PPSR bantu nilai kecenderungan murid

MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid beramah mesra dengan pelajar ketika melawat gerai pameran selepas merasmikan program “My New School ” di Sekolah Kebangsaan Paya Rawa. – Foto Amran Hamid

PENDANG: Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) akan menjadi pengukur bukan sekadar untuk menentukan status pencapaian semasa murid, malah lebih penting mengenal pasti kencenderungan bidang kecemerlangan mereka.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata bukan sekadar untuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), modul PPSR itu yang diterap seawal Tahun Satu turut digunakan sebagai penilaian tahunan setiap murid.

“Pentaksiran baharu ini kita letakkan sasaran utama kepada hubungan sekolah dan ibu bapa untuk dipertingkatkan.

“Di negara tertentu contohnya setahun dua kali ibu bapa jumpa cikgu, melaluinya kita dapat kenal pasti kelebihan dan kekurangan, yang mana hasilnya ibu bapa serta pihak sekolah akan sama-sama beri tumpuan.

“Kita ambil contoh Tahun Tiga, laporan pentaksiran menunjukkan seorang pelajar itu pandai dalam bab bertukang, tetapi kurang dari segi akademik, jadi di sinilah peranan ibu bapa dan guru untuk tentukan tindakan yang akan diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis perasmian My New School di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rawa, di sini, selaku sekolah kedua di Kedah yang menyertai program bersifat Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu.

Melalui program itu, SK Paya Rawa menerima penambahbaikan membabitkan kos RM3 juta meliputi penyediaan bilik darjah, dewan serbaguna serta kantin, manakala Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyumbang RM14,650 dalam bentuk tabungan kepada 293 murid di sekolah berkenaan.

Mahdzir berkata empat komponen dalam PPSR disenarai meliputi Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik dan UPSR mempunyai kriteria penilaian tersendiri, tanpa semata-mata berorientasikan peperiksaan.

“Sebelum ini kita nilai berorientasikan peperiksaan, sekarang kita nak lihat semua, pelaporan dari segi jasmaninya, pembabitan dalam sukan atau persatuan, fizikal dan juga psikometrik.

“Untuk UPSR pula secara keseluruhannya keputusan tahun ini adalah lebih baik berbanding tahun lalu, tetapi kali ini kita tak nak nilai UPSR sahaja, sebaliknya kita ambil kira semua (aspek) sekali,” katanya.

Mengenai Ujian Kemasukan Sekolah Berasrama Penuh (UKSBP), katanya lebih 200 pusat peperiksaan disediakan di seluruh negara untuk mengendalikan peperiksaan secara dalam talian yang akan diadakan antara 11 hingga 14 Disember depan.

“kita jangkakan kira-kira 50,000 permohonan diterima untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh ini untuk 10,000 temp;at disediakan…justeru, kemasukan akan mengambil kira UKSBP selain semua empat komponen PPSR,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Advertisements