,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, di sini, hari ini.

BH hari ini melaporkan, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin, berkata UPSR hanya satu daripada empat komponen PPSR yang akan diumumkan di sekolah esok.

Amin dilaporkan berkata, keputusan tidak lagi membabitkan jumlah calon UPSR memperoleh A dalam semua subjek, tetapi turut mengambil kira komponen lain kerana setiap murid memiliki keunikan tersendiri.

Mengulas lanjut, Sin Woon berkata, beliau memahami reaksi berkenaan kerana menyedari perubahan sedemikian memerlukan masa, malah negara lain termasuk Jepun dan Taiwan turut menghadapi isu sama ketika membuat perubahan sistem pendidikan.

Beliau berkata, format PPSR memberi peluang kepada ibu bapa untuk lebih mengenali kecenderungan serta potensi anak masing-masing kerana pentaksiran yang dilakukan adalah secara menyeluruh dan tidak hanya sekadar pencapaian akademik.

Sementara itu, beliau berkata, perubahan format turut melepaskan guru daripada tekanan untuk memastikan sekolah mencapai sasaran keputusan peperiksaan tertentu kerana sebelum ini ranking sekolah ditentukan berdasarkan 70 peratus keputusan peperiksaan.

Sumber: Berita Harian

Advertisements